Wednesday, 10 August 2011

Isu Serbuan Jais Terhadap Gereja

Aku tertarik nak buat sedikit komen tentang serbuan Jais dan Polis terhadap sebuah gereja di Damansara. Isu ini menjadi besar. Ianya dibesar-besarkan oleh orang politik yang ada kepentingan politik. Bak kata Dinsman, apa sahaja akan dipolitikkan oleh orang politik untuk kepentingan mereka. Justeru itu kita tidak harus ditentukan oleh orang-orang politik semata-mata.

Dalam hal ini aku kurang setuju dengan tindakan MB Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, yang dalam nada 'apologetiknya' terus menelefon Paderi gereja itu seolah-olah memohon maaf atas tindakan Jais itu. Ini satu perbuatan yang kurang bijak. Pertama sebagai Ketua Kerajaan Negeri, beliau seharusnya mempertahankan tindakan agensi-agensi di bawah pentadbirannya. Lagipun kes itu masih dalam siasatan Jais dan beliau belum dimaklumkan tentang peristiwa itu. Seharusnya beliau menunggu, atau paling tidak memanggil Ketua Pengarah Jais untuk mendapatkan maklumat. Kalaupun kedapatan ada pelanggaran undang-undang oleh Jais atau berlaku kesilapan, beliau seharusnya cuba memberikan alasan yang lebih lunak supaya tidak menjentuh perasaan kakitangan Jais mahupun penganut kristian. Janganlah kerana nakkan undi orang bukan Islam kita harus benamkan tindakan-tindakan yang berlawanan dengan Islam yang dilakukan oleh orang yang bukan Islam.

Pendirian YB Datuk Dr. Hassan Ali mempertahankan tindakan Jais, aku kira tentu dia punya alasan yang munasabah mempertahankan pendiriannya. Pertama beliau ialah exco yang dipertanggungjawabkan hal-hal agama Islam. Kedua mungkin Jais sudah memaklumkan kepada beliau tindakan yang akan diambil. Ketiga, mungkin serbuan Jais mendapat restu beliau sesudah mendapat aduan dan mempertimbangkan implikasinya kelak.

Beberapa bulan lalu isu pengharaman jualan arak di kedai-kedai runcit heboh diperkatakan di Selangor. Beliau salah seorang yang mahu mengharamkan penjualan itu, akan tetapi dibantah oleh exco-exco DAP malah oleh ahli parlimen Pas juga. Beliau hanya mahu penjualan arak diharamkan di kedai-kedai di mana majoriti penduduk Melayu/Islam. Cuba bayangkan di kedai-kedai 7 eleven, bukan saja penjualan arak berleluasa, tetapi kondom juga dijual secara terbuka!
Kekadang, demi undi hal-hal seperti ini kita tidak ambil peduli!

Kebiasaannya apabila isu seperti ini berlaku, maka ramailah juak-juak yang mahu jadi hero kononnya mahu mempertahankan kesucian agama Islam. Mereka ini ramai datang daripada kalangan gerombolan Umno dan Ngo-Ngo yang menyokongnya. Kenyataan YB Sallehuddin Ayob berkaitan beberapa usahanya untuk mengemukakan usul berkaitan dengan isu murtad dalam parlimen, bukan saja tidak diendahkan oleh MP-MP Umno, malah menolaknya. (lihat laporan harakahdaily). Pas juga gigih mengemukakan usul yang sama apabila kehangatan isu murtad berlaku beberapa ketika dulu. Tetapi sekarang mereka ini yang dulunya menentang usul tersebut, mereka pula mahu jadi jaguh dan hero memperjuangkan tentang Islam. Betul-betul mereka ini hipokrit. Apakah kita harus percaya orang seperti ini?

Aku setuju bangat dengan tindakan Pas mahu mendapatkan penjelasan daripada Jais dan Gereja sebelum menentukan pendirian. Pas sudah berjumpa dengan Datuk Dr. Hassan Ali, mungkin penjelasan beliau tidak memadai atau tidak memuaskan untuk dibuat kesimpulan. Menemui mereka yang terbabit untuk mendapat penjelasan lanjut seperti ini adalah sesuatu yang amat bijaksana kerana ianya lebih mementingkan fakta daripada emosi. Syabas Pas. Diharapkan pertemuan dengan Jais pada 15 dan gereja pada 16 Ogos ini akan menimbulkan hasil yang posotif, bukan saja untuk dibuat kesimpulan atau pendirian Pas, akan tetapi dapat membantu mereda dan menyelesaikan isu yang sangat sensitif ini. Selamat bertemu!

No comments: