Kekalahan cik gu Mala memang sudah dijangka oleh banyak pihak kerana DUN Tenang adalah kubu kuat Umno. Namun aku turut sedih kekalahannya dengan majoriti yang lebih besar daripada PRU 12 dulu. Malah di kawasan-kawasan Cina yang solid sokong calon Pas dulu sudah berpaling tadah. Hanya satu kawasan Cina sahaja terus memberikan undi pada cik gu Mala. Nampaknya wajah manis dan cun cik gu Mala tidak berjaya menarik simpati pengundi, terutama Melayu.
Seperti yang pernah aku katakan wajah cik gu Mala bawa rezeki, tetapi Umno/BN terang-terang tabur rezeki. Bagi mereka itu bukan rasuah kerana tafsir rasuah mengikut undang-undang yang mereka buat tidak terpakai kepada mereka. Kerana undang-undang dicipta bukan untuk mereka yang berkuasa, tetapi untuk mereka yang dikuasa. P.Ramlee sudahpun membayangkan peristiwa ini dalam filem Nujum Pak Belalangnya. Kata Menteri Undang-Undang dalam filem itu, "Jangan bimbang, undang-undang hamba yang buat."
Ini bermakna Pas dan PR mesti muhasabah diri. Pengaruh Umno khususnya di kalangan orang Melayu amat kebal dan kukuh. Sebenarnya Umno/BN berkuasa melalui kuasa yang ada padanya. Semua pegawai dan kakitangan kerajaan tidak boleh angkat muka pada orang politik Umno/BN. Sesiapa cuba melawan tauke pasti akan menerima akibatnya.
Selepas ini jangan terperanjat suami cik gu Mala akan menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak terutama Jabatan Pelajaran. Pastinya dia akan ditukar atau apa-apa saja yang boleh membuatkannya berhenti daripada menjadi guru. Lihat saja apa jadi pada pengarah Jabatan Kerajaan Johor yang terang-terangan berkempen untuk Umno seperti tersiar dalam video, dan laporan polis juga telah dibuat, tak apapun berlaku pada beliau. Aku bimbang kalau ada dua set undang-undang digunakan dalam negara ini, takut-takut nanti terjadi seperti di Tunisia dan Mesir. Pada ketika itu, menyesal pun tak berguna lagi.
Pas dan PR jangan tunggu berkempen apabila ada pilihan raya saja. Ceramah juga dikurangkan kerana ceramah tidak memberi kesan pada orang ramai. Lebih baik adakan dialog berkelompok sepanjang masa dan dua hala sifatnya, melalui kaedah ini dapat dinilai dan dikaji pendirian serta tahap pemikiran orang ramai yang ditemui.
Di DUN Merlimau pun aku fikir PR tak ada peluang untuk menang kerana di Melaka sudah dikepung dan ditanam dengan pemikiran hanya Umno/BN saja yang boleh memerintah. Aku fikir tak payahlah PR sibuk-sibuk mahu bertanding di situ, buang masa dan duit aja. Ini bukan kerana aku tidak ada semangat juang, kerana menang atau kalahpun tidak mengubah kedudukan kerajaan Melaka. Tapi, kalau mahu juga berjuang untuk mengukur tahap pengaruh, teruskanlah. Pengaruh tidak boleh berlaku hanya ketika kempen pilihan raya saja, ianya harus berterusan sepanjang masa. Aku fikir contohilah parti Keadilan di Turki, mereka berjaya menawan hati rakyat dengan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan berterusan walaupun menghadapi tentangan daripada tentera yang berfahaman sekular. Walalahualam!
No comments:
Post a Comment