Wednesday, 5 January 2011

Interlok- Paksi Nyatakan Pendirian

AJK Paksi pada sidang media di rumah Pena pada 5 Jan 2011. Dari kiri Prof. Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas, sdra Dinsman dan Hasni Abas. Barisan belakang kelihatan sdra Rozan (kiri) dan sdra Kassim Mohamad atau Barajiwa.


Seniman Paksi Rakyat atau pendeknya Paksi menyatakan dengan tegas bahawa Persatuan itu menyokong penuh supaya novel 'Interlok' karya SN Abdullah Hussein dikekalkan sebagai buku teks sastera bagi Tingkat 5 bagi tahun 2011.

Presidennya, Che Shamsuddin bin Che Othman, atau lebih dikenali dengan nama Dinsman tidak bersetuju bahawa novel itu menyentuh sensitiviti kaum seperti didakwa oleh sesetengah pihak. Katanya, dia tidak terkesan bahawa novel itu menyinggung perasaan sesuatu kaum seperti didakwa. "Sastera mesti dilihat dari aspek nilai seninya, bukan dari aspek politik perkauman. Hanya terdapat perkataan pariah dalam novel itu bukan bererti pula pengarangnya menghina sesuatu kaum. Dalam novel itu juga ada disentuh orang Melayu malas dan bodoh. Orang Cina pula terlalu miskin sehingga sanggup menjual anak mereka. Semua itu adalah realiti kehidupan pada masa itu, pada zaman tahun-tahun 1920 an hingga 1957. Pengarang hanya merakamkan keadaan pada masa itu dalam bentuk kreatif dan fiksyen."

Paksi melahirkn rasa kesal kerana sikap prasangka perkauman sekarang sangat teruk sekali. Ini adalah kerana kita melihat segala-galanya dari sudut perkauman. Rakyat dan parti-parti politik di negara kita masih tebal dengan sikap perkauman. Masing-masing berfikir untuk kepentingan politik masing-masing, bukan untuk kepentingan nasional.

"Ini buktinya," tekan Dinsman lagi sambil memegang tinggi novel Interlok itu. "Dulu tak apa-apa. Novel ini memenangi peraduan menulis novel sempena 10 tahun negara mencapai kemerdekaan. Sudah diterbitkan sekitar 1967. Lebih 40 tahun berada di pasaran, tak siapa pun rasa tersinggung, baik India, Melayu atau pun Cina."

Novel ini hendaklah dilihat sebagai sebuah karya seni, bukan dilihat sebagai bahan atau alat politik. Masyarakat kita hari ini terlalu sangat berpolitik. Semua perkara hendak dipolitikkan dan segalanya hendak ditelan oleh politik.

"Paksi tidak bersetuju dengan cadangan supaya novel Interlok ditarik balik daripada menjadi buku teks untuk SPM. Tidak ada sebab untuk berbuat demikian," jelas Dinsman dengan suara yang meyakinkan.

Menjawab pertanyaan, apakan tindak balas Paksi sekiranya ura-ura pembakaran novel ini benar-benar berlaku, beliau berkata, "Paksi tidak boleh berbuat apa-apa. Paksi juga tidak mahu terikut-ikut perbuatan bodoh ini. Ianya tidak memberi apa-apa manfaat pun, selain menyemarakkan lagi api perkauman yang sedang membara. Ini amat merbahaya sekali."

Walau bagaimanapun beliau berkata Paksi bercadang mengadakan forum bagi membincangkan novel ini di PRK Tenang. Tenang akan menjadi tumpuan orang ramai sedikit masa lagi. Kita pilih tempat itu bukan untuk berkempen, tetapi bagi menjelaskan isu ini dari aspek kesusasteraan. Pembicaranya akan dipilih di kalangan para akedemik, sasterawan termasuk seorang penulis dari keturunan India. Tarikh, waktu dan tempatnya akan diberitahu sebaik-baik sahaja mendapat persetujuan para ahli panel.

Turut hadir pada sidang media itu ialah saudara Hasni Abas dari DBP, Kassim Mohamad, Razali Endun, Rozan Asif, Prof Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas dan penulis veteran Abd. Shukor Haron. Mereka merupakan AJK Paksi.

No comments: