Thursday, 21 June 2012

Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat di Melewar Pada 7 Julai ini

Persatuan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) akan mengadakan himpunan para seniman, sasterawan dan budayawan pada 7 Julai ini di Taman Melewar bagi tujuan memungut derma membantu pembinaan Lebuhraya Rakyat di Kelantan.

Paksi teruja dengan rayuan MB Kelantan TG Nik Abd. Aziz Nik Mat yang memohon rakyat menghulurkan bantuan untuk menjadikan projek yang sedang diselenggarakan itu menjadi kenyataan.  Kerajaan Negeri mengambil keputusan melaksanakan projek ini kerana janji-janji kerajaan pusat tidak ditunaikan sehingga kini. Oleh kerana biaya pembinaan itu mencapai 1.8 bilion ringgit, kemampuan kerajaan Kelantan untuk membiyai sepenuhnya projek itu akan menghadapi jalan sukar. Justeru itu TG Nik Aziz menyarankan supaya rakyat turut terlibat dalam pembinaan lebuhraya ini demi kepetingan rakyat. Lebuhraya ini tidak akan dikenakan tol.

Paksi terpanggil dengan seruan TG kerana yakin projek yang dilaksanakan itu akan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Lagipun ada keikhlasan dalam nada seruan TG dan percaya projek itu dilaksanakan kerana Allah dan rakyat Kelantan.

Berdasarkan keyakinan itulah Paksi menyahut seruan TG Nik Aziz dengan kemampuan yang ada untuk membantu sedikit sebanyak bagi menjayakan projek itu. Kemampuan kami ialah mengadakan persembahan seni dan sastera seperti membaca puisi, melagukan lagu puisi, seksta, nyanyian, seni lukis dan seumpamanya. Maka dengan itu Paksi telah memutuskan untuk menghimpunkan seramai mungkin para artis, seniman, sasterawan dan budayawan bagi mempersembahkan kesenian yang mereka miliki bagi tujuan memungut derma lebuhraya rakyat ini.

Tarikh yang dipilih untuk himpunan ini ialah pada 7 Julai 2012 (Jumaat) bermula jam 9.00 malam di markas Pas Taman Melewar, Kuala Lumpur. Malam yang diberi nama "Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat " akan dirasmikan oleh SN Datuk A. Samad Said. Turut memberikan persetujuan untuk menjayakan program ini ialah penyanyi Wan Aishah, Bob Lokman, Leman Raja Lawak. Para penyair yang akan turut serta antaranya ialah Pyanhabib, Dinsman, Rahmat Haron dll. Selain itu lelongan buku dan lukisan juga akan diadakan sebagai salah satu cara memungut sumbangan ini.

Penceramah khas malam itu ialah Mohamad Sabu. Manakala YB Husam dan beberapa orang pegawainya akan turun dan menyertai himpunan ini. Paksi telah meminta YB Husam menayangkan video berkaitan pembinaan lebuhraya ini sekitar 5 minit. Beliau juga dijangka akan menerima serahan kutipan derma pada malam itu bagi pihak kerajaan negeri Kelantan.

Program ini adalah juga dengan kerjasama Pas Kawasan Batu.

Sehubungan dengan itu Paksi menyeru agar para hadirian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dapat beramai-ramai hadir dalam program ini bagi menjayakan usaha murni ini. Paksi percaya setiap niat yang baik akan dibalas kebaikan jua oleh Allah SWT. Datanglah beramai-ramai disamping berhibur dan bersantai, menderma kerana Allah. Bawalah seikhlas wang untuk didermakan. Jangan lupa peminat buku dan lukisan untuk sama-sama membeli buku dan lukisan sambil menderma. Bawalah seramai mungkin kawan-kawan dan ahli keluarga pada malam itu. Insyallah usaha yang murni ini akan diberikan laluan mudah dan diberkati oleh Allah SWT.

No comments: