Thursday, 8 April 2010

Dr. Mahathir dan Perkasa

Dr.Mahathir dan Perkasa


Saya rasa terpanggil mahu melanjutkan perbincangan tulisan Azizi Hj. Abdullah dalam ‘kolumtepi’ Harakah Bil. 1528, halaman F21 yang diberi judul, “Yang buta datang berpimpin.” Tajuknya sahaja berunsur sinis dan simbolik. Ianya semacam membawa pengertian bahawa khalayak yang menghadiri majlis perasmian ‘Perkasa’ baru-baru ini di PWTC adalah mereka yang buta dan dipimpin pula oleh orang yang juga buta.

Saya juga berada di PWTC pada ketika itu menghadiri pesta buku antarabangsa, dan memang benar yang hadir pada majlis perasmian itu kebanyakannya mereka yang sudah pikun, terbongkok-bongkok dan menggunakan tongkat. Kalau dilihat dari segi fizikal, mereka bukanlah orang yang perkasa dalam serba serbinya.

Buta dalam konteks ini bukan buta penglihatan tetapi buta tentang sejarah yang dilakar sendiri oleh pemimpin yang buta mata hatinya yang cuba meletakkan kesalahan pada pundak orang lain atas kesilapan yang dilakukannya. Pemimpin itu seperti orang buta yang memimpin sekumpulan orang buta yang lain dan memberi pelbagai tafsiran pada seekor gajah.

Saya amat bersetuju dengan Azizi bahawa tidak terdapat ciri-ciri intelektual dalam ucapan perasmian Dr. Mahathir, melainkan meratap-ratap dan merintih-rintih tentang nasib orang Melayu yang tidak terbela, ekonomi orang Melayu masih terkebelakang, pelajaran anak Melayu jauh ketinggalan, dan kepimpinan Umno lemah. Dia juga menyentuh tentang rasuah dan biasiswa anak Melayu, seolah-olah cuba melupakan bahawa perkara itu tidak berlaku pada era pemerintahannya. Dr. Mahatahir melahirkan semuanya itu bagaikan dia tidak berada dalam Umno dan tidak pernah memimpin parti Melayu itu.

Sepanjang 22 tahun memegang tampuk kuasa nombor satu dalam pemerintahan negara, terpanjang dalam sejarah Perdana-Perdana Menteri sebelum dan selepasnya, tidakkah dia terfikir tentang perkara ini? Sekiranya dia sedia maklum tentang kepincangan bangsa Melayu, apakah yang telah dilakukannya? Sebaliknya dia telah memusnahkan bahasa Melayu apabila mengarahkan dasar PPSMI dilaksanakan.

Rasuah meroyak ketika pemerintahannya. Politik wang menjadi pekung dalam Umno pada masa kekuasaannya. Biasiswa untuk anak Melayu ditarik balik ketika dia di puncak kuasa. Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditamatkan dan Bank Bumiputra menemui ajalnya ketika dia berada di mercu kuasa. Mengapa dan kenapa dia tidak berbuat sesuatu untuk menghalang perkara ini berlaku? Pada ketika dia memegang kuasa dan Umno menjadi tonggak kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini, dia tidak boleh melakukan sesuatu untuk membela nasib orang Melayu? Apakah yang bisa dilakukan apabila kuasa sudah tidak berada di tangannya lagi?

Memang benar sudah ada orang Melayu menjadi kaya raya, menjadi ahli korporat dan konglomerat, tetapi berapa ramai dan siapa mereka? Mereka adalah kroni-kroni pemimpin-pemimpin Umno sendiri, saudara mara, anak beranak dan seumpamanya. Kita tidak hairan sekiranya mereka ini naik sebagai usahawaan tulin, akan tetapi ramai di antaranya adalah usahawan yang dicekup semborono dan dilantik sebagai CEO dalam bank-bank atau syarikat-syarikat yang dikuasai kerajaan (GLC).

Tak mengapalah, itu kisah zaman Dr. Mahathir memerintah dahulu. Apakah kesilapan yang sama masih dilakukan oleh pengganti-penggantinya? Nampaknya itulah yang berlaku sekarang. Tidak nampak perubahaan yang jelas, sebaliknya dasar yang lama masih diteruskan. Barangkali Dr. Mahathir sudah sedar kesilapannya, maka dengan itu dia cuba menutupi kesilapan itu dengan menyalahkan kepimpinan selepasnya. Seolah-olah kemelut orang Melayu yang masih berterusan bukan bermula pada zamannya. Sebab itulah Azizi meluahkan kemarahannya dengan mencipta sebuah cerpen yang berjudul, “Si Pikun Itulah,” supaya masyarakat tidak melupakan dosa-dosa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir.

Jujurkah Dr. Mahtahir dalam tegurannya? Amat disangsikan kejujurannya kerana umum melihat dia hanya semata-mata mahu mengekalkan momentum kepopularitiannya dari pandangan umum. Dia tidak mahu tenggelam dalam arus gelombang politik tanah air dan dunia yang semakin ruwet ini.

Apakah ‘Perkasa’ pimpinan Ibrahim Ali dapat lakukan untuk membela orang Melayu? Saya tidak fikir ‘Perkasa’ atau Ibrahim Ali dapat melakukan sesuatu yang drastik yang boleh menukar dasar Umno/BN. Seperti juga Dr. Mahathir, Ibrahim Ali mencari tempat yang boleh terus mengapungkan popularitinya di kalangan orang Melayu dengan menubuhkan ‘Perkasa’ yang kononnya memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu.

Dalam arena politik, Ibrahim Ali sudah dapat melihat jalur-jalur gelap dalam perjalanan dunia politiknya. Dia tidak akan dipilih semula oleh Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti kerana melanggar akujanji. Dalam Umno, kemungkinan dia dipilih sebagai calon amat tipis kerana ramai ahli Umno sudah lama menunggu untuk dicalonkan. Lagipun sejarah kesetiaan beliau dalam Umno sudah diketahui ramai di kalangan ahli-ahli Umno sendiri. Ramai ahli-ahli Umno menaruh sangsi terhadap beliau. Untuk menjadi calon bebas, waimah di tempatnya sendiri, di Pasir Mas, dia tidak mungkin akan menang. Maka untuk mempersiapkan supaya nama beliau tidak tenggelam dalam dunia politik orang Melayu, maka ‘Perkasa’ lah tempat dia bernaung untuk terus bernafas sebagai alat penyelamat mengapungkan kepopularitiannya di kalangan orang Melayu.

Kalau pun benar ketuanan dan hak keistimewaan orang Melayu sudah terhakis, siapakah yang menghakisnya? Sudah tentu Umno/BN yang berkuasa. Sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri yang berkuasa penuh, Mahathirlah sepatutnya memikul tanggungjawab itu. Kenapakah perkara ini berlaku pada ketika kuasa politik berada di tangan pemimpin Melayu/Umno? Kenapa Ibrahim Ali tidak mempertahankan hak dan ketuanan Melayu ketika beliau masih berada dalam Umno? Apa ‘Perkasa’ boleh lakukan di luar kuasa pemerintahan, kecuali melaung, meratap dan merintih sebagai kesinambungan manifestasi kewujudannya di kalangan orang Melayu.

Dari segi teori politik, umum melihat ‘Perkasa’ menjadi alat kepada Umno. Kewujudan ‘Perkasa’ adalah strategi politik Umno untuk menarik semula sokongan orang Melayu kepada Umno. Ini dikuatkan dengan ramainya penyokong dan ahli Umno sendiri menganggotai ‘Perkasa.’ Hala tuju perjuangan ‘Perkasa’ sehaluan dengan perjuangan dan ideologi Umno. Kebebalan politik Umno mahu diserapkan di dalam ‘Perkasa’ dan ‘Perkasa’ pula cuba memikat sokongan orang Melayu dengan mempropagandakan kononnya mempertahankan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu.

Maka orang Melayu pun turut sama dibebalkan oleh pemimpin-pemimpin bebal ini yang membawa mereka kepada alam fantasi Mat Jenin dan tidak berjejak di bumi nyata. Orang Melayu terus diperbodohkan dengan slogan-slogan yang retorik, yang hanya disanjung, dinyanyi dan didendangkan ketika pemimpin yang mencipta slogan itu masih berkuasa. Selepas tidak berkuasa, tiada siapa yang peduli dan hiraukan lagi slogan-slogan itu. Ini bukan andaian tetapi sudah terbukti berlaku.

Apakah orang Melayu begitu bodoh sekali dengan muslihat ini? Saya yakin orang Melayu sekarang tidak lagi sebodoh orang Melayu pada era tahun 60 an dahulu. Akan tetapi tidak juga boleh dinafikan, ada juga segelintir orang Melayu yang sanggup diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang ‘bankrap’ idea dan bebal ini.

Mereka yang hadir pada perasmian ‘Perkasa’ di PWTC baru-baru ini telah ditiup semangat mereka persis meniup air di dalam gelas menggunakan ‘straw’, yang timbul hanya buih-buih yang terapung di permukaan air. Kehadiran ramainya mereka yang sudah renta, rumah kata pergi, kubur kata mari; menjadi petanda bahawa perjuangan ‘Perkasa’ tidak akan sampai ke mana-mana. Ianya hanya penuh dengan retorik dan semangat keMelayuan yang berkobar-kobar dalam alam ilusi mimpi yang mengasyikkan.

No comments: