Tuesday, 7 June 2011

Pesta Buku, Hari Ilmu dan Konvensyen Penulis

Pesta Buku Selangor akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam bermula pada 24 Jun - 3 Julai 2011. Bersempena dengan pesta buku ini akan diadakan juga perhimpunan serta konvensyen penulis pada 26 Jun 2011 (Ahad) bermula pada jam 10 pagi hingga 5.00 petang. Pada hari yang sama (26 Jun) juga akan berlangsung majlis perasmian pesta buku serta Sambutan Hari Ilmu yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kedua-dua acara tersebut, iaitu pesta buku dan konvensyen penulis adalah diajurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Majlis perhimpunan serta konvensyen penulis dibuka kepada golongan penulis dalam semua genre seperti wartawan, penulis akademik dan agamaan, jurnal, rencana atau artikel, penulis kolum, penulis kreatif seperti novel, puisi, cerpen, lirik, syair, gurindam dan sebagainya. Bloggers, penulis facebook dan twitter juga dikategorikan sebagai penulis dalam kriteria ini. Ianya terbuka kepada golongan penulis di seluruh negara seperti yang disebutkan di atas. Penyertaan adalah percuma.

Mengikut jadual, perasmian akan berlangsung pada jam 10.00 pagi pada 26 Jun oleh Menteri Besar Selangor. Pada majlis yang sama akan diumumkan penerima anugerah Penulis Selangor yang akan menerima RM 10,000.00 berserta hadiah sampingan sumbangan kerajaan Negeri Selangor sebagai pengiktirafan kepada golongan penulis di Selangor. Difahamkan nama tokoh penulis yang bertuah itu telah dikenal pasti di antara tiga nama yang telah disenarai pendek untuk menerima anugerah ini.

Selepas perasmian akan diadakan majlis dialog antara para penulis dengan Menteri Besar secara terbuka, telus dan tanpa tapisan, tetapi berhemah dan bersopan. Golongan penulis digalakkan menyuarakan apa saja kemusykilan atau cadangan kepada Menteri Besar.

Mengikut jadual, pada sebelah petangnya akan berlangsung pula konvensyen penulis, medan wacana untuk golongan penulis berbicara, berbincang, berinteraski secara telus dan kritis sebagai pemangkin wadah ilmu sesuai dengan tema pada majlis itu iaitu; 'Merakyatkan Ilmu: Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan.' Konvensyen akan berpandukan kepada ucaptama yang akan disampaikan oleh seorang tokoh penulis. Turut hadir sebagai panel konvensyen ini ialah SN Datuk Anuar Ridwan dan SN Datuk A. Samad Said. Mereka akan diiringi oleh YB Dr. Halimah Ali dan YB Rodziah Ismail, exco-exco kerajaan Selangor. Manakala moderatornya ialah Sayed Munawwar Al Jamalullail, pengacara TV 1.

Hasrat Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Puan Mastura Mohamad, mahukan seramai mungkin golongan penulis hadir pada majlis perhimpunan ini. "Kalau boleh, tidak kurang 1,000 orang," katanya. Menurutnya peranan penulis tidak boleh dikesampingkan dalam perkembangan ilmu, tamadun manusia, apa lagi dalam politik kontemporari. Tanggungjawab kerajaan terhadap golongan penulis juga tidak harus diabaikan. "Kita percaya banyak isu dan masalah berada dalam kalangan penulis, pada majlis dialog dengan Menteri Besar nanti bolehlah diluahkan segala yang terbuku di kalbu. Kita mahu supaya kerajaan, tak kiralah kerajaan pusat atau negeri harus prihatin dan peka terhadap golongan penulis. Penulis turut berperanan dan sangat signifikan kepada pembangunan negara serta membentuk jati diri warga negara demi membina negara bangsa.

Bagi memudahkan urus setia pengajur, mereka yang berhasrat menghadiri perhimpunan dan konvensyen penulis ini hendaklah mengisi borang yang telah disediakan oleh pihak urus setia. Borang boleh didapati daripada urus setia melalui laman sesawang; www.pestabukuselangor.my Atau e mel suzliana@ppas.orng.my, sufiaz27@yahoo.com Atau Tel: 03-55197667, 012-2221455 (Suzliana bte Abd. Hamid.) Borang-borang yang telah diisi hendaklah dikirimkan kepada PPAS atau e-mel atau fax: 03-55196045. Segala pertanyaan atau kemusykilan boleh juga diajukan kepada urus setia melalui maklumat di atas.

Ayuh! Jom! kita ramai-ramai menghadiri perhimpunan dan konvensyen penulis ini. Ianya julung-julung kali dianjurkan oleh pihak kerajaan. Kesempatan ini patut golongan penulis ambil untuk menyatakan hasrat dan pandangan mereka terhadap kealpaan kerajaan kepada golongan penulis. Ayuh! Kita ramai-ramai ke sana! Jumpa di sana.......sana.........ana...na ..26 Jun 2011.

2 comments:

Nurul Farehah Jaamad said...

Assalamualaikum,

InsyaAllah saya akan hadir di majlis Konvensyen tersebut. Terima kasih, Tuan Razali atas makluman itu.

Hamdan said...

terima undangan melalui cikgu aziz (muar) dan ucapkan berbanyak terima kasih. malangnya tak dapat nak hadir. Semoga semua berjalan lancar. semoga berjaya.