Tuesday, 19 April 2011

Azizi Masih di hospital

Sabtu lepas aku bersama isteri dan dua orang cucu pergi menziarahi Azizi Hj Abdullah di hospital Pulau Pinang wad jantung. Sepanjang jalan dari KL ke PP hujan sangat lebat sekali. Namun begitu dalam terkial-kial memandu, Alahamdulillah, kami selamat sampai di PP. Sebaik sampai di wad CRW aku lihat Azizi sedang lena tidur. Cucu perempuannya ada di sebelahnya. Aku segan mahu gerakkan dia, tetapi dia semacam tersedar kedatangan aku kerana aku sudah beritahu dia sebelum itu akan menziharinya. Dia bingkas bangun, lebar senyumannya menampakkan beberpa batang giginya yang rongak. Aku lihat air mukanya ceria, namun hatinya tentu kusut dan bimbang kerana menunggu tarikh pembedahan yang belum kunjung tiba. Dah 4 minggu, bayangkan betapa bosannya menunggu. Apapun kita doakan semoga dia akan pulih segera dan selamat menjalani pembedahan dadanya (sekiranya berlaku). Aku beri semangat kepadanya supaya tabah menghadapi dugaan itu. Aku pernah juga menjalani angidogram iaitu dipasang belon dan 'stand' untuk meluaskan saluran darah ke jantung. Tapi pada masa itu aku tabah dan tetapkan iman dan terus berdoa, kalau ada umur tentu selamat, kalau sudah ditakdirkan sampai di situ, terima saja qadak dan qadar itu. Moga Azizi akan selamat, Insyallah. Cuma aku agak terkilan sedikit melihat nasib penulis/sasterawan seperti Azizi dan kawan-kawan lain. Nasib penulis/sasterawan tak seperti selebriti ataupun ahli sukan yang mendapat perhatian daripada kerajaan, diberi pelbagai hadiah, anugerah dan entah macam-macam lagi. Azizi seorang sasterawan terkenal, telah menghasilkan banyak novel dan cerpen. Dia juga telah menerima SEA Write Awards daripada kerajaan Thailand. Memenangi dan menerima pelbagai hadiah sastera. Akan tetapi ketika sakitnya amat daif sekali, bagaikan jasanya tidak dikenang langsung. Kerajaan, ahli politik kerajaan dan PR pun macam tak ambil kisah tentang nasib malang golongan penulis/sasterawan. Lebih sedih lagi Persatuan-Persatuan Penulis yang berselerak di seluruh tanah air. Gapena juga semacam tidak ambil kisah, bagaikan tuli teliga mereka dan kabur pandangan mereka. Gapena harus berbuat sesuatu untuk membela golongan penulis/sasterawan. Kalau kerabat dan kekawan penulis pun tak ambil kisah, siapa lagi yang harus kita harapkan?

No comments: