Tuesday, 20 December 2011

IPM berjaya adakan bengkel penulisan

Seperti yang dijadualkan Bengkel Penulisan Kritis (kreatif dan non-kreatif) telah berjaya diadakan pada 16-18 Disember lalu di kpA agroBazaar & Chalets di Lebuh AMJ, Melaka. Inilah julung-julung kali sebuah bengkel penulisan (seingat aku) dianjurkan oleh Ikatan Persuratan Melayu (IPM) sepanjang 61 tahun usianya yang menglibatkan secara langsung IPM mengendalikannya.

Bengkel ini anjuran bersama IPM dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta kerjasama Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Seramai 17 peserta sahaja yang hadir (10 wanita dan 7 lelaki) daripada 20 peserta yang telah memberi kesanggupan menyertai bengkel ini, ( 3 tidak hadir, kesemuanya lelaki) telah menjayakan bengkel ini dengan amat positif sekali. Para peserta terdiri daripada para penulis dan bakal penulis di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.Walaupun bengkel hanya berlangsung selama 3 hari 2 malam, namun hasilnya sangat membanggakan pihak penganjur.

Pada hari pertama para peserta masih malu-malu kerana mungkin belum mengenali satu sama lain. Selepas majlis pengenalan dan duduk pula dalam satu rumah, kemeseraan semakin ketara pada hari kedua dan ketiga. Malah pada sesi pembentangan, beberapa orang peserta wanita telah memberanikan diri untuk berinteraksi dengan pembimbing. Sebenarnya itulah tujuan penganjur mahu melibatkan secara langsung para peserta dalam perdebatan ketika membicarakan kertas kerja pembimbing. Konsep penganjur ialah mahu membina pemikiran kritis di kalangan peserta, justeru kerana itu bengkel ini tidak menjurus ke arah satu hala sahaja, akan tetapi bersifat dua hala. Para peserta digalakkan menyanggah pendapat atau pandangan pembimbing sekiranya tidak bersetuju. Nampaknya ia membuahkan hasil yang positif apabila menerima cabaran daripada pembimbing dan penganjur.

Pelbagai persoalan ditimbulkan daripada soal penulisan kepada soal sosial, politik dan sebagainya. Perbincangan amat positif sekali, sekurang-kurangnya sudah ada petanda minda mereka semakin terbuka selepas perbincangan. Ini akan memberikan mereka lebih ruang untuk berkarya secara kritis dan positif dalam membina masyarakat madani di negara ini.

Apa yang menarik ialah keberanian mereka menyampaikan rumusan sidang pleno dengan pelbagai pendapat dan idea yang bernas. Sebelum itu mereka telah dibahagikan kepada 4 kelompok bagi membincangkan suatu mauduk komtemporari yang sangat relevan dengan keadaan sosial dan politik di negara kita.

Para pembimbing terdiri daripada Dr. Alinor dari UKM yang membicarakan Pencarian Melayu, yang sangat menarik dan boleh dijadikan 'Ilmu Bantu' dalam karya mereka. Prof. Dr. Zainon Ismail membicarakan pengalaman dan ciri-ciri yang harus ada dalam penulisan novel. Cikgu Azmi Hamid menekankan betapa pentingnya penulis memperjuangkan kebenaran dan mencegah kebatilan. Sdra Dinsman menyentuh soal keperibadian penulis, di mana penulis berdiri dan penulis harus menyatakan pendirian. Razali Endun membicarakan 'Membentuk Pemikiran Kritis Dalam Penbulisan Cerpen.' Hasni Abas menyentuh tentang bahasa dalam penulisan, manakala Kassim Muhamad melontarkan idea, "Kenapa kita harus berubah?"

Tajuk-tajuk itu sangat mencabar minda para peserta, justeru itu telah berjaya membuka minda mereka dengan positif dan diharapkan memberi manfaat dalam penulisan mereka. Bengkel ini tidak berakhir di situ sahaja, malah Ketua Satu IPM Hj. Moktar Yassin telah menyarankan kepada peserta supaya terus menulis dan menghantar tulisan mereka kepada urusetia untuk diberi teguran. Para peserta juga diharapkan akan dapat memanfaatkan media-media yang ada untuk menghantar karya-karya mereka. Karya-karya mereka tidak seharusnya disimpan di dalam laci sahaja.

Kita harapkan mereka manfaatkan bengkel ini dan akan terus berkarya tanpa jemu. Selamat pulang kepada para peserta. Terima kasih kerana sudi hadir menjayakan bengkel ini.

3 comments:

Nurul Farehah Jaamad said...

Alhamdulillah...Akhirnya bengkel ini berjaya dijalankan. Untungnya para peserta dapat sertai. Nurul memang teringin nak sertainya memandangkan pada hari itu ada majlis pertngan nurul. Apa-apa pun nurul ucapkan syabar kerana bengkel ini diadakan dengan jayanya. Amin...

Ida Ra said...

Pak Razali, saya juga bersyukur dapat menyertai bengkel penulisan hari itu. walaupun tidak bersuara sekadar mendengar namun inputnya banyak saya perolehi. malahan gembira sebab bertemu dengan penulis - penulis hebat terutama Dinsman dan Bonda Siti Zainon. Malahan dapat bertemu rakan - rakan baru....

hasni hanna said...

Pak Razali,

Assalamualaikum. Saya Hasni Jamali (nama sama dengan Encik Hasni Abas) :)

Saya berbesar hati dapat hadir ke bengkel ini. Banyak pengetahuan yang saya dapat. Saya juga ada catatkan dalam blog www.melatisejati.blogspot.com

Semoga dengan ilmu yang bermanfaat ini dapat saya gunakan untuk menghasilkan karya penulisan yang lebih baik, InsyaAllah.