Thursday, 8 April 2010

Cerpen

Too Wah 901



Angka 901 adalah angka sial bagi Baba Too. Angka sueh! Angka yow shu, kata masyarakat Baba Melaka.

Dulu Baba Too tidak percaya dengan keberkatan atau kesialan angka. Itu tahyul, katanya. Itu hanya mainan perasaan orang-orang Cina. Baba Too tidak macam masyarakat Cina yang lain yang menganggap angka itu boleh membawa tuah. Boleh menjadikan seseorang itu menjadi kaya. Masyarakat Cina juga beranggapan angka juga boleh membawa sial.

Bagi masyarakat Cina, angka-angka ganjil seperti nombor 1, 3, 5, 7, 9 dan seterusnya merupakan nombor-nombor yang membawa ‘ong’. Kalau angka kahwin seperti 1111 atau 3333 atau 5555 dan seterusnya amat digemari oleh masyarakat Cina kerana ‘ongnya’ berlipat kali ganda. Maka sebab itu tauke-tauke Cina yang kaya raya sanggup membeli angka sedemikian daripada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk kenderaan-kenderaan mereka, walaupun dengan harga ratusan ribu ringgit. Harga membeli nombor ini kadangkala sama kosnya membina sebuah rumah kos sederhana.

Fenomena gila nombor ini sudah berjangkit kepada sesetengah golongan elit Melayu yang kaya. Mereka turut sama berebut-rebut menender nombor-nombor yang dikatakan ada ‘ong’ ini. Masyarakat Melayu yang miskin pula berebut-rebut membeli nombor-nombor di kedai-kedai yang menjual nombor ekor bagi bertikam nasib untuk menjadi kaya. Fiil ini sudah meresap ke dalam perangai kebanyakan masyarakat Melayu elit dan menjadikan masyarakat Melayu yang miskin menjadi malas, hanya mahu bergantung nasib kepada tuah nombor-nombor yang mereka beli. Demikianlah peranan nombor mempengaruhi kehidupan manusia untuk menentukan nasib mereka.

Bagi masyarakat Cina angka-angka genap dianggap tidak ada ‘ong’ dan kadangkala membawa sial. Maka sebab itu masyarakat Cina tidak berapa suka dan pantang dengan nombor-nombor sebegini yang dianggap akan membawa sial dalam kehidupan mereka.

Baba Too tidak ambil pusing pun tentang pantang larang masyarakat Cina ini. Sebab itu juga dia menggunakan nombor 4444 pada kereta Mercedesnya. Orang Cina sangat pantang dengan nombor sedemikian. Kata mereka itu nombor sial. Nombor sueh. 4444 bererti mati, mati, mati, mati.

“Empat kali mati, loo!” ujar nonya Too, isteri Baba Too semacam mengeluh apabila mengetahui kereta baru suaminya menggunakan nombor itu. “Kenapalah lu ambil nombor ini. Tak ada nombor lain kah!” tempelak nonya Too. Dia meracau-racau macam orang kerasukan sambil mengenyeh muka dan rambutnya. Biji matanya tercerlung dan rambutnya terburai menutupi sebahagian mukanya bagaikan watak pontianak di dalam filem.

“Alah, lu jangan percayalah benda-benda karut tu! Bukan nombor yang menentukan nasib kita. Nasib kita terletak di tangan kita. Kalau kita tidak berkerja kuat, nasib kita tidak akan berubah.” Baba Too masih pertahankan pendapatnya menolak kepercayaan tahyul masyarakat Cina itu.

“Tapi, ini kepercayaan nenek moyang kita. Berdosa kita kalau tak ikut kepercayaan nenek moyang. Hidup kita tidak berkat. Sueh sepanjang hidup!” tempelak lagi nonya Too dengan suara sebal menyesak dada.

Baba Too pekakkan telinga. Dia tidak mahu melayan karenah isterinya yang sangat percaya pada perkara-perkara tahyul itu. Baginya nasib seseorang itu terletak kepada daya usahanya sendiri. Manusia mesti berkerja keras untuk mengubah nasib mereka. Ini dibuktikan oleh datuk Baba Too ketika datang di Malaya dulu dengan sepasang selipar dan sebuah topi rotan petani Cina. Mula-mula dia berkerja sebagai penarik beca. Kemudian menyewa sekeping tanah orang Melayu dan mengusahakan pertanian di situ.

Sepuluh tahun kemudian dia berjaya membeli tanah kebun orang Melayu itu. Bekas tuan tanah itu menjadi pula kuli pada datuk Baba Too. Dua puluh tahun kemudian datuknya sudah menjadi tauke getah pula menguruskan pembelian dan penjualan getah keping dan sekerap. Kekayaan datuknya itulah yang diwarisinya sekarang sehinggakan mereka berjaya membina empayar perniagaan dalam pelbagai bidang dengan menggunakan jenama Syarikat Keluarga Too.

Bagi Baba Too nombor 4444 itu bukan membawa sial kepadanya. Semenjak menggunakan nombor itu nasibnya semakin baik. ‘Ong’nya bertambah-tambah. Kekayaannya berlimpah ruah. Malah dia disanjung pula oleh masyarakatnya dengan meletakkannya sebagai Pengerusi sebuah Tokong Cina yang terkenal di ibu kota. Dia diletakkan di situ sebagai penghormatan dan mengenang jasanya kerana memberi derma terbesar bagi pengurusan tokong itu. Malah dia menetapkan sekian ribu ringgit untuk didermakan kepada tokong itu.

Sehinggalah pada suatu hari meletup berita besar tentang dirinya. CD dan VCD terdapat di pasaran di seluruh negara dengan tajuk, ‘Skandal Seks Tauke Too.’ Kisah dan cerita ini sudah tersebar luas di semua media. Di tv, di dalam akhbar malah di dalam blog-blog juga menjadi berita utama. Di dalam blog lagi kurang ajar, ada yang menyiarkan gambar dia sedang bersenggama dengan seorang gadis Cina di sebuah hotel.

Dia masih ingat nombor bilik yang disewannya itu ialah 901. Baru dia terperasan, angka inilah yang membawa sial kepadanya. Sejak itu angka itu menghantuinya. Angka itu memusanahkan nama baiknya di kalangan korporat dan konglomerat serta jemaah tokongnya. Dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tokong dan Lembaga Pengarah dalam syarikat-syarikat yang dianggotainya. Dan dia mula pula mahu mempercayai bahawa angka-angka memain peranan dalam menentukan nasibnya.

Dia berasa diaibkan. Sangat memalukannya dan keluarganya. Dia pasti ini kerja-kerja busuk musuh-musuhnya dalam perniagaan dan kepimpinan tokongnya. Mereka sanggup menyembunyikan kamera di dalam bilik 901 untuk merakamkan perlakuan yang dianggap milik peribadinya. Permainan santai ketika waktu lapangnya. Dia tidak menganggap itu perkara salah. Itu hak peribadinya. Orang lain tidak ada hak mencerobohi hak perbadinya. Kurang ajar betul mereka ni! Baba Too terus merungut memarahi kebiadaban musuh-musuhnya.

“Kan gua sudah bilang dulu, nombor itu sueh! Nombor itu bererti mati, mati! mati! Dan sekarang matilah kita!” rungut nyonya Too seperti tidak ada esok baginya.

Dia berasa kesal setelah mengetahui skandal seks suaminya. Kenapalah suaminya melakukan perbuatan terkutuk itu. Sudah tuakah dia? Sudah tidak menarik lagikah dia pada pandangan suaminya. Setahunya dia tidak pernah menolak kemahuan suaminya apabila keinginannya memuncak. Apalah sial yang terpalit pada maruah keluarganya? Atau sial itu kerana kerenyaman suaminya, ataupun kerana kesialan angka-angka itu?

“Jualkan saja kereta itu. Jualkan nombor yow shu itu! Nombor itu bawa petaka pada keluarga kita,” nonya Too bagaikan beri perintah. Baba Too bungkam.

“Ini bukan kerana nombor itu. Ini kerana kesilapan gua dan kerja keji yang dilakukan mereka untuk merosakkan nama baik gua dan keluarga kita,” Baba Too cuba mententeramkam keberangan isterinya.

“Gua percaya satu hari nanti kebenaran akan muncul. Tuan-Alah itu kaya. Kita tunggu dan lihat,” pujuk Baba Too lagi.

“Tidak ada gunanya lagi kebenaran setelah nama kita dirosakkan,” sungut nonya Too dengan esakan tangis yang betele-tele.

Baba Too tersentak bagaikan terkena kejutan elektrik apabila dia terdengar angka 901 dilaungkan tersangat kuatnya di dalam dewan itu. Orang ramai bertepuk tangan. Riuh randah dewan itu dengan bunyi tepukan yang bergemuruh. Beberapa orang penyokongnya datang meluru ke arahnya, lantas menjulangnya tinggi sehinggakan dia menjadi terpinga-pinga.

“Baba Too mendapat sebanyak 901 undi. Dengan yang demikian, jawatankuasa Tokong ini mengisytiarkan bahawa Baba Too memenangi jawatan Pengerusi Tokong bagi tempoh 2010/2013,” demikian pengumuman lanjut pengacara majlis pada pemilihan itu.

Baru Baba Too perasaan bahawa dia sudah memenangi Jawatan Pengerusi Tokong dengan mendapat undi terbanyak mengatasi lawan-lawannya. Dia menerima sebanyak 901 undi. Dia tidak sangka boleh memenangi pengundian itu. Apa lagi skandal seksnya masih kuat terpahat dalam ingatan masyarakatnya.

Ternyata moral tidak lagi menjadi penentu kepada karier kehidupan manusia kontemporari. Ternyata juga angka 901 membawa tuah kepadanya. Angka itu bukan angka sial baginya. Angka yang dulu sial, kini membawa ‘ong’ kepadanya.

Dia juga menjadi pelik undi yang dimenangi itu bersamaan dengan nombor bilik hotel yang disewanya ketika melakukan permainan santainya. Apakah ini satu kebetulan, atau memang nasibnya ditentukan oleh angka itu?

Isterinya menerkam ke arahnya sebaik-baik sahaja dia diletakkan semula di atas lantai dewan itu setelah dijulang tinggi oleh penyokong-penyokongnya. Isterinya memeluk erat tubuhnya. Dia mengucup bibir kering isterinya.

“Angka hanya ramalan, bukan penentuan,” bisik Baba Too di telinga isterinya. Nyonya Too menyungging senyum.

No comments: