Perbicaraan Anwar Ibrahim sudah sampai ke penghujung. Sekarang dalam proses penggulungan oleh Pendakwa dan Pembela. Selepas itu Hakim akan membuat keputusan.
Aku sudah dapat menyangkakan keputusan hakim, walaupun beliau belum membuat keputusan. Aku bukan mahu mencampuri urusan mahkamah yang boleh membuat aku didakwa kerana 'comtempt' atau menghina mahkamah. Namun, hakim telah menimbulkan persepsi serta membayangkan apakah keputusan yang akan diambilnya terhadap kes ini.
Aku ambil contoh, botol minuman yang mula-mula ditolak oleh Hakim sebagai bukti, namun diterima semula sebagai bukti selepas itu. Kedua, hakim sudah 'pre-empt' dengan menyatakan secara terbuka bahawa Saiful adalah saksi yang boleh dipercayai, walaupun kes masih berjalan dan jauh daripada sampai di penghujung. Aku beranggapan ini adalah petanda-petanda yang akan menyimpulkan keputusan hakim, biarpun pembela mempunyai alasan dan bukti munasabah untuk dipertimbangkan.
Maka dengan itu pada akhir Disember ini atau awal Januari tahun depan, hakim akan memberikan keputusannya. Walaupun Anwar mengharapkan yang terbaik daripada keputusan hakim itu, namun dia mesti bersedia untuk menerima yang terburuk. Malah Anwar sendiri sudah bersedia untuk menerima yang terburuk itu.
Apakah signifikannya keputusan perbicaraan Anwar ini dengan politik negara ini terutama berkaitan PRU 13? Signifikannya amat besar sekali, kerana gerombolan mahu menghapuskan pengaruh Anwar dalam jagat politik tanah air, terutama ketika menghadapi PRU 13 yang sangat membimbangkan Najib, Umno dan BN. Najib sudah berikrar dia akan mempertahankan Putrajaya walau dengan apa sekalipun. Ini suatu kenyataan umum dan boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut dan kemungkinan.
Oleh hal yang demikian, aku membuat andaian bahawa Anwar akan didapati bersalah dan dihukum penjara antara 5-10 tahun. Selepas itu Najib akan mengumumkan tarikh pilihan raya. Maka tarikh itu bertepatan dengan banyak andaian orang ramai termasuk Mahatahir bahawa PRU 13 akan diadakan pada Mac 2012. Percaya atau tidak, kita tunggu dan lihat.
No comments:
Post a Comment