Sunday, 6 January 2013

Wajarkah Hj. Hadi dibenarkan ke udara melalui RTM dan TV3?

Ini kisah 'Amanat' Hj. Hadi Awang dikecohkan semula oleh puak-puak UMNO dan medianya. Dah 31 tahun yang didakwa kononnya 'Amanat' ini dan dikatakan telah memecah belahkan umat Melayu dikitar semula semata-mata bukan kerana mahu mencari penyelesaian tetapi lebih bermotifkan politik.

Hj. Hadi sudah menjawab mengatakan apa yang dikatakan 'Amanat' itu hanya petikan daripada ucapan beliau pada tahun 1981. Dan dia tidak pernah mengatakan ucapannya itu sebagi 'Amanat" apa lagi mendakwa telah mengeluarkan 'Amanat.' Menurut beliau yang melebelkan 'Amanat' ialah puak-puak parti lawan terutama UMNO dan disokong oleh beberapa orang para Mufti yang hanya tahu berkata ya kepada tuan-tuan mereka. Ini lebih bermotifkan politik untuk mencemar nama beliau dan parti PAS yang dipimpin oleh beliau. Ia tidak berunsurkan keilmuan agama Islam.

Kisah ini hanya timbul apabila Pilihan Raya Umum (PRU) menjelang tiba. Setiap kali PRU akan menjelang, inilah cerita yang diputar semula oleh puak-puak ini. Kalau benar ianya memecah belahkan ummah, kenapa tidak diselesaikan sejak awal lagi? Kenapa ditimbulkan pada musim PRU saja? Barangkali orang yang tidak tahu berfikir akan menerima propaganda ini. Sebab itu UMNO mahu orang Melayu terus menjadi bodoh dan boleh diperbodohkan oleh mereka. UMNO tidak mahu Melayu menjadi cerdik. Kesian Melayu!

Jadi tuntutan Hj. Hadi supaya diberikan ruang selama satu jam melalui siaran langsung RTM dan TV 3, adalah sesuatu yang wajar bagi diberi kesempatan para penonton dan rakyat mendengar serta menilai sendiri apa yang didakwa sebagai 'Amanat' itu. Selama ini media ini dan media-media UMNO saja yang menuduh (sebelah pihak) tentang 'Amanat' ini yang kononnya memecah belahkan umat Islam. Rakyat perlu mendengar sendiri daripada beliau dan ini adalah hak rakyat untuk mendengar daripada beberapa pihak dan sumber yang jelas dan utama. Oleh hal yang demikian, RTM dan TV 3 wajar beri laluan kepada mereka.

Sejak awal lagi, apabila Rais Yatim bersetuju memberikan laluan dengan beberapa syarat, aku yakin perkara ini tidak akan dipersetujui oleh kerajaan UMNO. Mereka tak akan beri ruang kepada sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan mereka menggunakan media rakyat untuk menjelaskan beberapa isu. Sebab itu, setelah pengkhianat-pengkhinat parti keluar draipada PR, mereka diberi ruang yang luas menghentam kembali musuh politik mereka. Contoh, Hasaan Ali, Zulkifli Nordin dan beberapa orang lagi.

Media ini bukan untuk membina keintelektualan rakyat tetapi sebagai medan politik untuk memperbodohkan rakyat. Rakyat terus-terusan dinafikan hak untuk mendapat maklumat daripada pihak yang satu lagi. Mereka memaksa rakyat supaya menerima saja maklumat yang dibentangkan oleh mereka sebagai sahih. Sebab itu isu Depak, Atantutya, Kapal Selam, Feedlot, terbaru Raja Roopiah digelapkan dalam media mereka. Mereka cuba menggambarkan mereka inilah kononnya 'Malaikat' bukan 'Syaitan'. Akan tetapi lebel 'Syaitan' sudah dimeteraikan sendiri oleh Dr. Mahatahir yang mengaku 'UMNO lah syaitan' itu!

Oleh kerana Rais Yatim sudah menutup ruang untuk Hj. Hadi menjelaskan melalui media ini, aku kira pihak Hj. Hadi dan PAS tak payah lagi melayani sebarang pertanyaan atau interview media dalam isu ini. Kalau dilayan akan menjadi lebih celaru lagi dan akan diputar belitkan lagi oleh puak-puak mereka, Cukuplah setakat ini. Kalau tidak diberikan ruang, tutup mulut saja. Kalau dilayan akan diberikan 'political mileage' kepada puak-puak Umno ini. Aku fikir itu lebih molek! Walahhualam!

No comments: