Wednesday, 20 June 2012

Debat SS tidak mengecewakan

Tadi malam aku berkesempatan menonton debat antara YB Safiuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Majlis Tertinggi Umno dengan YB Sallehudin Ayub, Naib Presiden Pas dan wakil rakyat Kubang Kerian. Terima kasih kepada Astro Awani yang menyiarkan debat itu secara langsung. Sebelum itu dikhabarkan Astro tidak mahu menyiarkan debat itu, akan tetapi di saat akhir atas bujukan pelbagai pihak termasuk pihak penganjur, (Krangkraf) maka para penonton dapat mengikuti debat itu selama satu setengah jam.

Aku dapati kedua-dua pendebat mempunyai kewibawaan tersendiri dalam mengemukakan hujah masing-masing. Akan tetapi, mengikut penilaian aku, hujah Safiuddin kebanyakannya adalah ulangan apa yang pernah diperkatakan oleh kepimpinan Umno sebelum ini berkaitan dengan Demonstrasi Jalanan Bersih 3.0. Tidak ada hujah baru. Apapun aku kira Safiuddin berjaya mengemukakan hujahnya dengan yakin dan jelas mencakupi pelbagai alasan untuk mempertahankan hujahnya.

Manakala hujahan Sallehuddin Ayub banyak mengandungi alasan dan fakta baru bagi menyokong hujahnya. Yang paling menarik di akhir debat itu dengan penuh sinis Sallehuddin menjawab komen Safiuddin tentang betapa sopan dan lembutnya PM Najib yang sentiasa tersenyum. "Takkanlah watak PM yang sentiasa tersenyum itu tidak boleh dibawa berbincang," begitu kira-kira komen Safiuddin.

Sallehuddin menjawab, "Memang kita hormat Najib sebagai Perdana Menteri yang sentiasa tersenyum, tetapi di sebalik senyuman itu biarlah ada keikhlasan. Kalau senyumannya ikhlas sudah barang tentu dia tidak terus menerus menarik royaliti minyak yang bukan sahaja ia perbuatan zalim tetapi menyeksa rakyat Kelantan dan merampas hak rakyat. Hak rakyat mesti dipulangkan kepada rakyat."

Dalam penggulungan akhirnya Safiuddin menjawab, Speaker Dewan Rakyat tidak mentakrifkan itu sebagai royaliti tetapi 'wang ihsan."  Inilah salah satu contoh yang saya katakan Safiuddin tidak ada   hujah baru. Ini jawaban klise yang selalu kita dengar dijawab oleh pimpinan Umno. Benarkah itu wang ihsan? Apakah dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Kelantan istilah 'wang ihsan' digunakan, bukan royaliti? Kalau begitu keadaannya kenapa Sabah dan Sarawak masih dibayar royaliti, bukan wang ihsan? Jangan membingungkan rakyat dengan alasan dan fakta yang tidak meyakinkan. Rakyat sudah celik dan faham antara berkata benar dengan pembohongan! Jangan cuba mempertahankan pimpinan Umno dengan pembohongan.

Walau bagaimanapun aku angkat tabik kepada kedua-dua pendebat ini yang sangat berwibawa dan berani bersemuka. Kedua-duanya sebaya dan tergolong dalam angkatan muda. Mereka berpontensi sebagai pemimpin sekiranya diberi peluang. Selepas ini di medan manakah YB Safiuddian akan berjuang? Beberapa kali Sallehuddin menjolok bahawa Safiuddin akan lebih terserlah sekiranya dia berada bersama-sama Pakatan Rakyat. YB Safiuddin kelihatan tersenyum saja setiap kali Sallehuddin cuba mengusiknya. Dia tidak respons pun. Apakah kemungkinannya selepas ini?

No comments: