Sunday, 25 December 2011

Himpunan Budayawan di Felda Sg. Tengi

Aku baru pulang dari Felda Sg. Tengi di Hulu Selangor. Ramai juga para penulis yang hadir pada pertemuan antara para seniman, budayawan dan sasterawan dengan warga Felda. Antara yang hadir Rahmad Haroun, Hishamuddin Rais, Dinsman, Kassim Muhamad, Mohd Ali Atan, Benz Ali, Amni Jagat, HMS Abu Bakar, Ibrahin Ghaffar, Ismas Saring dan ramai lagi. Ito dari Blues Gang juga ada menyampaikan beberapa buah lagu. Anbakri dari Kelantan juga mendendangkan lagu puisi. Personaliti menjadi tumpuan pastinya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Pertemuan itu selain menyokong warga Felda yang menentang penyenaraian syarikat Felda dalam bursa saham terbuka, juga bertujuan merakyatkan sastera dan budaya di kalangan masyarakat Felda. Malangnya, selepas solat Jumaat hujan turun dengan lebatnya sehinggalah jam 9.30 malam. Hujan membantutkan kehadiran warga Felda pada majlis yang sudah diatur oleh jawatankuasa pengajur Felda di situ. Ditambah pula pada hari yang sama pihak Umno mengadakan majlis penerangan bantuan RM 500 di Dewan Serbaguna berdekatan. Majlis penerangan aje, bukan menghulurkan bantuan RM 500.

Malah pentas yang mahu dibina oleh pihak penganjur himpunan telah tidak dibenarkan oleh puak-puak Umno. Jahat betul mereka ini! Ini bukan pertama kali berlaku, malah sudah banyak kali berlaku di mana-mana di seluruh tanah air. Aku pernah mengalami situasi begini dengan depa. Inilah budaya mereka, menjadi pengacau!

Pada sebelah petangnya selepas majlis penyampaian bantuan kepada masyarakat miskin di daerah itu, dan pada majlis dialog antara seniman & budayawan dengan warga Felda, aku lihat tidak ramai warga Felda yang hadir. Mungkin kerana hujan turun terlalu lebat, mereka tidak datang pada majlis yang sangat signifikan untuk mereka.

Tetapi pada malamnya selepas hujan berhenti, semakin ramai orang datang menyaksikan pembacaan sajak, mendegar lagu puisi, lagu-lagu gasal dan asli yang disampaikan oleh Orkes Warisan Selangor yang didatangkan dari Kuala Selangor. Mainan muzik dan nyanyiannya sungguh baik dan mempesonakan.

Sayangnya, majlis ini pada pandangan aku telah tidak diatur dengan rapi dan sempurna. Nama-nama pembaca sajak tidak disenaraikan lebih awal, ini menyebabkan pengisian pembacaan sajak itu dipungut secara semborono pada ketika itu. Malah susunan aturcara majlis juga tidak dimaklumkan lebih awal menyebabkan ramai yang tidak maklum pengisian majlis itu. Ada penyajak/penyanyi mengambil masa terlalu lama. Para warga Felda di situ tidak diberi kesempatan untuk turut serta dalam acara itu, seperti membaca sajak, syair atau berpantun. Pendeknya, pengurusan masa tidak diatur sesempurna mungkin. Nampak sangat tidak 'organise' kata bebudak sekarang.

Apapun pendekatan Paksi untuk mendekati rakyat serta menyokong warga Felda yang ditindas oleh pihak berkuasa harus diteruskan. Cuma kita harapkan susun aturnya lebih sempurna dan memastikan penglibatan warga tempatan menjadi kemestian supaya mereka juga turut mengambil bahagian pada acara sedemikian.

Walahualam!!

No comments: