Monday, 30 April 2012

Siapa Lebih GANAS !

Melihat gambar di akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan lain-lain akhbar arus perdana memang meyakinkan pembaca yang tidak kritis bahawa memang benarlah peserta Bersih 3.0 bertindak ganas terhadap polis. Ditambah lagi dengan komen para menteri dan Lembaga Profesor Negara yang menyatakan tindakan polis adalah berhemah dan profesional.

Sebagai orang yang berfikiran terbuka dan kritis aku cuba mengakses sumber lain termasuk dalam internet. Apabila aku melihat beberapa buah video dalam internet termasuk yang dirakamkan oleh Al-Jazeera, aku rasa provokasi dimulakan oleh pihak polis. Dalam apa-apa tindakan iaitu (every actions will be reactions). Teori ini berlaku pada himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012.

Aku lihat dalam rakaman video itu betapa polis bertindak terlalu ganas terhadap peserta yang tidak melakukan apa-apa kerosakan dan kejadian-kejadian ini berlaku selepas ramai peserta sudah mula bersurai sekitar selepas jam 4.00 petang . Dalam salah satu video itu seorang anggota polis berpakaian preman (baju berbakak-bakak) berdiri di atas hood (bumbung) kereta menghayun tokol besi dan memecahkan cermin tingkap sebuah kereta yang berhenti (mungkin berlaku pelanggaran dengan kereta lain). Beberapa orang anggota polis beruniform mengutung kereta itu dan menarik pemandu itu keluar daripada kereta. Sebaik pemandu itu keluar dia dipukul dengan tukul besi oleh anggota polis preman tadi dari atas hood kereta. Tidak cukup begitu dia turun dan terus memukul pemandu itu. Anggota-anggota polis beruniform ramai yang tumpang sekaki walaupun kelihatan seorang dua cuba menghalang tetapi tidak bersungguh-sungguh. Kepala pemuda itu berlumuran darah dan tidak tahu apa terjadi selepas itu terhadap pemuda itu. Bayangkan TOKOL BESI dan pemandu itu kelihatan dalam video itu tidak membuat kacau, tetapi menjadi mangsa polis yang ganas (kalau cara ini dikatakan berhemah, kalau polis bertindak ganas lagi teruk lah keadaannya).

Satu video lagi kelihatan anggota polis merangkul seorang pemuda yang berdiri keseorangan di pinggir jalan berhampiran sebuah tiang besi iklan. Seorang anggota polis berunifom, entah apa sebabnya merangkul pemuda tersebut dengan kuat sehingga pemuda dan tiang itu rebah. Sebaik pemuda itu jatuh seorang lagi anggota polis datang menekan leher pemuda itu dengan kakinya. Lebih ramai lagi polis datang menendang dan memukul pemuda itu yang sedikit pun tidak melawan. Dalam video itu tidak kelihatan pemuda itu memulakan provokasi.

Video satu lagi ialah episod polis tarifik melanggar dengan motosikalnya penunggang motosikal lain di hadapannya sehingga kedua-duanya terjatuh. Tak tahulah, mungkin polis itu tidak sengaja, akan tetapi setelah berlaku pelbagai insiden sebelum itu yang menaikkan kemerahan peserta, maka polis trafik itu turut dipukul. Satu lagi sebuah kereta peronda polis melanggar para peserta di Sogo sehinggakan dua orang cedera teruk. Pemandu kereta polis itu (kelihatan tidak memakai uniform polis) diheret keluar oleh orang ramai lalu dipukul bertalu-talu. Seorang lagi anggota polis keluar tidak berapa lama selepas itu, dan beliau bernasib baik dipeluk dan diselamatkan oleh beberapa orang peserta lain.

Kereta polis itu diterbalikan oleh orang ramai setelah mengsyaki ada orang tertindih di bawah kereta itu. Ini jelas kedengaran dalam video itu suara menjerit-jerit 'ada orang dibawah.' Akan tetapi yang peliknya ramai yang menolong menterbalikkan kereta itu memakai baju T hitam, hanya seorang yang memakai baju kuning Bersih. Ramai orang mengsyaki mereka yang berbaju hitam ini anggota polis preman atau SB yang mungkin ditugaskan untuk membuat provokasi untuk memburukkan nama baik Bersih. Lain-lain berita ialah banyak kamera jurukamera media telah dirampas dan dirosakkan oleh polis, termasuk kamera milik wartawan Al-Jazeera. Semua kejadian ini tidak dilaporkan oleh media arus perdana baik yang bercetak mahupun yang elektronik.

Sejujurnya, aku tidak bersetuju dengan apa cara keganasan sekalipun baik yang dilakukan oleh peserta mahupun oleh polis. Polis seharus bertindak apabila melihat peserta cuba merusuh dan merosakkan ketenteraman awam. Bukan memulakan provokasi. Lagipun kalau semburan air kimia dan gas pemedih mata itu hanya tertumpu di Dataran Merdeka (kerana kawasan itulah yang dilarang oleh mahkamah) bukan menyemburnya membuta tuli di tempat-tempat lain yang tidak masuk dalam kawasan larangan, aku percaya kejadian buruk seperti apa yang berlaku tidak akan berlaku.

Daripada pengamatan aku, semua kejadian yang berlaku ialah kerana membalas dendam. Peserta marah dan berdendam kerana polis menyembur air kimia dan gas pemedih mata, melakukuan kekerasan terhadap peserta lain. Manakala polis juga berdendam kerana ada anggotanya dicederakan oleh para peserta. Apabila polis berdendam, maka mereka tidak lagi mengamalkan sifat profesionalisme mereka.

Apapun, aku memang ngeri melihat polis memukul orang dengan tukul besi. Dan banyal kagi kejadian yang terlalu ganas di pandang mata. BERSIH 3.0 patut kumpulkan semua bukti ini dan buat aduan kepada Suhakam atau mana-mana badan yang bertanggungjawab terhadap kebebasan hak asasi. Kita mahukan anggota polis yang benar-benar profesional dalam tindakan mereka tidak kira siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang waimah Bersih, Perkasa, Umno atau sesiapa saja. Sepanjang yang aku lihat kalau perkasa dan Umno, polis tidak mengambil tindakan pun. Ini menyebabkan orang ramai meluat dengan polis kerana mengamalkan 'double standard.'

Yang jelas SPR mesti bersih daripada segala pencemaran nama pengundi yang meragukan termasuk nama-nama rakyat asing yang diberikan kad pengenalan segera bagi membenarkan mereka mengundi. Aku fikir yang lebih afdal dan realistik, Pengerusi dan Setiausaha SPR mesti meletakkan jawatan kerana rakyat sudah tidak percaya lagi pada mereka dan SPR. Kalau mereka bukan dipengaruhi oleh politik kepartian yang dianggotai mereka, Ayuh! letak jawatan buktikan tindakan anda itu adalah satu tindaka profesional. Kita tunggu keberanian mereka berbuat demikian.

Aku yakin mereka tidak akan bersetuju kerana itu kuasa yang ada pada mereka yang boleh memenangkan gerombolan, melainkan rakyat nyahkan mereka daripada kerusi-kerusi ampuk yang mereka duduki. Untuk itu berlaku, gerombolan ini harus dijatuhkan daripada tampuk kuasa. Pastikan PRU 13 ini puak-puak ini sudah tidak lagi berada di Puterajaya.  Anda boleh lakukannya! Wallahualam!

Sunday, 29 April 2012

Syabas Anak Muda !

Syabas! Aku kira Bersih 3.0 amat berjaya sekali mengumpul ratusan ribu rakyat di Kuala Lumpur, walaupun mengikut laporan Utusan hanya sekadar 4,000 orang saja dan mereka ini kononnya diupah.
Nasihat aku pada Utusan, janganlah cuba memperbodohkan orang ramai terutama pembaca kamu. Masyarakat sekarang sudah celik dan terserlah dengan pelbagai informasi.

Bidalan orang tua-tua dulu ada mengatakn, 'ukur baju di badan sendiri.' Ini buktinya wartawan Utusan cuba mengukur baju orang lain mengikut ukuran bajunya. Jangan samakan himpunan Umno/BN dengan PR. Bukan menjadi rahsia  kalau himpunan Umno/BN tidak akan ramai orang yang datang, yang datang pun kakitangan kerajaan, murid-murid sekolah yang dipaksa hadir. Orang kampung diangkut dengan berpuluh-puluh buah bas dengan percuma dan  dihulurkan duit kepada mereka. Ini bukan rahasia, ini kenyataan!

Aku kagum dengan kehadiran Bersih 3.0 yang mengikut anggaran S.Ambiga tidak kurang 250,00 yang turut serta. Ini satu jumlah yang besar. Dan aku yakin mereka datang atas kesedaran dan kehendak sendiri, tidak dipaksa oleh sesiapa, apa lagi diupah! Yang kelihatan anak muda pelbagai kaum, Cina, India, Iban orang asli yang rata-rata lahir pada era 80 dan 90 an. Ini satu perkembangan yang positif dalam jagat politik tanah air. Kesedaran inilah sangat dialu-alukan kerana tanpa kesedaran anak muda akan menajdai pasif dan hanya mengiyakan saja apa yang diucapkan oleh kuasawan.

Cuma aku kesian kali ini Pak Samad tidak dapat mengepalai perarakan kerana siang-siang lagi dia sudah dihalang oleh polis menggunakan jambatan melintasia dari Pasar Seni  ke Daya Bumi. Beliau hampa dengan tindakan polis lalu duduk bantah di atas jambatan itu. Seharusnya peserta memimpin beliau dan membawa beliau ke Dataran Merdeka. Beliau harus bersama-sama rakyat, jangan dibiarakn duduk di atas jambatan itu. Apa pun aku salut Pak Samad yang masih bertenaga menyatakan pendiriannya walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan.

Meskipun Unggun Bersih tidak dapat dinyalakan di Dataran Merdeka, namun semangat mereka lebih panas daripada unggun api yang membara. Apa lagi apabila dilarang menggunakan hak mereka sebagai rakyat negara ini menggunakan Dataran Merdeka. Inilah puncanya mereka marah dan ada yang berani merempuh halangan itu dan akhirnya mereka ditembak juga dengan semburan air kimia dan gas pemedih mata. Ada berita mengatakan sebuah kereta peronda polis diterbalikkan di hadapan Sogo kerana orang ramai marah kononnya ada peserta dilanggar oleh kereta polis. Mujur anggota polis itu diselamatkan oleh, khabarnya pemuda Keadilan (AMK), akan tetapi ada peserta dan anggota polis yang cedera. Aku simpati dengan keadaan ini kerana ianya tidak harus berlaku. 

Sudah dijangkakan peristiwa ini akan dibsesar-besarkan oleh konco-konco Umno/BN dan media arus perdana menuduh Bersih punca segala-galanya. Rais Yatim pun dah komen katanya Bersih sudah kotor kerana peristiwa tersebut. Tak apalah itu hak mereka untuk kata apa saja.

Bagi aku kesalahan harus dipikul oleh kerajaan yang berdolak dalik sejak dari mula lagi. Sama juga ketika Bersih 2.0 mahu adakan perhimpunan pada 9 Julai 2011 dulu, PM berdolak dali, Hisahamuddin berkata begitu, Polis berkata begini, akhirnya kekecohan berlaku. Kemudian mereka salahkan pengajur.

Kerajaan sewajarnya membenarkan penganjur Bersih menggunakan lokasi yang mereka pohon. Sekiranya setelah kebenaran diberikan, masih berlaku peristiwa seperti yang berlaku kali ini, barulah kerajaan boleh menyalahkan penganjur. Ini semua berpunca daripada kerajaan yang memegang teraju pemerintahan. Berikan mereka peluang, aku percaya kerajaan akan mendapat kreditnya.

Rakyat sudah menunjukkan perasaan mereka yang kurang senang dengan proses pengundian yang dikendalikan oleh SPR. Kerajaan dan SPR harus mengambil tindakan segera kalau tidak mahu rakyat turun sekali lagi di jalan raya. Syabas! Rakyat Malaysia! Jangan dibiarkan gerombolan ini menarik hidung dan terus memperbodohkan kita. Kalau mereka sudah bodoh, jangan diajak kita menjadi bodoh macam mereka ! Wallahualam!

Wednesday, 25 April 2012

Mari kita nyalakan Unggun Bersih di Dataran

Aku kira kerajaan persekutuan nampak benar tidak jujur menghadapi isu Bersih 3.0 yang akan mengadakan demonstrasi 'Duduk Bantah' di Dataran Merdeka pada Sabtu 28 April ini. Hishamuddin kata, Bersih tidak mengancam keselamatan dan kententeraman negara. Ketua polis pun macam menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri ini. Tiba-tiba Ketua Polis Brickfieldas pula berkata tidak membenarkan perhimpunan itu. DBKL pula tak benarkan Dataran Merdeka dijadikan tempat 'Duduk Bantah' ini. Apa semuanya ini?

Usaha berdolak-dalih ini akan menarik lebih ramai lagi orang ramai datang ke Dataran Merdeka untuk melihat apa akan terjadi di Dataran itu nanti. Dataran pun sudah dipagar. Datuk Bandat sudah beri amaran katanya Bersih akan menghadapi tindakan keras daripada DBKL kalau teruskan hasrat mereka. Wah! sejak bila Datuk Bandar sudah ambil alih peranan Ketua Polis Negara? Mampukah dewan bandaraya menghalang himpunan setengah juta manusia itu nanti? Silap-silap pagar-pagar itu akan roboh dirempuh oleh orang ramai.

Aku yang pada mulanya rasa tidak akan hadir pada hari tersebut kerana masalah kesihatan, tiba-tiba dengan pelbagai karenah pihak berkuasa ini kepingin mahu turut sama. Aku kira sudah sampai masanya kita nyalakan Unggun Bersih di Dataran Merdeka pada hari itu. Para penyair dan sasterawan beramai-ramai deklamasikan sajak pak Samad itu di Dataran Merdeka pada hari itu. Biar semarak bernyalanya unggun itu.

Cuma aku pelik persatuan-persatuan penulis tidak menyatakan pendirian mereka terhadap isu Bersih ini. Mana suara Gapena? Kemana suara Pena? Kalam ? dll. Jangan asyik lena duduk atas pagar, nanti pagar runtuh, tergedup jatuh patah pinggang. Mereka harus nyatakan pendirian, di mana mereka berdiri.

Tak apalah, biarkanlah persatuan penulis bermimpi dan berangan-angan di atas pagar. Yang lain-lain mesti datantg beramai-ramai di Dataran dan sama-sama kita nyalakan Unggun Bersih sebagai simbol kita inginkan kebersihan, bukan kekotoran! Wallahualam!

Datang pada 28 April ini, Dataran Merdeka terbuka luas pada kalian.

Tuesday, 24 April 2012

MSO dan Anwar

Aku baru baca artikel MSO dalam blog Anwar Ibrahim bertajuk, "Penghinaan terhadap Anwar tidak memberi bekas." Aku dah kenal MSO agak lama dan tahu benar pendirian, pandangan dan tempat dia berdiri. Artikel ini menarik kerana ia membongkar insiden di kalangan juak-juak yang telah meninggalkan Anwar dan PKR, yang ramai tidak tahu. MSO menulis apa yang berlaku di depan matanya, apa yang ada dalam fikirannya. Elok dibaca oleh pembaca umum.

Aku bersetuju dengan pandangan MSO. Aku  percaya Anwar bukan calang-calang orang yang kental semangat fizikal dan spritualnya. Tidak ramai  orang yang sanggup menghadapi pelbagai fitnah yang datang satu demi satu. Aku percaya waimah Mahathir mahupun Najib tentu tidak akan sanggup menghadapi fitnah yang dimainkan setiap hari oleh media seperti apa yang berlaku terhadap peribadi Anwar. Namun setakat ini semangat Anwar semakin kental dan berani menghadapi fitnah ini dan memang pun segala tohmahan itu tidak mendatangkan bekas, malah meimbulkan simpati orang ramai terhadapnya.

Bukan nak memuji atau nak mengampu (kerana itu bukan sifat aku) akan tetapi semakin difitnah Anwar semakin kuat menghadapi serangan fitnah ini. Semangat melawannya harus dipuji, sifat sabarnya harus dicontohi. Sejujurnya, kalau aku sendiri dalam keadaan Anwar, dah lama aku angkat tangan.  Sejak disingkir daripada kerajaan dan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Mahathir Mohamad, pelbagai fitnah dilempar terhadap beliau. Yang memulakannya ialah Mahtahir Mohamad, bolehlah juga dianggap Mahatahir sebagai bapak fitnah. Kemudian dituruti oleh koco-konconya termasuk mutakhir sekali kawan-kawan baik Anwar yang mengikut MSO pernah makan minum dan berak di rumah Anwar.

Satu lagi yang aku dapat lihat pribadi Anwar ialah, selama ini dia tidak pernah menimbulkan keburukan terhadap mereka yang memfitnahnya. Dia tidak membalas dengan kata-kata buruk, kasar atau mencungkil peribadi lawan-lawannya, apa lagi memfitnah mereka. Anwar hanya akan mengambil tindakan undang-undang terhadp mereka yang diyakininya memfitnah beliau. Aku belum dengar lagi Anwar memburukkan perangai Ruslan Kassim, Ezam Md. Nor, Nallakurapan dan yang lain-lain, sebaliknya mereka inilah yang banyak memburuk-burukkan Anwar. Peribadi Anwar mencerminkan watak kepemimpinannya.

Tak apalah, biarkanlah mereka terjun dengan labu-labunya. Rakyat boleh menilai jenis peribadi apakah mereka ini kerana jelas sekali mereka hanya pentingkan perut dan saku sendiri daripada mempertahankan prinsip perjuangan, apa lagi mempertahankan hak rakyat. Lihat Ezam, Nalla sudah jadi senator. Ruslan Kassim terkial-kial untuk mendapat jawatan tinggi dalam Umno. Akhirnya jadi timbalan presiden Perkasa di bawah Ibrahim Ali yang juga boleh dipertikaikan kewibawannya. Itupun syukurlah!

Apapun, aku salut Anwar Ibrahim, bukan kerana apa-apa tetapi kerana semangat, pendirian dan prinsipnya. Bukan semua yang dilakukan Anwar aku setuju, tetapi dalam kes fitnah ini, aku rasa aku patut salut beliau terhadap pendirian dan semangat kental beliau.

Aku tak kenal rapat pun dengan Anwar. Pujian ini bukan mengampu tetapi suatu penrnyataan ikhlas daripada aku. Mungkin ramai yang tidak setuju dengan pandangan aku, tak mengapa, aku menghormati pandangan kalian selagi ianya tidak bertentangan dengan kebenaran dan tidak berunsur fitnah.

Fitnah bukan saja merosakkan masyarakat, tetapi berdosa besar. Hanya mereka yang beriman saja yang takut membuat fitnah! Wallahualam!

JANGAN LUPA JANJI KITA UNTUK BERHIMPUN 'DUDUK BANTAH'  DI DATARAN MERDEKA PADA 28 APRIL INI !

Monday, 23 April 2012

Aku dah agak dah!

Penanahan dua orang mahasiswa di Dataran Merdeka oleh polis dan perobohan khemah oleh DBKL pada pagi hari minggu lepas (semalam) tidak memeranjatkan aku. Aku dah agak dah mahsiswa itu akan ditahan dan didakwa oleh pihak polis atas pelbagai kesalahan yang boleh dicari dalam undang-undang.

Tindakan ini sebagai respons laporan polis oleh mahasiswa yang mendakwa mereka diserang oleh sekumpulan samseng pada dinihari beberapa hari lalu. Tak tahulah apakah tindakan ini mengikut lunas undang-undang atau satu helah melindungi para samseng tersebut?

Ini bukan pertama kali perkara yang sama berlaku. Banyak kes-kes lain yang hampir serupa dengan yang terbaru. Kita harapkan biarlah polis bertindak secara profesional, mengikut undang-undang, bukan mengikut arahan mana-mana parti politik yang berkepentingan.

Kalau polis masih mahu dihormati, maka mereka patut melaksanakan undang-undang 'witout fear or favour.' 

Kalau pihak polis bertindak bukan berasaskan profesioanlsme, maka tindakan sedemikan tentu sekali bertentangan dengan dasar 'trasformasi' yang giat dicanang oleh PM. Lagipun mungkin bertentangan dengan Rang Undang-Undang Berhimpun yang baru diluluskan parlimen.

Nampaknya terlalu banyak kekalutan berlaku dalam pentadbiran Najib. Maka kempen untuk membersihkan pentadbirannya termasuk kekotoran yang ada dalam SPR harus disokong. Maka dengan itu 'Duduk Bantah' di Dataran Merdeka pada 28 April ini bertepatan dengan masa dan ketikanya.

Ayuh! Mari kita beramai-ramai sendatkan Dataran Merdeka, bukan buat kotor di sana, tetapi membersihkan Dataran Merdeka daripada segala onar dan kotoran yang terpalit. Jangan lupa 28 April 2012!.

Friday, 20 April 2012

Apa dah jadi ni?

Aku naik risau mendengar berita bahawa kumpulan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka telah diserang oleh sekumpulan orang seramai 50 orang yang bukan saja merobohkan khemah, tetapi mencenderakan para mahasiswa di situ yang sedang lena tidur.

Apa hal mereka datang menceroboh dan bertindak ganas seperti samseng? Memang sudah sewajarnya mereka dipanggil samseng kerana mengganggu- guggat kententeraman awam. Mahasiswa di situ tidak mengganggu sesiapa, hanya berkhemah menunjuk rasa terhadap tuntuntuan mereka supaya kerajaan menghapuskan PPTN.

Banyaklah respons ekoran daripada kejadian serangan itu. Malah Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin yang bertanggungjawab terhadap mahasiswa itu berkata mahasiswa jangan taggih simpati dengan serangan itu kerana mereka tidak disuruh berkhemah di situ. Ada pula pemimpin Umno menangkis dakwaan bahawa serangan itu didalangi oleh UMNO. Khairy Jamaludin, Shafuddin Abdullah dan Abd Rahman dari Sabah tidak bersetuju dengan serangan ini, walau pun mereka tidak juga bersetuju dengan tindakan mahasiswa itu berkhemah di situ.

Ada rasionalnya alasan KJ itu, tetapi jangan lupa dakwaan terhadap UMNO yang mendalangi serangan itu mungkin ada asasnya, atau setidak-tidaknya menimbulkan syak wasngka. Sebelum ini beberapa peristiwa ganas seperti ini telah berlaku terhadap siri ceramah PR, malah Nurul Izzah dan Anwar Ibrahim juga hampir dicenderakan. Peliknya, mereka ini tidak diambil tindakan oleh pihak polis walaupun laporan sudah dibuat. Maka kerana itu mereka berani bermaharajalela dan percaya akan terus dilindungi oleh para dalang ini, yang mungkin pemimpin besar UMNO atau negara. Syak wasangka inilah menguatkan andaian mereka bahawa Umno, malah polis seolah-olah melindungi perbuatan ganas kumpulan ini.

Polis mesti menyiasat kejadian ini dan dakwa mereka sekiranya ada bukti. Jangan siasat mereka yang ditangkjap saja, siasat juga siapa yang ada di belakang mereka. Kalau ada bukti juga tarik dalang ini ke muka pengadilan.

Nampaknya hari demi hari, tindakan pihak penguasa termasuk agensi penguatkuasanya menyerlahkan sikap double standard mereka. Oleh kerana itu perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka harus disambut sekian rakyat jelata sebagai simbol penentangan perbuatan zalim dan tidak adil dalam pilihan raya. Datanglah beramai-ramai, sendatkan Dataran Merdeka, tunjukkan bahawa kuasa rakyat mengatasi kuasa elit bangsawan. Kalau lebih daripada 500,000 yang hadir tentu UBN rasa kecut dan akan terus berhati-hati terhadap sebarang tindakan mereka.

Datang, jangan tak Datang. Kita penuhkan Dataran Merdeka pada 28 April ini.

Thursday, 19 April 2012

Dah Keluar hospital

Alahamdulillah, semalam saya telah dikeluarkan daripada IJN setelah selamat menjalani 'agioplasty' di mana satu saluran urat ke jantung didapati sempit. Kata doktor dia sudah masukkan 'stand' supaya aliran darah ke jantung berjalan lancar.

Kata doktor Shahrul yang bertanggungjawab di atas 'operasi' ini, dua urat yang sebelum ini di pasang stand kira-kira 7 tahun lalu masih ok., akan tetapi urat yang baru ini bertindih dengan yang lama, sebab itu agak sukar dia untuk memasang belon dan menongkat 'stand'. Walau bagaimanapun hanya kira2 1 jam semua kerja telah selamat disempurnakannya.

Syukur kepada Allah SWT yang telah memenuhi doa dan harapanku. Juga doa keluarga dan kawan-kawan, sangat-sangat saya hargai. Terima kasih yang sudi datang melawat, yang tidak sempat hantar SMS dan telefon. Itulah petanda setiakwan dan rapatnya silatulrahim antara kita.

Insyallah, selepas rehat, saya akan terus berusaha untuk menjayakan komitmen dan rancangan yang masih terbelangkali. Dengan kekuatan dan kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT, saya akan berusaha untuk memastikan segala perancangan dapat dijayakan dengan selamat.

Ralat:

Saya mohon maaf atas entri saya bertajuk, "Wacana Hassan Ali di PPAS," yang sebenarnya, Hassan Ahmad bukan Hassan Ali. Terima kasih pada Kassim dan Azman Daud yang menegur kesilapan ini. Barangkali nama Hassan Ali ini selalu timbul di media, mempengaruhi saya sehinggakan nama orang lain disamakan dengan nama beliau. Maaf atas kesilapan ini.

Monday, 16 April 2012

Selamat Hari Lahir Pak Samad dan teruskan perjuangan

Asalamualikum! Aku terima sms daripada Dinsman semalam mengajak aku bersama-sama pada majlis menyambut hari lahir Pak Samad (Datuk A.Samad Said) di madarasah Tarbiyah, Kg. Banda Dalam malam ini (Isnin). Pak samad sudah 77 tahun usianya pada 7 April lalu, hari aku dimasukkan ke dalam ICU. Pada 7 April juga genap 70 tahun 1 bulan usiaku. Dan pada 8 April Mingguan Malaysia siarkan sajakku bertajuk, '70 tahun telah berlalu,' aku cipta khas menyambut hari lahirku pada 7 Mac 2012 lalu. Sajak itu aku bacakan di hadapan jemaah surau sebelum majlis tahlil dan doa selamat berlangsung. Aku mahu abadikan kesyukuranku kepada Allah SWT dan kepada ibu dan bapaku yang telah membesarkan aku dengan susah payah mereka.

Aku beritahu Dinsman, belum tahu lagi sama ada aku dapat hadir pada majlis itu malam ini kerana hari ini Isnin 16 April 2012 aku ada janjitemu dengan IJN untuk membuat pemeriksaan jantung hatiku. Kalau tidak ditahan untuk pemeriksaan lanjut atau pembedahan, Insyallah aku kepingin benar untuk sama-sama meraikan hari lahir Pak Samad, yang pernah menunjuk ajarku kaedah penulisan kreatif ketika muda-muda dulu.

Tahniah, Pak Samad, semoga Allah sentiasa memelihara kesihatan bapak untuk terus berjuang. Sebagai tanda sokongan, maka aku syorkan supaya para penulis/sasterawan,budayawaan/cendiakawan sama-sama menyokongnya untuk mengadakan tunjuk rasa 'Duduk Bantah!' pada 28 April ini di Dataran Merdeka. Aku harap kawan-kawan akan turut sama pada hari tersebut, walaupun kemungkinan aku tidak dapat turut sama. Itu tidak bererti aku tidak menyokong.

Pada kawan-kawan aku mohon ampun dan maaf kiranya ada kesilapan dan kesalahan sepanjang kita berkawan selama ini. Maklum saja aku ini agak celupar mulut, tetapi keceluparan itu demi berkata yang benar, meskipun ramai tidak bersetuju dan tidak selesa.

