'Ranum' akan dikupas oleh SN Datuk A. Samad Said.
Dunia kiritkan sastera pada tahun ini akan disemarkkan dengan majlis bicara karya yang akan diadakan pada jam 9.30 pagi, 23 Feb ini di Tingkat 3, Bangunan Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Dua buah buku telah dipilih untuk dibicarakan pada hari tersebut iaitu Kumpulan Cerpen "Ranum' karya Razali Endun dan sebuah lagi ialah buku 'Kumpulan Esei Budaya Bertindak,' ditulis oleh 29 orang penulis/budayawan dan ahliakademik, diterbitkan sempena menyambut ulang tahun pertama membantah dasar PPSMI.
Dua orang Sasterawan Negara iaitu Datuk A. Samad Said dan DatukDr. Anuar Ridwan telah memberi persetujuan untuk mengambil bahagian dalam majlis diskusi ini. Majlis yang bertemakan, ‘Seni Penulisan Menjulang Warisan Budaya Bangsa dan Menjana Kewarasan Minda,’ akan menyaksikan dua orang pembicara mengulas bagi setiap buku.
Kumpulan Cerpen ‘Ranum’ akan dikupas oleh SN Datuk A.Samad Said dan Che Abdullah bin Che Ya, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Kesusasteraan dan Budaya Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Manakala buku 'Kumpulan Esei Budaya Bertindak' akan disorot oleh SN Datuk Dr. Anuar Ridwan dan Dr. Syed Husin Ali.
Penggiat dan peminat sastera serta golongan pelajar di Pusat Pengajian Tinggi adalah dialu-alukan menghadiri program ini. Program ini anjuran bersama Persatuan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) denganPerbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Ini merupakan program pertama tahun ini bagi PAKSI, bertujuan menyemarakkan lagi percambahan minda antara para penulis dan orang awam, serta merangsang dunia kritikan sastera yang semakin lesu kebelakangan ini. PAKSI akan meneruskan program seperti ini dan sedang merancang beberapa buah buku lagi untuk dibicarakan termasuk novel ‘Shit’ karya SN Datuk Shahnon Ahmad.
PAKSI amat berterima kasih atas kerjasama yang sangat baik diberikan oleh PPAS terutama pengarahnya, Hjh Mastura bte Hj. Muhamad. Kerjasama seperti ini bersama pengarah-pengarah perpustakaan lain harus diteruskan supaya percambahan minda dan penyebaran karya sastera dapat disebarluaskan dengan sebaik-baiknya.
Puan Mastura yakin program seperti ini akan dapat menarik minat membaca terhadap buku-buku bacaan termasuk genre sastera/budaya yang masih kurang diminati oleh orang awam. Katanya PPAS bersedia berkerjasama menganjurkan program-program seperti ini dalam lingkungan kemampuannya. Beliau mengharapkan seramai mungkin orang ramai terutama pelajar-pelajar universiti tidak akan melepaskan peluang ini untuk menimba ilmu melalui ulasan dan kupasan dua orang Sasterawan Negara yang tersohor. Masuk adalah percuma.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Dinsman, Tel:019-9592408 atau Razali Endun, 019-6658064.
No comments:
Post a Comment