Monday, 12 December 2011

Seminar & Bengkel Penulisan

Wah! bulan Disember ini, bulan terakhir bagi 2011, banyak seminar, bengkel dan pertemuan penulis diadakan pada bulan ini.

Pena sibuk dengan majlis makan malamnya bersama dengan PM Najib pada malam 16 Disember. Pada masa yang sama PM akan merasmikan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) anjuran Pena, DBP, ITN, Percetakan Nasional dan Akademi Kenegaraan. PPMN kali ke-3 ini akan berlangsung pada 17 - 18 Disember dan ianya merupakan susulan Perhimpunan yang telah diadakan di Tg. Piai Johor pada 2007, di Ayer Keroh Melaka 2009, dan kali ini giliran Kuala Lumpur pula.

Khabarnya inilah julung-julung kali seorang PM Malaysia yang sudi menghadiri majlis anjuran persatuan penulis. Tentu sekali ianya membanggakan kepimpinan muda Pena yang berhasil mempengaruhi PM untuk hadir, sedangkan Gapena tidak berjaya berbuat demikian.

Akan tetapi, khabarnya ada 'muslihat' di sebalik Pena mengundang PM untuk hadir pada majlis makan malam ini. Selain mahu mendapat kepastian PM dalam isu PPSMI dan beberapa masalah lain yang dihadapi oleh persatuan itu, Pena cuba membisikkan supaya PM menggunakan pengaruhnya agar bangunan serta tanah di mana pejabat Pena berada sekarang tidak dirampas oleh Dewan Perniagaan Melayu yang akan memajukan tempat itu. Khabarnya tanah itu milik Dewan Perniagaan Melayu dan sudah sekian lama mereka mahukan tanah ini untuk dimajukan. Bererti Pena harus nyah daripada rumah Pena itu yang sekian lama sudah dihuninya. Kesian.

Nampaknya Pena terpaksa juga bergantung pertolongan orang politik kerana merekalah yang punya kuasa dan menentukan segala. Dulu Pena ada Ahmad CB, seorang korporat dan seorang aktivis politik yang mempunyai pengaruh juga pada ketika itu. Kini Ahmad CB sudah tinggalkan Pena, maka Pena seolah-olah sudah tidak ada dahan tempat bergantung lagi. Maka Pena pun mahu melompat terus ke puncak pohon untuk bergantung nasib di dahan Najib, yang kelihatan kukuh di luar, akan tetapi mungkin rapuh dalam pembuluh. Semoga Pena akan berjaya bergayut pada dahan itu sekurang-kurangnya sehingga PRU 13.

Pada masa yang sama juga 17-18 Disember, ada Festival Puisi di Pulau Pangkor. Majlis ini anjuran kerajaan negeri Perak dan Yayasan Kampung Karyawan Malim, (yang diterajui oleh Malim Ghazali PK). Khabarnya ramai penyair tanah air sudah mendaftar diri untuk menyertai festival ini. SN Dato Dr. Anwar Ridhwan diberitakan akan juga menghadiri festival ini. Moga berjaya festival puisi ini.

Pada tarikh yang sama juga 16-18 Disember, Ikatan Persuratan Melayu (IPM) bersama dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang akan mengadakan Bengkel Penulisan Kritis (kreatif & non-kreatif) di Melaka. Bengkel ini mendapat kerjasam Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Antara pembimbing bengkel ini ialah Dinsman dan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Moga berjaya.

Sebelum ini, pada 10-11 Disember, kelompok E Sastera mengadakan majlis tahunannya di Alor Setar. Pada majlis itu beberapa buah buku tulisan anggota E Sastera telah dilancarkan. Khabarnya penyampaian hadiah tokoh E Sastera bagi tahun 2011 juga telah diadakan.

Wah! bagus sungguh! Nampaknya kegiatan persatuan-persatuan penulis sentiasa aktif dan segar. Dalam pada itu kita harapkan semoga ianya akan membuahkan hasil yang positif bagi golongan penulis untuk menongkah arus permasalahan politik, sosial, ekonomi dan yang sepertinya yang telah mencemar masyarakat kita. Golongan penulis ini diharapkan dapat mengubah minda masyarakat supaya menegakkan kebenaran, menentang kezaliman dan kecurangan. Penulis tidak harus membiarkan minda mereka dikongkong oleh perasuah, meskipun mereka dalam keadaan 'despreate' mengharapkan bantuan daripada kepimpinan yang tidak kelihatan bersih. Hubaya! hubaya! Jangan sampai kita bersekongkol dengan golongan perasuah dan yang tidak jujur! Walahhaualam!

No comments: