Thursday, 3 November 2011

Seminar Karya Agong

Aku baru pulang menghadiri Seminar dua (2) Karya Agong Melayu di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, yang diadakan pada 1 & 2 Nov yang lalu. Dua karya agong yang dikupas dan dibedah oleh para sarjana dalam dan luar negara itu adalah Sulalat Al-Salatin atau Sejarah Melayu (SM) dan Hikayat Hang Tuah (HHT).

Amat menarik sekali kupasan yang dibuat oleh cediakawan ini baik dari aspek sejarah, adat serta bahasa, sistem pemerintahan, dipolmasi dan sebagainya. Kebanyakan pembentang memberi pandangan melalui aspek sejarah serta ketamadunan Melayu. Cuma seorang pembentang dari Jogjakartaka Prof. Dr. Heddy Shri Ahimsa-Putra yang melihat HHT dari sudut sastera dikaitkan dengan antropologi.

Aku kira rata-rata penceramah menekankan betapa 'kesetiaan terhadap Raja (pemerintah)' itu amat penting bagi mengekalkan kekuasaan ketamadunan Melayu. Pada satu aspek ianya suatu saranan yang baik, akan tetapi dari suatu aspek yang lain ianya seakan-akan mengongkong orang Melayu dalam lingkungan pengaruh feudal. Aku kira kesetiaan Hang Tuah kepada Raja tidak harus diterima bulat-bulat oleh sesiapa pun. Kesetiaan Hang Tuah kepada Raja 'membabi buta' bukan saja menjatuhkan maruahnya sebagai Laksamana, tetapi juga mencabar kebebasan berfikir dan bersuaranya.

Walaupun Hang Jebat tidak diterima oleh kebanyakan pemakalah sebagai 'wira' sebaliknya sebagai pencetus 'huru-hara;' maka keberanian Hang Jebat menyanggah kezaliman Raja harus diiktiraf sebagai sesuatu gerakan revolusi atau transformasi atau reformasi (apa sajalah yang mahu dipanggil) daripada kongkongan fedualisme seorang Raja yang beraja di mata dan bersultan di hati. Keberanian Hang Jebat 'melawan' Raja kerana sikap zalim dan tidak adilnya Raja menjatuhkan hukuman terhadap Tuah sesuatu yang luar biasa dalam era kesultanan yang mempunyai kuasa mutlak. Keberanian itu yang patut diberi perhatian dan dikupas.

Aku kira amat tidak wajar sekiranya motif seminar mahu mempengahruhi audien supaya bersikap totok dan memberikan taat setia kepada Raja atau pemerintah secara membuta tuli. Aku percaya audien sudah ramai yang cerdik dan dapat memikirkan yang mana baik dan yang mana kurang baik dalam kedua-dua karya agong itu, sesuai dengan akal budi dan citra Melayu yang banyak terkandung dalam kedua-dua karya itu.

Apapun aku kira ianya suatu Seminar yang memberi manfaat kepada orang ramai terutama orang Melayu dan generasi baru. Syabas diucapkan kepada Yayasan Karyawan, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Kerajaan Negeri Melaka dan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya yang bersama-sama menjayakan seminar yang amat bermakna ini.

No comments: