Esok, 4 Feb 2011 masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru mereka. Tahun ini tahun Arnab. Tak tahu aku apa signifikannya binatang itu pada tahun ini. Tak ramai beri komen atau ulasan tentang tahun Arnab. Mungkin Arnab bersifat lemah dan selalu menjadi mangsa binatang yang lebih besar. Apa pun aku ucapkan Selamat Tahun Baru kepada kekawan Cina aku, juga kepada kaum keluarga Cina aku. Moga tahun Arnab ini memberi rezeki yang melimpah ruah.
Di sebalik perayaan ini, rakyat Mesir sedang bergelut mahu menjatuhkan Maha-firun Muberak yang berkuasa lebih 30 tahun di negara itu. Setakat tulisan ini Muberak hanya memberi pengakuan tidak akan menawarkan diri pada pilihan raya Mesir September ini. Dia masih enggan berundur atau meletakkan jawatannya. Degil sungguh Maha-firun ini. Katanya, dia mahu mati di Mesir, bukan di negara lain. Cukup partioritik nampaknya. Aku kira dia sedang menunggu peluru daripada rakyatnya sendiri untuk ditumbangkan. Orang yang akan menanamkan peluru itu tidak lain dan tidak bukan terdiri dalam kalangan orang-orang kepercayaannya. Mungkin seorang anggota atau pegawai tentera. Sejarah telah membuktikan ramai para pemimpin Mesir mati ditembak oleh orang-orang yang dekat dengan pemimpin itu. Salah seorangnya Anwar Sadat. Tunggu dan lihat. Ini hanya andaian aku. Mungkin betul mungkin tak! jangan percaya sangat.
Peristiwa ini perlu diambil iktibar oleh pemerintah kita. Jangan fikir rakyat akan terus berdiam diri apabila terus diperbodohkan. Perintah dengan adil dan saksama. Pastikan pemimpin dan rakyat tidak mengamalkan rasuah. Tapi macam mana mahu ajar rakyat jangan rasuah, apabila pemimpin kerajaan sendiri mengajar mereka bagaimana lakukan rasuah? Buktinya apabila berlaku PRK. Banyak berlaku, mutakhir sekali di Tenang. Pemimpin kerajaan mesti hentikan rasuah politik ini kerana ianya amat merbahaya sekali kesannya pada masa panjang. Kalau mahu berikan apa-apa peruntukan, berikan di luar musim pilihan raya. Jangan tunggu pilihan raya, kerana tidak ada keikhlasan dalam pemberian itu selain ianya memang bersifat rasuah. Kalau rakyat mengamalkan rasuah, apakah salah mereka? Fikir-fikirkanlah!
No comments:
Post a Comment