Persatuan Penulis Nasional (PENA) hari ini menyatakan dengan tegas supaya Kementerian Pelajaran mengekalkan novel 'Interlok' sebagai teks Komponan Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan lima. PENA menentang sebarang tuntutan untuk menarik balik novel Interlok daripada senarai teks Komsas. Demikian kenyataan yang dibacakan oleh Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad pada sidang media di rumah PENA pada 8 Jan 2011.
Pada 5 Januari lalu, Persatuan Seniman Rakyat (Paksi) telah menyatakan perkara yang sama menolak sebarang tindakan untuk menarik balik novel Interlok. Sementara itu Gapena melalui kenyataan Setiausaha Agongnya, Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan seperti dipetik oleh Malaysiakini, menyatakan sebarang pindaan dan perubahaan terhadap novel tersebut hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu daripada pengarangnya.
Kemelut Interlok berlaku setelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah mengumumkan bahawa novel tersebut telah ditarik balik daripada Komsas. Seminggu selepas itu baru dinafikan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yasin pula dilaporkan bersetuju supaya dikaji semula novel tersebut, dan jawatankuasa khas ditubuhkan bagi tujuan tersebut. Puncak kebimbangan ialah apabila ada Ngo-Ngo India mengugut mahu membakar novel tersebut di hadapan Kementerian Pelajaran. Manakala dalam kalangan politik, Ngo-Ngo India ini mengancam akan meletakkan calon bebas pada PRK DUN Tenang yang akan berlangsung 30 Jan ini, sekiranya kerajaan enggan menarik balik novel itu.
Senario yang berlaku ini membina prespektif negatif terhadap sebuah novel sastera berbentuk fiksyen kepada isu perkauman yang dipolitikkan. Fenomena ini amat berbahaya sekali, kerana novel tersebut yang memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan mengarang novel sempena 10 tahun kemerdekaan negara, sudah berada dalam pasaran lebih 40 tahun lamanya. Kalau benar sekalipun ada unsur penghinaan atau perkauman di dalam novel tersebut, sudah tentu ianya dibangkitkan lama dahulu. Lagipun ianya sudah diterima oleh jawatankuasa pemilihan Komsas sebagai buku teks tingkatan lima tahun ini. Pastinya ianya sudah dikaji dengan teliti oleh jawatankuasa tersebut yang mempunyai kepakaran masing-masing. Novel ini sudahpun dicetak dan diedarkan versi sekolahnya di sekolah-sekolah berkenaan.
PENA berpendapat, tidak ada unsur penghinaan mana-mana kaum dalam karya ini, sebaliknya novel ini mengangkat Malaysia sebagai negara yang bersih daripada kasta. Sekiranya kerajaan tunduk dengan desakan dan ugutan puak-puak ini, dan menarik balik novel tersebut, implikasinya amat besar dan buruk bagi masa depan dunia kesusasteraan tanah air. Bukan itu sahaja, kredibiliti jawatankuasa pemilihan buku teks Komsas akan dipersoalkan. SN Datuk Abdullah Hussein selaku pengarang novel tersebut akan berasa terhina dan diperlekeh.
Sebelum sidang media ini, suatu forum telah diadakan bagi tujuan mengupas novel ini secara intelektual. Panel pembicara ialah Dr. Ilias Zaidi, Dr. Fatimah Busu dan S.M. Zakir, Setiausaha Agong PENA. Rata-rata kesemua ahli panel berpendapat tidak ada alasan bagi Kementerian Pelajaran menarik balik novel tersebut kerana tidak ada unsur penghinaan dan perkauman dalam novel itu. Malah mereka berpendapat Interlok sebagai Novel Sejarah yang mengisahkan keadaan sosial tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dalam tahun-tahun 1910-1957.
Itulah hakikat sosial masyarakat berbilang kaum pada masa itu, yang dipecah-pecahkan dalam kotak-kotak perkauman, cuba disatukan oleh pengarangnya dalam satu gagasan negara bangsa. Cita-cita pengarangnya, nampaknya tidak kesampaian kerana sekarang ini masih wujud lagi keadaan berpecah belah dalam masyarakat Malaysia. Malah ianya kelihatan lebih teruk lagi daripada dahulu.
Arahan Tan Sri Mahiyuddin supaya novel tersebut dikaji semula, adalah satu indikator tidak tegasnya pemimpin dan kerajaan Umno/BN. Beliau sendiri seolah-olah terheret dengan mainan politik kaum India yang mahu mengambil kesempatan terhadap Konsep 1Malaysia, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya. Mahiyuddin juga mungkin melihat dari prespektif politik iaitu undi kaum India. Ini kerana kebanyakan kawasan Parlimen dan DUN, undi penentunya ialah kaum India. Undi adalah penentu kuasa, maka kerana itu undi lebih penting daripada nasionalisme dan ideologi. Fenomena ini tidak terhad dalam Umno/BN sahaja, tetapi menular dalam komponan parti-parti politik Pakatan Rakyat. Ini hakikat dan real politik masa kini.
Kelemahan dan tidak tegasnya pihak kerajaan dalam beberapa aspek yang melibatkan penyatuan negara bangsa menjadikan keadaan perpaduan semakin renggang dan terpisah-pisah. Walaupun konsep 1Malaysia ke arah penyatuan itu, namun ianya tidak jelas arah tujunya. 1Malaysia tanpa formula yang jelas menjadikan rakyat semakin keliru. Rakyat melihat slogan 1Malaysia hanya slogan politik seperti juga slogan-slogan yang dicipta oleh dua Perdana Menteri sebelum ini. Slogan-slogan itu turut terkubur dengan terkuburnya karier politik penciptanya.
Salah satu kekeliruan yang berlaku ialah apabila novel Interlok dipersoalkan secara remeh, dan tekanan yang diberikan oleh parti-parti politik India dan Ngo-Ngonya seolah-olah novel itu membawa petaka kepada negara ini. Apabila pemimpin kita terikut-ikut dengan desakan mereka, maka jangan hairan apabila kaduk naik junjung.
Jangan juga terkejut apabila kerajaan akan mengumumkan penarikan balik novel ini daripada menjadi buku teks sastera Komsas. Daripada pengalaman, desakan daripada Ngo-Ngo bukan Melayu, selalunya digeruni oleh kerajaan BN/Umno, manakala Ngo-Ngo Melayu tidak digeruni oleh mereka kerana dalam mana-mana pilihan raya pun masih ramai lagi orang Melayu setia dan mengundi Umno/BN. Kalau pengundi Melayu berpaling arah, maka Melayu akan diberi perhatian istimewa nanti oleh Umno/BN. Ini berlaku di kawasan-kawasan di mana PR memenangi kawasan itu.
Oh! Melayuku! Demikianlah Melayu di tangan pemimpin Melayu yang perjuangkan ketuanan Melayu. Tunggulah Buku 'Melayu Hilang Di Dunia' tulisan Khalid Salleh yang menurutnya akan diterbitkan sebelum PRK DUN Tenang. Buku ini memaparkan, dalam banyak hal Melayu sudah kehilangan segala-galanya.
No comments:
Post a Comment