Wednesday, 30 November 2011

Muslihat di sebalik RUU himpun

Aku tertarik dengan pandangan YB Dr. Mohd Hatta Ramli yang musykil dan ragu terhadap usaha kerajaan BN/Umno tergesa-gesa meluluskan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman di parlimen tanpa mahu mendengar suara-suara golongan peguam dan orang ramai. Ada sesuatu yang tersirat atau strategi tersembunyi di sebalik tergesa-gesanya RRU ini diluluskan.

Aku dapat melihat, dari tanggapan sudut politik BN/UMNO bahawa RRU ini amat penting kepada survival mereka untuk terus berkuasa. Mereka mungkin tidak yakin akan memenangi PRU 13 ini, maka dengan yang demikian cuba mencetuskan huru hara sebelum peralihan kuasa berlaku. Maka dengan hal yang demikian BN/UMNO yang masih memegang kuasa (walaupun kuasa semantara) akan mengisytiarkan darurat, maka dengan itu PR tidak akan dapat memegang kuasa.

Ini diyakini dengan kenyataan-kenyataan PM Najib secara terbuka yang akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekalipun, sehingga tetesan darah yang terakhir. Dalam ucapan pada Persidangan Umno baru-baru ini, Najib juga mengatakan bahawa PRU 13 adalah pilihan raya yang luar biasa, maka kerana itu ahli-ahli Umno mesti membuat pendekatan luar biasa. Apakah yang luar biasa itu?

Cetusan perkauman ditiup kuat oleh Umno melalui kepimpinannya seperti TPM Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan Ahmad Mazlan yang meniupkan semangat perkauman Melayu yang melampau. Mereka seolah-olah mahu mencetuskan huru hara kalau Umno/BN kalah! Ini diyakini dengan kenyataan-kenyataan yang bersifat perkauman yang melampau.

Oleh itu hubaya! hubaya! kalau Pas atau PR mahu adakan Perhimpunan Bersih 3.0 atau yang seumpama dengannya. Jangan terperanjat kesempatan ini akan digunakan untuk mengaitkan RRU yang baru dululuskan parlimen serta mengistiyarkan dahrurat. Kalau ini berlaku, PRU 13 tidak akan diadakan kerana dahrurat, maka mereka akan kekal berkuasa.

Walahualam! andaian aku ini mungkin betul atau tersasar? Akan tetapi sekurang-kurangnya menjadi renungan kepada semua pihak terutama PR.

Wednesday, 23 November 2011

Rakyat Malaysia ditipu lagi dengan satu lagi Rang Undang-Undang Menyekat

Mengikut laporan media, semalam di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Nazri Azizi telah membentangkan buat bacaan pertama Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang kononnya bagi menggantikan Akta ISA. Membaca sepintas lalu isi kandungan rang undang-undang ini ianya tidak menepati nama rang undang-undang itu sendiri, sebaliknya menyekat perhimpunan aman. Ianya lebih teruk dari Isa. Sekatannya amat jelas, malah melanggar Perkara 10 Perlembagaan Negara. Dendanya pun berlipat kali ganda daripada yang sedia ada.

Jelas sekali BN/UMNO yang dipimpin oleh PM Najib bercakap BOHONG! Dia cuba tipu rakyat. Dia tidak mengotakan janjinya untuk memberi sedikit kebebasan kepada rakyat berhimpun. Walaupun aku setuju setiap perhimpunan harus diawasi, akan tetapi tidaklah memberikan kuasa yang amat luas kepada Polis dan Menteri. Ini sudah ada petanda diktatorship dalam kerajaan kita. BN/UMNO mahu menyekat rakyat berhimpun secara aman.

Aku kira rakyat mesti nyatakan pendirian mereka menentang Rang Undang-Undang yang lebih zalim daripada ISA ini. Ahli parlimen PR termasuk BN/UMNO yang rasional pemikiran mereka seperti Dato' Shaifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin harus menentang rang undang-undang ini. Para peguam, termasuk Bar Council harus menyuarakan penentangan ini. NGO-NGO termasuk Perkasa mesti menentang kerana Perkasa kerap kali mengadakan perhimpunan. Ayuh kita sama-sama menentang, tak kira parti mana anda sokong.

Najib kelihatan sudah tidak ada kuasa sebagai PM lagi. Sepupunya, Menteri Dalam Negeri lebih berkuasa daripada beliau. PM mesti bangkit dan tunaikan janji. Jangan jadikan janji sebagai budaya flip-flop aja. Rakyat tidak percaya dengan menteri yang tidak tunaikan janji. Kalau diteruskan juga, mungkin ini petanda BN/Umno akan lebih cepat berkubur.

Tukar! Jangan tak Tukar! Mana tahu yang ditukar akan lebih baik lagi!

Friday, 18 November 2011

Bahasa Menunjukkan Bangsa

Aku tertarik dengan ucapan perasmian Sukan SEA (SEA Games) oleh Presiden Indonesia Sosilo (SBY) yang berlangsung di Palembang dan Jakarta serta perasmian Persidangan Menteri-Menteri Asean di Bali, Indonesia. Apa yang sangat-sangat menarik ialah ucapan perasmian kedua-dua majlis itu adalah di dalam bahasa Indonesia-Melayu.

Presiden Sosilo telah menunjukkan betapa bahasa sesebuah negara itu harus diutamakan dalam apa-apa majlis rasmi negara tidak kira bersifat tempatan ataupun antarabangsa. Kedua-dua majlis itu dihadiri oleh para tertamu kehormat daripada negara-negara luar, terutama Persidangan Menteri-Menteri Asean yang dihadiri oleh ramai pemimpin negara Asean. Kalau dikira dengan jari hanya tiga negara Asean sahaja yang bisa mengerti bahasa Indonesia-Melayu iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei, tetapi jumlah pemakai dan penunturnya terbesar di Asean iaitu dalam lingkungan 450 juta manusia.

Kebanyakan negara-negara Asean yang lain tidak mengerti bahasa itu. Akan tetapi Predisen Sosilo tetap menggunakan bahasa Indonesia dengan menyediakan 'ear-phone' untuk mendengar terjemahannya. Aku tabik pada bapak Presiden yang mengangkat bahasanya ke tahap persidangan antarabangsa. Sybas bapak Presiden. Tidak seperti pemimpin-pemipin negara kita yang lebih orang putih daripada orang putih. Di hadapan khalayak yang seorang dua bukan Melayu, mereka masih mahu menggunakan bahasa Inggeris! Poooh! Lah! Mana jati diri kamu?

Cuba lihat negara-negara Kesatuan Eropah, pemimpin-pemimpin negara Kesatuan ini tidak pernah menggunakan bahasa Inggeris dalam majlis perasmian atau forum Kesatuan Eropah. Masing-masing bangga menggunakan bahasa masing-masing seperti Chancellor German, Presidean Peranchis, Italy, Greece, Sepanyal dan sebagainya. Mereka tetap menggunakan bahasa masing-masing dalam acara-acara rasmi Kesatuan itu. Mereka sebenarnya punya jati diri dan menggambarkan bahasa menunjukkan bangsa.

Kita harap pemimpin-pemimpin negara itu balik ke pangkal jalan. Pada majlis-majlis rasmi kerajaan baik berbentuk tempatan dan antarabangsa, gunakanlah bahasa Melayu iaitu bahasa Kebangsaan Negara mengikut Perlembagaan. Sediakan penterjemah, tak mengapa belanja lebih sedikit. Kalau banyak wang rakyat tiris diguna dan dilaburkan pada perkara yang tidak menguntungkan rakyat, lebih baik dibelanjakan untuk ini, sekurang-kurangnya secara langsung atau tidak langsung akan mencetus minat para pelawat daripada luar negara mempelajari bahasa kebangsaan kita. Fenomena sekarang, bagi pelancong luar negara yang ingin ke Malaysia tak payah pun tahu sepatah pun bahasa Melayu, sekadar bahasa Inggeri sahaja. Malah pekerja luar negara yang datang berkerja di sini pun tidak disyaratkan supaya belajar bahasa Melayu terlebih dahulu.

Malu! Malu! jadi anak Malaysia macam ini. Tukar! Tukar! Jangan tak Tukar!

Tuesday, 8 November 2011

Terbukti isu 'Seksualiti Merdeka' dipolitikkan media Umno/BN

Aku juga agak terkeliru dengan isu 'Seksualiti Merdeka' anjuran sekelompok aktivis hak asasi yang menjadi kontrovesi hangat sekarang. Sejujurnya sebelum ini aku tidak pernah mendengar isu ini walaupun sudah diadakan semenjak 2008 lagi. Aku juga tidak tahu bahawa Marina Mahatahir, anak bekas PM Mahathair Mohamad pernah merasmikan persidangan itu dua tahun lalu. Tak pula aku tahu selain Marina siapa agaknya yang pernah merasmikan pertemuan itu sebelum ini? Aku agak tentu orang kenamaan atau penyokong BN kut?

Apabila mendengar, melihat serta membaca kenyataan media yang dikeluarkan oleh Marina dan Ambiga berkaitan isu itu, baru aku faham bahawa tujuan sebenarnya persidangan itu bukan menganjurkan sex bebas seperti yang dibesar-besarkan oleh media. Kata Marina, media telah memfitnah penganjur dengan memberi gambaran yang salah. Beliau merujuk terus kepada TV 3. Ambiga juga demikian pendiriannya dan mencabar media supaya menyiarkan kenyataannya sepenuhnya, kalau tidak akan menghadapi risiko disaman.

Aku kira ramai orang terkeliru dengan tajuk penganjuran itu. 'Seksualiti Merdeka' bererta seks bebas, kerana erti merdeka umumnya ialah 'bebas' atau 'kebebasan'. Maka penganjur juga harus memikul tanggungjawab terhadap kekeliruan ini. Kenyataan Ambiga dan Marina menyatakan bahawa pihak pengajur cuba memahami permasalahan kelompok gay yang minoriti supaya mereka diberitahu dan difahamkan hak-hak mereka sebagai gay atau pondan dalam kerangka undang-undang negara. Persidangan itu bersifat membimbing, bukan menganjurkan seks bebas! 'Gila ke dan anjurkan seks bebas?' tanya Marina dengan marah.

Tapi lama juga ya persidangan itu? Apa yang dibincangkan terlalu lama begitu? Berat sangatkan masalah gay atau pondan ini?

Apapun aku tidak pasti sama ada penjelasan itu ada kebenarannya atau tidak. Mungkin betul, kalau tidak takkan boleh berlangsung selama 4 tahun berturut-turut tanpa kontrovesi serta ganguan daripada pihak polis.

Aku lihat media milik BN/Umno sengaja membesar-besarkan isu ini bukan kerana objektif persidangan ini, tetapi kerana S. Ambiga yang akan merasmikan persidangan ini pada 9 November ini. Maka inilah peluang bagi BN/Umno menghentam Ambiga menggunakan isu ini supaya menimbulkan rasa meluat dan marah rakyat kepada Ambiga. Umum tahu Ambiga adalah Pengerusi Bersih 2.0 serta lantang memperjuangkan pembersihan SPR dan mendapat sambutan ratusan ribu rakyat ketika demonstrasi Bersih Jun lalu. Inilah peluang dan masanya bagi juak-juak BN/Umno membinasakan nama baik Ambiga.

Aku percaya kalau orang lain (selain Ambiga) yang merasmikan persidangan itu kali ini, sudah tentu isu ini tidak dibesar-besarkan, maka dengan itu rakyat pun tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi objektif persidangan. Ambiga telah memilih salah waktu dan salah tempat, dan yang demikian menjadi sasaran mudah untuk dimangsakan.

Aku lihat daripada sudut ini iaitu persidangan ini dipolitikkan oleh media BN/Umno untuk kepentingan mereka. Inilah jadinya, kalau semua perkara mahu dipolitikkan. Politik sudah mengotori budaya dan menghodohkan kehidupan manusia.

Entahlah! 'dunia sekarang bukan saja hodoh, tetapi bodoh!' demikian madah SN Dato' A. Samad Said.

Saturday, 5 November 2011

Seksualiti Merdeka

Aku pun heran macam mana konco-konco liberalisme ini berjaya mengadakan persidangan yang dinamakan, 'Seksualiti Merdeka' sejak 2008, dapat diadakan di negara ini tanpa dikesan oleh pihak berkuasa. Lama tu, tahun ini bermula sejak 1 Nov - 13 Nov ? Wow! Polis, kementerian pembangunan wanita, kementerian dalam negeri, kementerian luar, yang paling utama jabatan agama Islam pun tak tahu benda ini berlaku. Mungkin mereka sibuk nak menangkap Bob Lokman, kut?

Macam mana Majlis Peguam, Suaram dan Ambiga boleh turut sama terlibat, pun membingungkan. Walaupun setiap individu mempunyai haknya untuk menyatakan sesuatu, pendirian atau pandangan mereka, namun aku bersetuju dengan TG Nik Aziz bahawa tiada kebebasan mutlak di dunia ini. Semua insan tertakluk kepada sensiviti serta menghormati hak orang lain.

Pendirian PAS jelas dan nyata, bahawa parti itu hanya menyokong mana-mana pihak yang perjuangkan kebenaran dan keadilan. Dalam konteks Bersih 2, apa yang diperjuangkan oleh Ambiga itu disokong oleh Pasdan PR, bukan menyokong Ambiga sebagai individu. Ambiga mungkin mempunyai pandangan lain yang tidak selari dengan perjuangan Pas atau orang lain, seperti Seksualiti Merdeka ini, maka itu haknya untuk berbuat demikan dan hak Pas serta orang lain juga menyatakan pendirian tidak menyokongnya.

Aku fikir lebih baiklah Ambiga menarik diri daripada menyokong apatah lagi mahu merasmikan persidangan itu pada 9 Nov. ini. Pertamanya persidangan ini bukan saja sudah menjadi kontrovesi tetapi menyentuh sensiviti agama Islam, malah ianya mula dipolitikkan oleh sesetengah pihak. Apa lagi apabila perjuangan Bersih 2 pimpinan Ambiga mendapat sokongan daripada Pakatan Rakyat. Ambiga menjadi modal kepada Umno/BN, Perkasa dll untuk bukan saja memperlekeh dirinya secara individu, tetapi juga mengaitkan sokongan PR dan yang lain-lain dalam perjuangan memimpin Bersih 2.

Kalau beliau menarik diri, bukan saja akan terus dihormati oleh penyokong PR, malah mugkin oleh Perkasa dan penganut Islam yang lain. Ambiga harus memikirkan sokongan majoriti daripada golongan minoriti yang mahu diperjuangkan oleh juak-juak ini. Ini tidak bererti hak dan suara minoriti tidak harus diambil kira, tetapi ianya harus pada medan yang lain yang lebih bersih, harmoni dan sempurna sifatnya. Sebagai pemimpin Bersih, Ambiga harus bersih dalam segala hal termasuk dalam penglibatannya dalam hal-hal sosial dan kemasyarakatan.

Terpulang kepada Ambiga menentukan pendiriannya. Aku juga penyokong kuat Ambiga dalam memerjuangkan penambahbaikan sistem pilihan raya melalui Bersih 2. Tetapi dalam hal ini, aku juga tidak menyokongnya, seperti juga Nik Aziz yang tidak menyokong tindakan Ambiga itu! Ada perbezaan antara Bersih 2 dengan Seksualiti Merdeka ini. Wallahualam!

Thursday, 3 November 2011

Seminar Karya Agong

Aku baru pulang menghadiri Seminar dua (2) Karya Agong Melayu di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, yang diadakan pada 1 & 2 Nov yang lalu. Dua karya agong yang dikupas dan dibedah oleh para sarjana dalam dan luar negara itu adalah Sulalat Al-Salatin atau Sejarah Melayu (SM) dan Hikayat Hang Tuah (HHT).

Amat menarik sekali kupasan yang dibuat oleh cediakawan ini baik dari aspek sejarah, adat serta bahasa, sistem pemerintahan, dipolmasi dan sebagainya. Kebanyakan pembentang memberi pandangan melalui aspek sejarah serta ketamadunan Melayu. Cuma seorang pembentang dari Jogjakartaka Prof. Dr. Heddy Shri Ahimsa-Putra yang melihat HHT dari sudut sastera dikaitkan dengan antropologi.

Aku kira rata-rata penceramah menekankan betapa 'kesetiaan terhadap Raja (pemerintah)' itu amat penting bagi mengekalkan kekuasaan ketamadunan Melayu. Pada satu aspek ianya suatu saranan yang baik, akan tetapi dari suatu aspek yang lain ianya seakan-akan mengongkong orang Melayu dalam lingkungan pengaruh feudal. Aku kira kesetiaan Hang Tuah kepada Raja tidak harus diterima bulat-bulat oleh sesiapa pun. Kesetiaan Hang Tuah kepada Raja 'membabi buta' bukan saja menjatuhkan maruahnya sebagai Laksamana, tetapi juga mencabar kebebasan berfikir dan bersuaranya.

Walaupun Hang Jebat tidak diterima oleh kebanyakan pemakalah sebagai 'wira' sebaliknya sebagai pencetus 'huru-hara;' maka keberanian Hang Jebat menyanggah kezaliman Raja harus diiktiraf sebagai sesuatu gerakan revolusi atau transformasi atau reformasi (apa sajalah yang mahu dipanggil) daripada kongkongan fedualisme seorang Raja yang beraja di mata dan bersultan di hati. Keberanian Hang Jebat 'melawan' Raja kerana sikap zalim dan tidak adilnya Raja menjatuhkan hukuman terhadap Tuah sesuatu yang luar biasa dalam era kesultanan yang mempunyai kuasa mutlak. Keberanian itu yang patut diberi perhatian dan dikupas.

Aku kira amat tidak wajar sekiranya motif seminar mahu mempengahruhi audien supaya bersikap totok dan memberikan taat setia kepada Raja atau pemerintah secara membuta tuli. Aku percaya audien sudah ramai yang cerdik dan dapat memikirkan yang mana baik dan yang mana kurang baik dalam kedua-dua karya agong itu, sesuai dengan akal budi dan citra Melayu yang banyak terkandung dalam kedua-dua karya itu.

Apapun aku kira ianya suatu Seminar yang memberi manfaat kepada orang ramai terutama orang Melayu dan generasi baru. Syabas diucapkan kepada Yayasan Karyawan, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Kerajaan Negeri Melaka dan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya yang bersama-sama menjayakan seminar yang amat bermakna ini.