Wednesday, 5 May 2010

Pas dan Muzik

Panel Tazkirah terdiri daripada, kanan Komposer Dahmin, Ustaz Nazmi Karim, Ustaz Riduan Mohd Nor dan moderator Hilmi Riduan pada program santai bersama Mat Motor.

Pada 2001, kira-kira 15 orang para seniman, budayawan dan penulis mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abd Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul ‘Am Pas untuk mendapatkan pandangan dan penjelasan beliau berkaitan dengan alat muzik dan juga bentuk hiburan yang dibenarkan oleh Pas.

Pertemuan itu diadakan kerana para budayawan dan seniman masih keliru dengan pendirian Pas tentang alat muzik dan bentuk hiburan yang dibenarkan oleh Pas. Ada di antara para ulama di dalam Pas masih menentang hiburan konvensional apa lagi menggunakan alat muzik terutama yang bertali. Tiada kesepakatan di dalam hal ini, maka terjadilah ketidaktentuan di dalam hal-hal kesenian, kebudayaan dan hiburan.

Nasir Jani membangkitkan kegusarannya, katanya kalau Pas berkuasa di peringkat nasional, jenis dan bentuk hiburan yang bagaimanakah yang dibenarkan oleh parti Islam itu. Manakala penyanyi Ito berpendapat bahawa alat muzik bertali seperti biola dan gitar tidak bercanggah dengan hiburan Islam. Tuan Guru Nik Aziz tidak memberikan kata putus, sebaliknya menyatakan perkara itu adalah khilaf ulama. Oleh kerana suasana politik ketika itu belum mengizinkan beliau memberikan kata putus, maka pertemuan itu hanya menjadi kunjungan hormat sahaja.

Hampir sedekad selepas itu, perkembangan hiburan dan muzik di dalam Pas menjurus ke arah yang lebih positif sebagai pernyataan arah tuju bentuk hiburan yang dibenarkan oleh Pas. Di Kelantan sendiri, walaupun beberapa jenis hiburan seperti dikir barat, wayang kulit dan mak yong tidak dibenarkan pada peringkat awal kerana ianya mengandungi hal-hal kurafat, namun kesenian itu terus dibenarkan dengan penyesuaian semula selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Konsert kontemporari juga dibawa ke Kelantan dengan penyanyi-penyanyi terkenal tanah air seperti Mawi, M. Nasir, Jay Jay dll, serta kumpulan nasyid bagi menghiburkan golongan muda di negeri itu. Pada konsert itu, meskipun penyanyi wanita tidak dibenarkan bernyanyi di atas pentas, namun penggunaan alat muzik yang pelbagai termasuk gitar dan biola diizinkan. Maka dengan hal yang demikian, tanpa banyak bicara, Pas sebenarnya tidak menghalang penggunaan alat muzik kontemporari sebagai hiburan.

Ini dikuatkan lagi dengan keizinan Prof. Datuk Dr. Haron Din membenarkan biola dimainkan untuk mengiringi teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ di surau Al-Nur di Bangi baru-baru ini. Selama ini hanya gendang digunakan menggantikan gesekan biola apabila teater itu diadakan di dalam masjid atau surau. Ini bererti alat muzik bertali seperti biola sudah diterima oleh Pas walaupun dimainkan di dalam masjid.

Pas juga baru-baru ini telah membenarkan TV 3 membawa acara popularnya ‘Jom Heboh’ ke Kelantan dengan mengikut garis panduan hiburan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Pas. Ianya masih tidak membenarkan artis wanita bernyanyi di atas pentas, namun irama muziknya masih diberi sedikit kebebasan. Namun kelainan yang paling ketara ialah pengasingan penonton di antara lelaki dan perempuan dan yang berkeluarga. Konsep pengasingan ini harus dikekalkan kerana ianya suatu kelainan yang sukar dipraktikkan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain.
Pada Sabtu 1 Mei lalu, Pemuda Pas Shah Alam telah mengadakan sebuah program yang diberi nama, ‘Program Sembang Santai Bersama Generasi Idaman Selangor’ di Dataran Shah Alam. Program ini bertujuan untuk menarik minat generasi muda terutama Mat-Mat Motor untuk sama-sama berhibur sebagai santapan jiwa. Program itu berjaya menarik perhatian kira-kira 200 orang Mat Motor serta lain-lain khalayak berkumpul, menyertai serta mendengar nyanyian-nyanyian yang dipersembahkan.

Pengisian program itu sesuatu yang menarik, disamping hiburan yang dipersembahkan, ianya disulam dengan tazkirah secara santai oleh dua orang ustaz muda dan seorang komposer lagu. Mereka ialah ustaz Riduan Mohd Nor, ustaz Nazmi Karim dan Komposer Dahmin. Tazkirah itu tidak pula secara serius, diselang seli dengan nyanyian dan bacaan sajak supaya penonton tidak berasa bosan. Ustaz Nazmi menyampaikannya pula mengikut loghat pertuturan bahasa golongan muda. Mungkin untuk membuktikan bahawa para ustaz tidak menyisihkan golongan Mat Motor. Pengerusi panel sdra Hilmi Riduan berjaya mengendalikan sesi tazkirah itu disamping mengacara acara pada malam itu.

Yang lebih menarik malam itu diisi dengan lagu-lagu irama rock yang dinyanyikan oleh Ringgo Arrow. Petikan gitar juga mengiringi nyanyian Ringgo dan Dahmin. Ianya diselang seli dengan deklamasi dua buah sajak oleh sdra Razali Endun dan Ibu Lin (Norazlin, isteri Dr. Dzulkefly Ahmad). Norazlin diiringi tiupan seruling berusia 50 tahun yang ditiup oleh seniman veteran encik Hashim Salim. Malam itu sebenarnya menonjolkan pelbagai rentak muzik termasuk seruling secara langsung.
Usaha proaktif golongan muda di dalam Pas terutama usatz-ustaz mudanya adalah suatu perkembangan yang positif. Perkembangan mutakhir ini adalah manifestasi konsep atau hala tuju Pas terhadap seni muzik dan hiburan yang mula boleh diterima oleh kepimpinan parti itu.

Pas memang masih belum ada lagi dasar rasmi kesenian dan kebudayaan untuk dijadikan panduan para muslimin dan muslimat. Justeru itu dikhabarkan Lajnah Kesenian dan Kebudayaan yang dipimpin oleh Dr. Dzulkefly Ahmad telah diberi lampu hijau oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk mengaktif dan membuat garis panduan tentang hiburan, kesenian dan kebudayaan.

Kebudayaan mencakupi semua aspek bidang seni, oleh itu ianya harus diberi tumpuan dan penglibatan oleh semua peringkat di dalam hierarki Pas. Dalam kita mahu menserasikan kebudayaan Malaysia yang pelbagai dalam konsep ‘Pas Untuk Semua,’ kita tidak seharusnya mengkesampingkan kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan Nasional seperti termaktub di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan Malaysia. Semoga Pas berjaya membentuk suatu dasar kebudayaan kebangsaan yang boleh menjadi contoh.

No comments: