Wednesday 24 August 2011

Pemergian Azizi Kehilang Besar Bagi Dunia Kesusasteraan Negara

Pada awal pagi Ahad lalu 12 Ogos 2011 sedang saya menekuni novel 'Bumi Manusia,' karya Pramoedya Ananta Toer, di rumah di Melaka, saya menerima sms daripada Dinsman memaklumkan bahawa sahabat kami Azizi Hj. Abdullah baru meninggal dunia jam 7.50 pagi itu. Saya amat sedih menerima makluman itu kerana tidak menyangka beliau akan pergi secepat itu. Beliau sebaya dengan saya, cuma saya tua sekitar sebulan. Terasa pula bagaikan itu satu amaran pada saya bahawa giliran saya akan sampai tidak lama lagi.

Saya berkesempatan melawat beliau di hospital Pulau Pinang beberapa hari sebelum dibuat pembedahan jantung. Ketika itu beliau amat ceria dan cergas. Selepas itu saya tidak berkesempatan melawatnya kerana mendengar beliau dalam ICU selepas di operation. Keadaan kesihatannya saya dapat lewat Kassim melalui anaknya yang menghantar berita.

Saya lantas beritahu isteri untuk pergi ke Kulim melawat jenazahnya kali terakhir. Saya berlepas dari Melaka jam 11.45 pagi dan sampai di rumah beliau di Kulim sekitar jam 5 petang. Hanya berhenti solat di Tapah. Saya rasa hebat hari itu kerana tidak berasa mengantuk dan badan sihat. Jarang saya berhenti rehat satu tempat saja dalam perjalanan segeitu jauh. Tapi malam itu saya tidak pulang, sebaliknya bermalam di Butterworth kerana takut mengantuk dan keletihan.

Sesampai di rumah beliau, jenazah sudah dikebumikan selepas waktu zohor. berkesempatan bertemu isteri dan anak-anak beliau berserta sdra Anuar Asmadi. Dinsman, Kassim dan Nordin sudah pulang. Dengar kekawan dari Kedah ramai yang datang ziarah. SN Shahnon Ahmad juga datang. Alahamdulillah!

Segera saya teringat akan kelucuan dan jenakanya, ketika beliau masih hidup. Beliau memang suka berjenaka dan pada kawan-kawan rapatnya beliau memang suka berjenaka dengan macam-macam cerita yang dibawanya.

Saya memang minat membaca karya-karya Azizi. Novel, cerpennya memang bagus dan mempunyai nilai sastera yang tinggi. Beliau mengkritik masyarakat lewat karya-karya sasteranya. Banyak novel telah ditulisnya. Peminat sastera tentu tidak akan lupa novelnya, 'Seorang tua di kaki bukit,' yang pernah menjadi teks sastera di sekolah-sekolah. Novel terbarunya yang memenangi hadiah Mastera ialah, 'Sangeeta.' Saya pernah ulas novel ini dalam Mingguan Malaysia.

Sayangnya Azizi telah tidak sempat dinobatkan sebagai Sasterawan Negara, yang ramai sasterawan meyakini beliau layak dinobatkan gelaran itu. Dalam artikel saya dalam akhbar Siasah beberapa bulan lalu, saya telah membayangkan bahawa sekiranya anugerah SN ke 11 tidak jatuh padanya, maka beliau akan kepunan untuk mendapat anugerah itu. Dengan erti kata lain, kalau anugerah ke-11 SN terlepas, bermakna beliau tidak akan bermimpi menerima gelaran itu sebelum beliau mati. Secara kebetulan, andaian saya bagaikan menjadi kenyataan. SN ke-11 dinobatkan kepada Dr. Mohamad Kamal Abdullah atau Kemala.

Azizi banyak berjasa dalam jagat kesusasteraan tanah air. Banyak karya-karyanya seperti novel, cerpen, skrip drama radio/tv, rencana dsb. Walaupun beliau menerima banyak hadiah dan anugerah sastera termasuk SEA Write Awards, namun sepatutnya beliau telahpun dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Cerpen dan novel-novel beliau mengatasi beberapa orang SN yang lain. Mutu sastera dalam karya-karyanya tidak kurang hebat dengan beberapa SN yang lain. Mungkin beliau kekurangan dalam tulisan berbentuk kajian sastera yang berbentuk akademik, yang menjadikan pertimbangan jawatankuasa pinilai untuk tidak memilih beliau sebagai SN. Atau kerana beliau penyokong kuat parti pembangkang, yang menjadikan jawatankuasan penilai menerima tekanan untuk menobatkan beliau? Walahuallam!

Apapun kita berharap keluarganya menerima dugaan ini dengan sabar dan tabah dan marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah mencucuri Rahmat terhadap Rohnya dan ditempatkan di dalam para syuadak di dalam Jannah. Amin!

No comments: