Alahamdulillah! Novel terbaru saya 'Cinta AF' telah selamat dilancarkan oleh SN Datuk A. Samad Said petang semalam Rabu 29 Jun 2011 di pentas aktiviti Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam. Seramai 30 orang hadir memenuhi kerusi di hadapan pentas itu untuk menyaksikan pelancaran itu.
Selepas pelancaran, novel tersebut telah diulas oleh dua orang pembicara berwibawa iaitu SN A. Samad Said sendiri dan Prof. Ir. Dr. Wan Abu Bakar bin Wan Abas @ Irwan Abu Bakar. Manakala moderatornya ialah Ir. Kassim Mohamad.
Dalam ulasannya Prof Irwan berpendapat tajuk novel itu tidak selari dengan isi kandungannya. Saya tidak terjumpa ada episod cinta dalam novel ini. Mungkin pengarangnya mahu memikat pembaca muda dengan tajuknya itu.
Penceritaannya lancar dan bahasanya mudah. Razali mengisahkan peristiwa Lokman yang bagi saya membayangkan watak 'Mawi' dalam program Akademi Fantasia. Lokman budak Felda berlatar belakang ajaran agama ditugaskan untuk berdakwah di program itu. Kisah novel ini bermula dengan kematian Hakim, bapa Lokman. Bapa Lokman mati bukan sahaja kerana penyakit kencing manisnya, tetapi oleh angkara Teja Lawa, janda beranak satu. Pengarang menggambarkan janda ini seorang penggoda. Dia berhenti menggoda setalh berkahwin. Lepas itu watak itu mati.
Lokman berjaya menjuarai program ini dan kemudiannya merasakan beliau tidak punya masa untuk beribadat. Dia berdepan dengan pelbagai dugaan tanpa disangkanya. Saya lihat aktiviti dakwahnya tidak dapat dokongan daripada para ustaz yang mula-mula menyarankan supaya Lokman berdakwah dalam program itu. Lokman ditinggalkan keseorangan dalam misi dakwahnya, kecuali sekali sekali menerima sms daripada ustaz
Saya dapati banyak bidalan atau frasa yang digunakan Razali dalam novel ini hidup dan menarik. Ada antaranya saya sendiri tidak tahu atau terlupa. Misalnya, 'Mohd Alif melompat-lompat serperti kijang mendapat pucuk muda,' (m/s 63). Episod ini diceritakan oleh pengarang semasa Lokman dan Mohd Alif berada di atas pokok manggis berangan-angan ketika zaman kanak-kanaknya. Dari segi logiknya, tak mungkin dia boleh melompat-lompat dia atas dahan pokok manggis itu.
Bagi saya, sambung Prof Irwan, bab Maria di dunia bunian tidak seharusnya diadakan dalam novel ini. Ia semacam diada-adakan saja. Pengakhiran ceritanya juga bagi saya mengelirukan. Tiba-tiba saja watak Sudir hadir pada pengakhiran cerita dan saya tidak nampak apa perlunya watak ini dihadirkan?
SN Datauk Samad Said pula menyatakan Razali bukan baru dalam dunia penulisan. Ini buku yang ke-9 ditulisnya. Saya percaya banyak lagi buku akan dihasilkan oleh beliau.
Menyentuh novel Cinta AF, Pak Samad berpendapat novel ini ada flasfahnya sendiri dan ianya berkisar dalam kegiatan dunia hiburan yang cuba didakwahkan . Pengarangnya cuba memperkatakan hiburan dari prespektif Islam dan hiburan dibolehkan dalam Islam asalkan ianya tidak bercanggah dengan prinsipnya. Misalnya hiburan harus bermula selepas waktu sembahyang, selepas Isyak kalau diadakan pada waktu malam. Penyanyinya mesti menutup aurat. Penonton diasingkan antara lelaki dan perempuan. Semuanya adalah saranan positif untuk kebaikan masyarakat terutama umat Islam.
Ada satu adengan yang saya anggap melampau, ujar Pak Samad lagi. Misalnya pada muka surat 232, "Saya cuba gapai tangannya sebagai petunjuk supaya memeluk saya. Saya kuyukan kelopak mata sembari bibir saya direnggangkan sedikit sebagai petanda saya sedia dikucup. Lama saya tunggu. Tidak ada sentuhan. Saya renggangkan lagi sedikit bibir saya supaya dia bertambah ghairah. Saya menanti dan terus menanti. Bibir saya kaku menunggu tanpa sentuhan.............." Pada usia saya sebegini saya kira gambaran ini sedikit melampau.
Pak Samad berpendapat novel ini mempunyai mesejnya tersendiri. Sebagai hasil sastera setiap karya seharusnya mempunyai mesej serta buah fikiran untuk menjadi renungan masyarakat pembaca. Razali telah melontarkan beberapa persoalan untuk difikirkan. Kata pak Samad lagi, "Seni bukan lagi hiburan. Seni bukan lagi menghantar kisah. Seni mendesak kita setelah dihantar kisah."
No comments:
Post a Comment