Sebahagian perkerja Dawama berdemonstrasi di hadapan premis Dawama setelah tidak dibenarkan masuk.
Pagi Isnin, 1 Ogos aku ke Dawama di Hulu Kelang dengan hasrat mahu membeli buku-buku aku yang diterbitkan oleh DBP dengan harga potongan yang paling tinggi. Aku sempat membeli 50 naskah novel terbaru aku berjudul, 'Gelora Belantara' dengan potongan 50% pada hari Khamis 28 Julai. Jumaat aku tak ada masa nak pergi beli kerana ada urusan di DBP. Memang bercadang pada Isnin.
Malangnya pada pagi Isnin 1 Ogos bersamaan 1 Ramadan, ketika sampai di Dawama aku melihat pintu get permis itu dikunci dan ramai pekerjanya berhimpun di hadapan permis itu. Beberapa kereta peronda polis turut berada di situ. Baru aku tahu mereka (kakitangan) Dawama tidak dibenarkan masuk berkerja pada hari itu (lock-out).
Rupa-rupanya mereka telah menerima surat daripada majikan mereka pada hari Jumaat 29 Julai sebelum tamat waktu berkerja memberi mereka bercuti tanpa gaji, tanpa memberi tahu berapa hari cuti tanpa gaji itu diberikan. Ramai yang kesal dan bersedih dengan situasi begitu, lebih-lebih lagi ketika mahu menyumbat Ramadan dan Hari Raya.
Kisah Dawama ini memang dah lama didengar. Keluhan para pengarang, penulis dan sasterawan terhadap sikap Dawama yang tidak serius mengedarkan buku-buku terbitan DBP menyebabkan nama baik DBP terjejas, disamping menanggung kerugian setiap tahun. Dawama adalah salah satu projek zaman Mahathir yang berkonsepkan pensawastaan, dan nyata dan jelas sekali konsep ini adalah gagal, walaupun ada segelintir yang berjaya. Akibatnya bukan sahaja nama DBP terjejas, tetapi perkembangan bahasa dan sastera Melayu turut terbantut.
Aku pun hairan bagaimana perjanjian antara DBP dengan Dawama tidak boleh dibatalkan? Tidak adakah klausa pembatalan sekiranya salah satu pihak ingkar? Perjanjian ini pun semacam rahsia dan sepanjang pengetahuan aku tak pernah didedahkan kepada umum. Adakah perjanjian ini juga disenaraikan sebagai 'Rahsia' dan di bawah Akta Rahsia Kerajaan? Pelik dan hairan? Perjanjian pun nak di rahsiakan. Inilah sikap gerombolan yang mahu merahsiakan semua hal menyebabkan orang ramai menaruh syak wasangka terhadap tindakan mereka.
Alasan yang diberikan oleh Dawama dalam suratnya kepada kakitangannya ialah DBP ingkar perjanjian menyebabkan mereka sudah tidak ada kemampuan lagi untuk beroperasi. Aku pun hairan, perbalahan antara Dawama dengan DBP apa kena mengena dengan pekerja? Sepatutnya kedua belah pihak berunding dan mencari penyelesaian sebaik mungkin. Bukan bermusuhan dan menyebabkan para pekerja menjadi mangsa.
Pihak perkerja melalui Kesatuan sekerjanya dikhabarkan sudah pun menghantar Memorandum kepada TPM, Mahyiuddin Yassin yang juga selaku Menteri Pelajaran. Kata pekerja Dawama dua Memorandum telah disampaikan, tetapi sehingga krisis ini berlaku, tidak atau belum ada apa-apa tindakan lagi daripada TPM. Sebelum itu Gerakan Darurat Bahasa (GDB) yang diketuai oleh cik gu Azmi Hamid telah juga menyampaikan Memorandum meminta supaya TPM mengambil tindakan segera menyelamatkan DBP. Nampaknya Memo itu diperam begitu sahaja?
Mujur Ahli Parlimen Ampang, YB Fauziah Salleh sudi berkunjung untuk menyatakan rasa simpatinya. Dalam pertemuan YB Fauziah dengan para perkerja, beliau memberitahu akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan kemelut itu. Langkah pertama ialah dengan memanggil Sidang Media pada pagi ini (Selesa 2 Ogos) di hadapan premis Dawama di Hulu Kelang, menggariskan permasalahan dan cadangan penyelesaian. Yang paling utama, katanya ialah agar dapat menghubungi pihak majikan untuk berunding penyelesaian itu. Yang penting penyelesaian jangka pendek, iaitu bayaran gaji bagi bulan Julai harus dibayar terlebih dahulu kepada perkerja. Notis pun terlalu pendek dan tidak mengikut peraturan. Kalau tidak berjaya, tindakan susulan lain akan diambil termasuk meminta TPM masuk campur.
Apapun, ramai mempertikaikan bagaimana Dawama boleh mengalami kerugian, sedangkan dia memonopoli pengedaran dan percetakan buku terbitan DBP termasuk mencetak buku-buku teks untuk sekolah-sekolah. Kalau kerugian itu disebabkan kelemahan mereka mengurus, sepatutnya mereka bertanggungjawab. Aku kira DBP sepatutnya mengambil alih semula bahagian-bahagian yang telah diswastakan itu daripada Dawama. Malah, mengikut beritanya, premis di Hulu Kelang itu milik DBP. Ambil sahaja permis itu kembali dan manfaatkan sebaik mungkin.
AKU NAK CADANGKAN, KALAU DBP JADI AMBIL PREMISNYA DI HULU KELANG ITU, KHASKAN SUATU RUANGAN UNTUK KEGIATAN GOLONGAN PENULIS. SUDUT PENULIS DI BANGUNAN LAMA DBP PUN SUDAH LAMA DITIADAKAN, MENYEBABKAN AKTIVITI PENULISAN DAN SASTERA TIDAK ADA TEMPAT UNTUK DILAKSANAKAN. SEMOGA DBP AKAN DAPAT MEMULIHKAN IMEJNYA KEMBALI DAN PERKEMBANGAN BAHASA DAN SASTERA MELAYU AKAN TERUS SUBUR, TIDAK BAGAIKAN HIDUP SEGAN MATI TAK MAHU!
No comments:
Post a Comment