Kelihatan SN Mohamad Hj. Salleh (Malaysia), Djamal Tukimin (Singapura), Taufik Ismail (Indonesia) dan Dr. Nik Abdullah (Thailand) pada majlis perasmian PPN V di Palembang.
Penulis (berkemeja-T Kuning) dan isteri turut sama dalam majlis bersejarah itu.
Hari ini 1 Ogos bersamaan dengan 1 Ramadan. Pada kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan, semoga tahun ini kita berjaya menghabiskan 1 bulan berpuasa dengan sempurna. Moga-moga amalan kita di terima oleh Allah SWT.
Seperti yang dijanjikan, saya akan melaporkan secara ringkas trip kami ke Palembang baru-baru ini. Kami ke Palembang bagi menyertai Pertemuan Penyair Nusantara ke-V (PPN V). Ianya berlangsung selama 3 hari mulai pada 16 - 19 Julai lalu. Akan tetapi kami berada di sana sehingga 21 Julai baru pulang ke Malaysia.
PPN V disertai oleh para penyair dan penulis Nusantara, terdiri daripada perwakilan dari Brunei, Thailand, Singapura, Malaysia dan Indonesia sebagai tuan rumah. Manakala wakil dari Sri Langka dan Sweden hadir sebagai pemerhati.
Rombongan dari Malaysia terdiri dua kelompok. Satu di bawah PENA yang membawa kira-kira 40 orang peserta. Satu lagi di bawah E-Sastera. Saya menyertai kelompok E-Sastera yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr Irwan Abu Bakar, pengasas sastera siber. Kelompok kami seramai 27 orang.
Dalam kelompok Pena kelihatan SN Datuk Mohamad Hj. Salleh, Salleh Rahamad, Shamsuddin Othman, Rahimidin Zahari, Khalid Salleh dll. Kelihatan Tan Sri Ismail Hussein daripada Gapena, tetapi beliau pulang awal kerana kurang sihat. Dalam kelompok Singapura kelihatan Djamal Tukimin dll. Brunei kelihatan Zefri Arif dll. Manakala Indonesia diwakili oleh Taufik Ismail, Sutardji Calzoum Bachri dan ramai lagi. Indonesia diwakili teramai perwakilan terdiri seramai 160 orang.
Pada keseluruhannya rombongan kami menerima sambutan hangat daripada tuan rumah. Apa lagi apabila Gabnor Sumatra Selatan (SUMSEL), bapak H. Alex Noerdin sudi merasmikan majlis itu di kediamannya Griya Agung, di Jalan Demang Lebar Daun. Malam pertama kami sampai kami dijamu makan malam di kediaman itu, walaupun Pak Gabnor tidak dapat turut serta pada majlis makan malam, beliau terpaksa beredar setelah majlis perasmian kerana ada acara lain untuk dihadiri.
Malam kedua kami dijamu pula oleh Wali Kota Palembang di hadapan rumahnya dengan makanan Jawa Barat. Dituruti dengan petarungan baca puisi beramai-ramai malam itu. Meskipun kelihatan sempurna, namun ada sedikit kecacatan di sana sini. Misalnya, atur cara panitia sambutan agak bercelaru sedikit kerana tidak begitu teratur dan sempurna. Peserta tidak dibekalkan dengan kertas kerja. Yang lebih memburukkan apabila pembentang tidak membicarakan kertas kerja mereka, sebaliknya berpuisi panjang di atas pentas.
Di Palembang tidak banyak tempat yang menarik kecuali beberapa tempat bersejarah. Yang paling diagung-agungkan oleh penduduk Palembang ialah Jambatan Ampira yang melintasi Sungai Musi yang terkenal itu. Selain itu terdapat Monumen Perjuangan Rakyat di tapak di mana berlaku perang lima hari antara pejuang kemerdekaan Sumatera Selatan dan Belanda. Terdapat juga Benteng Besak di sepanjang pinggir Sg. Musi.
Di Palembang makan yang terkenal ialah 'Pumpet'. Ianya diperbuat daripada cebisan daging ikan dan disalut dengan kanji lalu di goreng. Ia kelihatan macam keropok likur di sini. Di sana Pumpet menjadi makanan popular dan dijual di setiap kedai dan restoran. Ianya dimakan dengan santan atau kicap digaul dengan cabai (cili api). Memang kalau dihidangkan setiap hari tentu sekali kami tidak berselera. Mujur ada beberapa buah kedai makan Minang yang mampu menampung selera kami.
Kami juga berkesempatan ke Bukit Seguntang di mana dipercayai tempat asal bangsa Melayu. Bk Seguntang tidak jauh dari Kota Palembang, kira-kira 20 minit dengan mobil. Kami berharap akan dapat meziarahi makam Wan Embok Wan Malini dan Demang Lebar Daun. Malangnya di atas bukit itu tidak terdapat makam kedua-dua individu ini yang amat terkenal dalam sastera tradisional Melayu. Peliknya, penjaga dan orang ramai di situ tidak tahu siapa Wan Embok Wan Malini dan Demang Lebar Daun. Yang ada di atas bukit itu Makam-Makam Raja Sigentar Alam, Putri Kembang Dadar, Panglima Bagus Kuning, Panglima Bagus Karang, Putri Rambut Seleko, Pengeran Raja Batu Api dan Panglima Tuan Junjungan.
Bukit Seguntang juga tempat lahir lagu-lagu Melayu asli. Dalam tahun 1940 an dan 50 an, Orkes Melayu Bukit Seguntang amat terkenal sekali dengan lagu-lagu Melayu asli. Penyanyi wanitanya yang terkenal, Hasnah Taha telah merakamkan banyak lagu-lagu Melayu asli. Salah satunya yang paling terkenal ialah 'ibarat air di daun keladi, kuda hitam' dan banyak lagi. Penyanyi lelakinya yang terkenal antaranya ialah Suhaimi. Lagu-lagu mereka berkumandang di Radio Malaya ketika itu untuk mengisi kekosongan lagu-lagu Melayu kerana masih belum ramai penyanyi Melayu di Tanah Melayu yang muncul ketika itu, kecuali dari Singapura.
Apapun, aku lihat gadis-gadis Palembang memang ramai yang cantik-cantik. Yang menjadi penyambut tetamu pada majlis PPN ini memang ramai yang cantik-cantik. Kekadang teringin juga nak buka cawangan di Palembang. Tetapi apabila terfikir usia sudah pikun, sudah tidak terdaya lagi jasmani dan rohani, maka keinginan itu ditinggalkan saja di Palembang sebagai kenangan kami pernah berada di tempat lahir Prameswara yang menjadi pelopor kerajaan Melayu Melaka yang terkenal di seluruh buana. Malangnya tidak siapa tahu di mana sebenarnya tempat lahir Prameswara di Palembang. Belum ada lagi sesiapa dari jurusan arkeologi membuat kajian untuk mengesan tempat lahirnya pemuka Melayu yang memashyurkan kesulatanan Melayu di seluruh Nusantara dan benua barat sehingga menjadi rebutan para penjajah barat.
Demikianlah sedikit coretan saya berkenaan Palembang yang terkenal dengan Sungai Musinya. Sungai Musi pernah dijadikan lagu dan dinyanyikan oleh S. Affandi. Pada kesempatan PPN V ini sebuah antologi puisi yang ditulis oleh para penyair Nusantara telah diterbitkan dan dinamakan, 'Akulah Musi.' Antologi ini telah dilancarkan oleh istri Gabnor Sumatra Selatan, Nyonya Alex Noerdin pada majlis perasmian majlis.
No comments:
Post a Comment