Salah sebuah novel terbaru saya berjudul 'Cinta AF' sudah berada di pasaran. Novel ini terbitan 2011 dan diterbitkan oleh Penerbitan Fikir Enterprise. Harga sebuah RM 18.50 (SM) dan RM 20.00 (S/S). Tambah RM 2.00 bagi pesanan melalui pos. Pesanan boleh dibuat melalui e mel razaliendun@gmail.com atau SMS di talian 019-6658064.
Novel ini meskipun diberi tajuk 'cinta,' namun saya tidak terjumpa ada kisah cinta per se di dalamnya, demikian komen Prof Dr. Irwan Abu Bakar ketika mengulas novel ini. Katanya lagi, kandungannya banyak berunsur dakwah dan sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat terutama golongan remaja.
Untuk pengetahuan pembaca di bawah ini diperturunkan sinopsis novel ini seperti tercatit di belakang novel berkenaan:-
" Dunia hiburan menjadi kegilaan anak-anak muda. Ramai yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi, pelakon atau selebriti. Kerjaya ini dianggap sesuatu yang menjanjikan kemewahan, kepopularitian dan glamor.
Cita-cita ini juga menjadi impian Lokman dan Alif, dua orang remaja di sebuah perkampungan Felda untuk mencuba nasibnya di dalam sebuah program realiti yang penuh fantasi, anjuran sebuah stesen tv. Flasfahnya, 'biar gagal dalam usaha, jangan takut mencuba,' menjadi dorongan kuat baginya menyertai AF sebagai pentas mencungkil bakatnya.
Manakala ustaz Munir mahukan supaya Lokman menyelam sambil minum air. Beliau tidak menghalang Lokman memenuhi cita-citanya dalam bidang nyanyian, tetapi disamping itu mahu Lokman berdakwah kepada peserta-peserta AF yang dianggapnya sudah terpesong daripada adab sopan.
Ketika di AF, Lokman berasa suasana yang sangat berlainan daripada suasana persekitaran di kampungnya. Sebagai anak di perkampungan Felda yang berpendidikan agama, pengalaman barunya di AF menjadi kejutan budaya pada dirinya. Dia bukan berhadapan dengan realiti tetapi di kelilingi oleh suasana fantasi dan ilusi.
Setelah berjaya dalam AF, Lokman semakin terbelenggu dalam dunia hiburan yang mencabar kerja-kerja fardhu 'ain dan dakwahnya. Dia di kelilingi oleh gadis-gadis cantik, menjadi pujaan dan idola para remaja sehingga menimbulkan kecurigaan tunangnya yang berada di kampung.
Lokman menghadapi konflik besar dalam dirinya, bergelojak dan tidak tenteram, walaupun di kelilingi kemewahan, kepopularitian serta glamor. Lokman berada di persimpangan. Apa sebenarnya yang dicari oleh Lokman???"