Wednesday, 14 July 2010

Cerpen "B O L A"

Pelik! Sungguh pelik! Tiba-tiba sahaja perangai Abah berubah. Dulu perangainya tidak seperti ini. Kalau fasal bola dia tidak ambil kisah pun. Dia tidak minat pun bermain bola. Tetapi semenjak demam piala dunia, perangai Abah tidak macam dulu lagi. Abah menjadi seorang yang amat meminati bola. Nama-nama negara yang mengambil bahagian dalam perlawanan itu dihafalnya. Malahan nama-nama pemain pasukan yang disokongnya sentiasa sahaja bermain-main di bibirnya.

Pada awalnya Abah hanya menonton di depan televisyen. Setiap malam Abah akan setia di hadapan tv menonton perlawanan bola itu sehingga ke pagi. Kadangkala Abah tertinggal solat Subuh kerana hampir waktu Subuh baru Abah terlelap. Esoknya berposak ibu mengerakkannya supaya bangun untuk pergi kerja.

Abah menguap panjang kerana tidak puas tidur. Setiap pagi Abah sangat liat bangun. Abah benar-benar sudah mabuk, mabuk bola. Malahan dia sudah jadi tahi bola.

Kalut! kalut! Abah bukan sahaja gemar menonton bola tetapi dia sudah gemar membeli bola. Abah beli dan bawa pulang beberapa biji bola. Bola yang mirip dalam perlawanan piala dunia itu, berwarna putih hitam bertompok-tompok, menjadi kegemarannya. Abah juga membeli beberapa helai jersey pasukan yang disukainya. Bola dan jersey itu didakapnya dalam tidurnya apabila dia terlena di atas sofa di hadapan peti televisyen.

Abah bersorak, menjerit dan bertepuk tangan apabila pasukan yang disokongnya berjaya menendang bola masuk ke dalam gawang. Abah menjerit kuat, Gol! Gol! Gol!. Jeritannya tidak disenangi Ibu dan Atuk yang sedang lena tidur. Suara sorakan Abah mengganggu kenyamanan tidur Ibu dan Atuk. Ibu membebel panjang, Atuk membisu, memeram perasaan.

Kalau pasukan pilihannya kalah, Abah moyok macam ayam berak kapur. Dia memaki-maki pemain bola itu kerana tidak berpuas hati dengan corak permainan mereka. Abah merungut, ketika ada peluang pemain tersebut tidak menendang masuk ke dalam gawang, sebaliknya melepasi palang gol. Abah memaki-maki dan marah-marah, macam dia tahu sangat bermain bola. Semua orang tahu Abah tidak boleh bermain bola. Abah bukan sahaja kaki bangku, tetapi berkaki palsu.

Gila Abah sudah melarat ke peringkat mendera. Kadang-kadang Abah kejutkan Ibu yang sedang nyanyak tidur di tengah malam supaya membuat kopi O untuknya. Setiap malam sudah tersedia sebungkus kacang goreng cap tangan untuk dikunyah sambil menghirup kopi O panas. Kata Abah, kalau pekena dengan kopi O panas mata tidak mengantuk. Kesian Ibu terpaksa akur dengan suruhan Abah, menyerang air dan membancuh kopi di tengah malam.

Atuk mengamuk sakan apabila tahu Ibu terpaksa membuat kopi O panas di tengah malam semata-mata untuk Abah berjaga menonton perlawanan bola piala dunia. Pada membuang masa begitu, lebih baik sembahyang tahjud atau membaca Quran, sungut Atuk. Bola itu berpuaka. Tak ada faedahnya menonton bola, itu permainan orang bodoh. Orang yang menontonnya turut diperbodohkan oleh mereka yang bodoh itu. Atuk terus berungut, marah.

Atuk memang tidak berminat dengan pemainan bola sepak. Atuk hanya berminat bermain catur atau dam. Berjam-jam dia boleh berada di hadapan papan catur atau dam, merenung dan berfikir panjang sebelum mengerakkan buah catur atau buah dam. Katanya permainan ini menggunakan akal. Kita berfikir untuk mengatur strategi mengalahkan lawan. Otak dan akal kita menjadi cergas apabila kita banyak berfikir.

“Bukan macam bola sepak, bola sebiji dikejar bagi nak gila oleh 22 orang. Itu kerja gila namanya,” rungut Atuk pada suatu hari apabila dia marahkan Abah mendera Ibu supaya membancuh kopi O di tengah malam. Atuk tambah berang apabila Ibu mengadu Abah sudah tidak tidur sebilik dengannya semenjak pesta bola sepak piala dunia bermula di Afrika Selatan. Abah sudah hanyut dengan kegilaan bolanya.

Abah hanya diam, tidak melawan. Tetapi saya menyanggah pendapat Atuk itu. Saya memberanikan diri untuk bersuara. Kata saya, “bermain bola sepak juga kena berfikir. Kena gunakan strategi juga. Malah menggunakan tenaga.”

Atuk merenung tajam ke muka saya. Keningnya berkerut. Misainya yang memutih panjang bergerak-gerak, mengerunkan saya. Renungan Atuk membikin saya gementar. Kalau Atuk hilang akal, silap-silap penampar singgah di pipi.

“Bukankah kerja bodoh mengejar sebiji bola beramai-ramai lalu ditendang ke dalam pintu gol. Bola juga menjadi bodoh apabila dibenarkan disepak. Orang yang cerdik tidak akan membenarkan disepak seperti bola. Jadi, bermain bola adalah permainan orang-orang bodoh.” Begitulah pandangan Atuk menguatkan hujahnya.

Muka Abah berkerut mendengar omelan Atuk. Abah mengisar duduknya. Dia semacam tidak bersetuju dengan pandangan Atuk. Akan tetapi suara Abah tersekat di kerongkongnya, bukan kerana takut, tetapi hormat kepada Atuk.

“Bola itu pun sememangnya bodoh,” tenor suara Atuk semacam melepaskan geramnya. Tiba-tiba Atuk merampas bola yang sedang didakap oleh Abah. Abah terkejut dan tergamam. Atuk membawa bola itu ke dapur. Abah dan saya termangau-mangau.

Sebentar kemudian Atuk kembali membawa sebilah parang tajam di tangan kanannya, manakala bola tadi dikepit di bawah ketiak kirinya. Atuk meletakkan bola itu di hadapan kami. Atuk menghayun parang lalu ditetaknya bola itu. Mata Abah tercerlung. Mulutnya terlopong macam mulut terowong. Abah terkejut macam melihat seekor harimau sedang memamah anak kesayangannya di hadapan matanya.

Parang tadi melantun setelah hinggap di atas kulit bola yang penuh berisi angin. Mujur belakang parang tidak terkena kening Atuk. Bola itu bergolek setelah menerima tetakan parang tajam Atuk. Parang yang tajam itupun tidak mampu membelah bola itu.

Atuk merenung mata parang itu. Dia hairan, parang yang digunakan untuk menyembelih lembu itu tidak lut kulit bola itu. Lalu Atuk suruh saya pegang bola itu, lantas Atuk menghiris parang itu di atas kulit bola macam menyembelih lembu layaknya. Sedikit demi sedikit mata parang itu terbenam ke dalam kulit bola. Tidak lama kemudian terdengar desis angin keluar dari dalam bola itu. Bola yang tadinya kembung menjadi kempis dan terbahagi dua.

“Lihat! Apa yang ada dalam bola ini? Kosong!.Benda yang kosong tidak berguna! Luarnya sahaja nampak cantik, kembang, licin dan berkilat. Dalamnya kosong! Kosong!” ujar Atuk semacam menyindir Abah. Abah terkedu.

Setelah amukan Atuk, Abah sudah tidak menonton perlawanan bola di rumah lagi. Setiap malam Abah akan keluar dengan seorang teman yang baru dikenalinya yang datang menjemputnya di rumah. Teman barunya seorang lelaki Cina yang juga berminat dengan bola. Abah berpayah-payah berjalan menggunakan tongkat untuk menopang kaki palsunya. Kaki kanan Abah kudung setelah terkena jerangkap samar ketika berkhidmat di dalam tentera. Sejak pencen, Abah hanya makan duit pencen sahaja. Tiada siapa yang membantunya. Ibu yang berkerja membantu belanja dapur.

Ibu dan Atuk berasa tenteram apabila Abah tidak lagi membuat bising menonton perlawanan bola melalui tv. Mereka nyanyak tidur sehingga ke pagi. Mimpi mereka tidak diganggu oleh sorakan dan jeritan suara Abah di tengah malam. Sehinggakan Abah tidak pulang sepanjang malam pun mereka tidak sedar. Dulu, bagaimana sibuk sekalipun, Abah tetap pulang setiap malam. Abah sudah mendapat kawan yang serasi dengannya di luar.

Malam final, Abah awal-awal lagi sudah keluar rumah bersama-sama teman-temannya. Selepas waktu Asar Abah dibawa pergi oleh lelaki Cina itu untuk ke suatu lokasi bagi menyaksikan perlawanan akhir piala dunia. Di mana lokasi Abah pergi, Ibu dan Atuk tidak tahu. Mereka tidak mahu ambil tahu. Abah sudah tidak dengar nasihat lagi. Abah terlalu asyik dengan bola macam sepasang kekasih sedang berasyik maksyuk.

Ketika Abah keluar dia memakai jersey pasukan Belanda. Malah mukanya pun dicat dengan warna bendera Belanda. Belanda menjadi pilihan Abah. Abah yakin Belanda akan menjadi juara piala dunia kali ini mengalahkan Sepanyol. Walaupun sotong yang bernama ‘Paul’ meramalkan Sepanyol akan memenangi perlawanan itu, Abah lebih yakin dengan ramalan Bomoh Siam yang dikunjunginya untuk membuat ramalan itu. Bomoh Siam itu meramalkan kedua pasukan sama hebatnya. Walau bagaimanapun Belanda akan menang satu kosong. Meyakini ramalan Bomoh itulah, Abah memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Belanda.

Abah benar-benar menjadi separa gila apabila pasukan pilihannya kalah satu kosong. Abah menyumpah seranah pasukan Belanda yang kalah. Pelbagai kata nista, kutukan dan maki hamun dihamburkan terhadap pasukan itu. Malah Abah juga menyumpah-nyumpah Bomoh Siam yang salah ramalannya. Dia berasa tertipu pula. Kepala Abah pusing, ligat macam baling-baling.

Abah pening-pening lalat ketika sepasukan polis datang menyerbu lokasinya pada dinihari itu. Serbuan itu dilakukan serentak oleh pasukan polis dan penguatkuasa Jabatan Agama Islam. Abah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam perjudian perlawanan bola piala dunia. Pejabat agama juga mahu mendakwa Abah bukan sahaja atas kesalahan berjudi tetapi atas kesalahan minum arak. Polis mendakwa mereka ada kuasa untuk menahan Abah di bawah Undang-Undang Jenayah Sivil. Pejabat Agama juga mendakwa mereka punya kuasa menahan Abah sebagai seorang Muslim di bawah Undang-Undang Jenayah Syariah. Abah bingung. Undang-Undang yang mana satu mahu dikuatkuasakan terhadapnya.

Kepala Abah terus pusing, ligat macam gasing. Terasa berat kepalanya macam sebongkah beban berada di pundaknya. Oleh kerana tidak terlarat menanggung beban yang semakin berat itu, Abah rebah. Pagi itu Abah tidak pulang-pulang ke rumah.

Petang berikutnya Ibu dan Atuk dikunjungi sekumpulan lelaki Cina. Mereka datang mencari Abah. Mereka datang menuntut wang yang dipinjam oleh Abah untuk berjudi. Mereka memberi kata dua, kalau Abah tidak bayar hutang itu keselamatan Abah dan keluarganya di dalam bahaya.

“Lu punya rumah dan tanah jadi milik gua, ma!,” ugut salah seorang lelaki itu sambil mengoyang-goyang geran tanah milik Atuk.

Atuk tergamam. Biji mata Atuk terbelalak.

“Hei! Kamu ini siapa huh?” Tanya Atuk dengan nada marah.

“Kami, Along!”

Atuk menepuk dahi. Kakinya layur. Atuk terjelepok di atas tanah. Ibu menangis terisak-isak. Saya menangis di dalam hati.

No comments: