Monday 30 April 2012

Siapa Lebih GANAS !

Melihat gambar di akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan lain-lain akhbar arus perdana memang meyakinkan pembaca yang tidak kritis bahawa memang benarlah peserta Bersih 3.0 bertindak ganas terhadap polis. Ditambah lagi dengan komen para menteri dan Lembaga Profesor Negara yang menyatakan tindakan polis adalah berhemah dan profesional.

Sebagai orang yang berfikiran terbuka dan kritis aku cuba mengakses sumber lain termasuk dalam internet. Apabila aku melihat beberapa buah video dalam internet termasuk yang dirakamkan oleh Al-Jazeera, aku rasa provokasi dimulakan oleh pihak polis. Dalam apa-apa tindakan iaitu (every actions will be reactions). Teori ini berlaku pada himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012.

Aku lihat dalam rakaman video itu betapa polis bertindak terlalu ganas terhadap peserta yang tidak melakukan apa-apa kerosakan dan kejadian-kejadian ini berlaku selepas ramai peserta sudah mula bersurai sekitar selepas jam 4.00 petang . Dalam salah satu video itu seorang anggota polis berpakaian preman (baju berbakak-bakak) berdiri di atas hood (bumbung) kereta menghayun tokol besi dan memecahkan cermin tingkap sebuah kereta yang berhenti (mungkin berlaku pelanggaran dengan kereta lain). Beberapa orang anggota polis beruniform mengutung kereta itu dan menarik pemandu itu keluar daripada kereta. Sebaik pemandu itu keluar dia dipukul dengan tukul besi oleh anggota polis preman tadi dari atas hood kereta. Tidak cukup begitu dia turun dan terus memukul pemandu itu. Anggota-anggota polis beruniform ramai yang tumpang sekaki walaupun kelihatan seorang dua cuba menghalang tetapi tidak bersungguh-sungguh. Kepala pemuda itu berlumuran darah dan tidak tahu apa terjadi selepas itu terhadap pemuda itu. Bayangkan TOKOL BESI dan pemandu itu kelihatan dalam video itu tidak membuat kacau, tetapi menjadi mangsa polis yang ganas (kalau cara ini dikatakan berhemah, kalau polis bertindak ganas lagi teruk lah keadaannya).

Satu video lagi kelihatan anggota polis merangkul seorang pemuda yang berdiri keseorangan di pinggir jalan berhampiran sebuah tiang besi iklan. Seorang anggota polis berunifom, entah apa sebabnya merangkul pemuda tersebut dengan kuat sehingga pemuda dan tiang itu rebah. Sebaik pemuda itu jatuh seorang lagi anggota polis datang menekan leher pemuda itu dengan kakinya. Lebih ramai lagi polis datang menendang dan memukul pemuda itu yang sedikit pun tidak melawan. Dalam video itu tidak kelihatan pemuda itu memulakan provokasi.

Video satu lagi ialah episod polis tarifik melanggar dengan motosikalnya penunggang motosikal lain di hadapannya sehingga kedua-duanya terjatuh. Tak tahulah, mungkin polis itu tidak sengaja, akan tetapi setelah berlaku pelbagai insiden sebelum itu yang menaikkan kemerahan peserta, maka polis trafik itu turut dipukul. Satu lagi sebuah kereta peronda polis melanggar para peserta di Sogo sehinggakan dua orang cedera teruk. Pemandu kereta polis itu (kelihatan tidak memakai uniform polis) diheret keluar oleh orang ramai lalu dipukul bertalu-talu. Seorang lagi anggota polis keluar tidak berapa lama selepas itu, dan beliau bernasib baik dipeluk dan diselamatkan oleh beberapa orang peserta lain.

Kereta polis itu diterbalikan oleh orang ramai setelah mengsyaki ada orang tertindih di bawah kereta itu. Ini jelas kedengaran dalam video itu suara menjerit-jerit 'ada orang dibawah.' Akan tetapi yang peliknya ramai yang menolong menterbalikkan kereta itu memakai baju T hitam, hanya seorang yang memakai baju kuning Bersih. Ramai orang mengsyaki mereka yang berbaju hitam ini anggota polis preman atau SB yang mungkin ditugaskan untuk membuat provokasi untuk memburukkan nama baik Bersih. Lain-lain berita ialah banyak kamera jurukamera media telah dirampas dan dirosakkan oleh polis, termasuk kamera milik wartawan Al-Jazeera. Semua kejadian ini tidak dilaporkan oleh media arus perdana baik yang bercetak mahupun yang elektronik.

Sejujurnya, aku tidak bersetuju dengan apa cara keganasan sekalipun baik yang dilakukan oleh peserta mahupun oleh polis. Polis seharus bertindak apabila melihat peserta cuba merusuh dan merosakkan ketenteraman awam. Bukan memulakan provokasi. Lagipun kalau semburan air kimia dan gas pemedih mata itu hanya tertumpu di Dataran Merdeka (kerana kawasan itulah yang dilarang oleh mahkamah) bukan menyemburnya membuta tuli di tempat-tempat lain yang tidak masuk dalam kawasan larangan, aku percaya kejadian buruk seperti apa yang berlaku tidak akan berlaku.

Daripada pengamatan aku, semua kejadian yang berlaku ialah kerana membalas dendam. Peserta marah dan berdendam kerana polis menyembur air kimia dan gas pemedih mata, melakukuan kekerasan terhadap peserta lain. Manakala polis juga berdendam kerana ada anggotanya dicederakan oleh para peserta. Apabila polis berdendam, maka mereka tidak lagi mengamalkan sifat profesionalisme mereka.

Apapun, aku memang ngeri melihat polis memukul orang dengan tukul besi. Dan banyal kagi kejadian yang terlalu ganas di pandang mata. BERSIH 3.0 patut kumpulkan semua bukti ini dan buat aduan kepada Suhakam atau mana-mana badan yang bertanggungjawab terhadap kebebasan hak asasi. Kita mahukan anggota polis yang benar-benar profesional dalam tindakan mereka tidak kira siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang waimah Bersih, Perkasa, Umno atau sesiapa saja. Sepanjang yang aku lihat kalau perkasa dan Umno, polis tidak mengambil tindakan pun. Ini menyebabkan orang ramai meluat dengan polis kerana mengamalkan 'double standard.'

Yang jelas SPR mesti bersih daripada segala pencemaran nama pengundi yang meragukan termasuk nama-nama rakyat asing yang diberikan kad pengenalan segera bagi membenarkan mereka mengundi. Aku fikir yang lebih afdal dan realistik, Pengerusi dan Setiausaha SPR mesti meletakkan jawatan kerana rakyat sudah tidak percaya lagi pada mereka dan SPR. Kalau mereka bukan dipengaruhi oleh politik kepartian yang dianggotai mereka, Ayuh! letak jawatan buktikan tindakan anda itu adalah satu tindaka profesional. Kita tunggu keberanian mereka berbuat demikian.

Aku yakin mereka tidak akan bersetuju kerana itu kuasa yang ada pada mereka yang boleh memenangkan gerombolan, melainkan rakyat nyahkan mereka daripada kerusi-kerusi ampuk yang mereka duduki. Untuk itu berlaku, gerombolan ini harus dijatuhkan daripada tampuk kuasa. Pastikan PRU 13 ini puak-puak ini sudah tidak lagi berada di Puterajaya.  Anda boleh lakukannya! Wallahualam!

No comments: