Sepanjang ingatan, belum rasanya sesebuah teater kontemporari pernah dipentaskan sebanyak 37 kali di 32 tempat berasingan sepanjang tempoh setahun. Hanya Teater Muzikal ‘Puteri Gunung Ledang’ sahaja pementasannya agak lama sedikit, itu pun di tempat yang terhad. Yang lain-lain kebiasaannya antara 3-7 hari sahaja. Oleh yang demikian pementasan teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ (MKDT), layak dimasukkan ke dalam ‘Buku Rekod Malaysia’ kerana pementasannya agak meluas di banyak tempat termasuk di dalam ruang solat masjid.
MKDT adalah teater terbaru Dinsman dan pertama kali dipentaskan di ‘Stor Teater’ DBP, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2009. MKDT membawa tema dakwah. Ianya diangkat daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim; mengisahkan peristiwa kegelisahaan Kaab bin Malek, salah seorang sahabat Nabi yang mengabaikan tanggungjawabnya untuk pergi berperang bersama-sama Rasulullah di medan perang Tabuk.
Kecuaian Kaab melambat-lambatkan pemergiannya bersama-sama angkatan perang Rasulullah menyebabkan dia tertinggal untuk bersama-sama dalam peperangan itu. Sikap acuh tak acuhnya itu menyebabkan rasa kesalnya yang tidak berkesudahan, walaupun dia sudah membeli dua ekor unta sebagai kenderaan untuk pergi berperang.
Natijahnya dia bukan sahaja berdepan dengan cemuhan, ejekan dan pemulauan masyarakat sekelilingnya, akan tetapi dia terpaksa berperang dengan emosi dalamannya kerana kecuaiannya itu. Kaab berasa bersalah bukan sahaja kepada Nabi, tetapi juga berdosa kepada Allah Swt. Tekanan perasaannya amat hebat sehinggakan dia terfikir untuk memberi pelbagai alasan dan berbohong kepada Rasulullah. Kaab berdepan dengan dilema, antara berbohong dan berkata benar.
Kaab percaya Allah tetap tahu sama ada dia berbohong atau berkata benar. Akhirnya dia memilih untuk berkata benar. Dia lantas memohon ampun kepada Allah Swt atas kesalahannya serta dosa-dosanya, mengakui kecuaian dan kesilapannya itu. Pengakuan dan taubatnya itu telah mendapat keampunan Allah Swt. Ketika ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ inilah, emosi Kaab berperang hebat dalam dirinya. Kaab berasa lega, akhirnya Allah mengampuni kesalahannya kerana dia berkata benar.
Mesejnya ialah, jangan berbohong, sebaliknya berkata benar. Mesej ini sangat relevan pada setiap masa terutama situasi masyarakat masa kini yang lebih suka berbohong daripada berkata benar. Kerana itu juga teater ini sesuai dipentaskan di mana-mana termasuk di dalam dewan masjid dan surau.
Teater ini memakan masa hanya 45 minit, dilakonkan oleh pelakon tersohor Sabri Yunus dan diiringi dengan gesekan biola oleh Sani Sudin. Ianya lebih tertumpu kepada monolog Kaab yang menceritakan kecuaiannya serta kegelisahannya ketika tertinggal untuk turut sama berperang dengan angkatan perang Rasulullah pada perang Tabuk. Sabri telah berjaya membawa watak Kaab dengan berkesan sehinggakan kesemua pementasan teater ini sebanyak 37 kali, dari Mac 2009 sehingga Mei 2010, (kecuali satu) watak Kaab dilakonkannya. Manakala peranan Sani Sudin hanya mengesek biola bagi tujuan membangkitkan mood lakonan..
Susuk Sabri yang agak agam, tegap serta berkulit sedikit gelap memang sesuai membawa watak Kaab yang berbangsa Arab. Sabri berjaya menghafal skrip yang panjang dengan baik di samping membawa watak Kaab dengan jayanya. Sepanjang setahun ini dia juga telah memperbaiki lakonannya untuk memantapkan lagi watak yang dibawanya.
Bermula dari di Stor Teater DBP, teater ini berhijrah pula ke Istana Kelantan di Kota Bharu pada Majlis Santapan Di Raja pada 30 Mac 2009. Malam berikutnya ianya dipentaskan pula di Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Timur di Kota Bahru. Pada 29 April hingga 3 Mei 2009, lima malam berturut-turut ianya dipentaskan di Auditorium Muzium Negeri Selangor di Shah Alam. Teater ini kemudiannya berkeliling ke seluruh negeri di Semenanjung, kecuali Pahang atas undangan masyarakat setempat.
Rasanya belum tercatat di dalam sejarah sebelum ini sebuah hasil seni seperti teater pernah dipersembahkan di dalam mana-mana masjid di Malaysia, malah mungkin di dunia. Teater ini telah melakar sejarah kerana berjaya menebusi tradisi sebelumnya. Yang lebih uniknya teater ini buat pertama kalinya dilakonkan di dalam ruang solat masjid di Masjid Batu, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 30 Mei 2009 dengan mendapat sambutan yang sangat menggalakan daripada masyarakat sekitar.
Sehingga kini teater ini sudah pun memasuki di tiga buah masjid iaitu di Masjid Batu, Masjid Al-Amaniah, Batu Caves dan Masjid An-Nur, Bandar Baharu Bangi. Satu di perkarangan masjid, Masjid Jamek An-Najah, Padang Serai, Kedah. Manakala satu di dalam surau sekolah iaitu di Sekolah Agama Menengah Rawang, Selangor. Selainnya di dalam dewan sekolah, dewan teater, pentas terbuka dan di bawah khemah.
Sepanjang persembahan di dalam masjid ianya diiringi pukulan gendang menggantikan biola. Akan tetapi di Masjid An-Nur di Bangi, Jawatankuasa masjid bersetuju membenarkan biola dimainkan dalam teater ini. Ini sesuatu yang mengejutkan dan menggambarkan suatu anjakan pemikiran yang positif terhadap seni teater dan muzik di kalangan sesetengah Ahli Jawatankuasa masjid.
Menurut Dinsman, teater ini memasuki fasa baru apabila watak Kaab akan dilakonkan oleh SN Dato’ A.Samad Said. Sekarang ini Samad Said sedang tekun berlatih dan pementasannya dijangka akan diadakan pada akhir Jun di Auditorium Muzium Negeri Selangor di Shah Alam. Sementara itu usaha-usaha sedang giat dilakukan untuk menjadikan teater ini berbentuk muzikal. Pelakonnya masih tetap Sabri Yunus kerana dia sudah amat serasi dengan teater ini. Sekiranya berjaya teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan-Muzika,’ akan dipentaskan di Kota Bahru pada 11 Jun ini.
Dinsman atau nama sebenarnya Che Shamsuddin bin Othman, seorang aktivis teater yang turut terlibat dalam teater Elit suatu ketika dulu, kini semakin giat menulis skrip drama untuk dipentaskan. Sebelum ini sebanyak 10 buah teater hasil karyanya pernah dipentaskan termasuk teater ‘Bukan Bunuh Diri’ dan ‘Protes’ yang dianggap sebagai teater absurd oleh sesetengah pengkritik teater. Teater-teaternya yang lain ialah; Jebat, Tidak ada jalan dapat menyenangkan……, di Pulau Sadandi, Ana, Projek Ize, Tamu di Medan Perang, Intan (adapatasi dari novel SN. Abdullah Hussein) dan Esok Untuk Siapa? (adaptasi dari filem Jins Shamsuddin).
Dinsman sudah menyiapkan sebuah skrip baru yang diambil dari kisah Al-Quran iaitu kisah Nabi Yusof AS. Malangnya pementasannya tidak dapat dilaksanakan kerana ianya menggunakan ramai pelakon dan belanjanya agak besar. Setakat ini tiada siapa yang sanggup menjadi sponsor kerana kos pementasannya agak tinggi.
Sayang sekali sekiranya skrip teater yang mempunyai unsur Islami ini tidak dipentaskan untuk tatapan umum. Sekarang ini memang sukar untuk mendapatkan skrip yang berunsur Islam di pasaran. Maka skrip teater Kisah Nabi Yusof seharusnya dipentaskan tanpa bertangguh lagi. Ahli korporat dan konglomerat Melayu/Islam harus membantu untuk menjayakan pementasan ini. Bukan teater namanya kalau skripnya tidak dipentaskan.