Apapun, aku mohon kepada Allah SWT agar memudahkan segala urusanku, selamatkan segala perancanganku dan memberikan hidayah dan petunjuk padaku. Yang paling utama Allah SWT mengampuni dosa-dosaku. Wallahualam!

Saturday, 14 April 2012

Wacana Hassan Ali di PPAS

Aku terima SMS daripada Dinsman pagi ini, katanya wacana pemikiran Datuk Hassan Ahmad, 'Metofora pemikiran Melayu,' anjuran PAKSI dan Perpustakaan Awam Selangor, di PPAS mendapat sambutan baik terutama para cendiakawan, profesor dan pensyarah universiti. Sayangya aku tak dapat hadir kerana tidak sihat. Aku sepatutnya menjadi moderator pagi ini, nampaknya terlepas peluang aku untuk beraksi dan mempamirkan diri sebagai seorang moderator.

Apapun aku ucapkan syabas kepada Dinsman dan Paksi yang berjaya melaksanakan program tersebut, dengan banyak lagi program keilmuan akan menyusul. Seharusnya persatuan-persatuan penulis mengikut langkah ini, terutama Gapena yang mungkin boleh mengajurkan wacana yang lebih besar lagi. Bagi kami dalam Paksi, kita mahu, perlu dan menghormati perbezaan pendapat dan meraikan percambahan pendapat ini dengan hujah-hujah yang bersifat intelektual dan positif.

Tak mengapalah, manusia hanya mampu merancang, yang menentukan ialah Allah. Begitu juga dengan kesihatanku, aku kira dapat menghabiskan segala komitmen yang sudah ada dalam perancangan, tak tahulah sama ada akan dapat memenuhinya atau tidak.

Semalam IJN sudah mengingatkan aku melalui SMS nya tentang janjitemu pada Isnin ini. Insyallah, aku akan hadir. Aku tidak tahu apa nasihat dan keputusan doktor nanti. Kalau mengikut nasihat doktor pakar jantung di Hospital Pantai di Melaka, aku harus menjalani 'agioplasty' atau kemungkinan besar pembedahan 'by-pass.'

Masyallah! aku hanya mampu pasrah. Kepada kawan-kawan, sahabat handai dan saudara mara, doakan semoga apapun keputusan doktor, aku akan diselamatkan oleh Allah AWT. Insyallah!

Kalau ada kesempatan akan aku cuba laporkan dalam blog ini. Wasalam!

Wednesday, 11 April 2012

Di Penghujung Perjalanan Ini!

Alahamdulillah, setelah 3 hari di wad ICU di Hospital Pantai, Ayer Keroh, Melaka, saya dibenarkan keluar oleh doktor pakar jantung atas permintaan saya sendiri. Saya mohon dirujuk ke IJN kerana memikirkan kosnya mungkin kurang daripada hospital swasta itu. Sudahpun saya daftarkan diri semalan di IJN dan Isnin depan akan menjalani peperiksaan doktor. Kebetulan anak saya ada kenalan seorang doktor di IJN yang sama menuntut dengannya di UK, maka mudahlah saya dapat jumpa beliau pada waktu yang cepat.

Sebenarnya doktor pakar jantung di Hospital Pantai mahu terus scan, kalau ada saluran yang tersumbat akan dimasukkan 'stand'. 7 tahun lalu saya juga ada menjalani rawatan ini di hospital yang sama dengan doktor yang sama. Kata doktor itu lagi, pada pemeriksaan awalnya kedapatan ada tanda-tanda injap jantung saya mengalami kerosakan. Kalau injap rosak saya harus menjalani pembedahan 'by-pass." Ini yang mengerunkan saya.

Sebelum ini pun doktor di Hospital Melaka dan Selayang mahu bedah perut saya kerana kedapatan ada bengkak dalam abdomin. Saya telah menjalani sebanyak empat kali pembedahan perut kerana masalah yang sama. Saya hairan selepas dibuang 'ketumbuhan' yang dikatanya 'cyst' ianya masih datang berulang kali. Lalu saya enggan dibedah perut saya, pertama usia saya sudah meningkat, kemungkinan ketahanan diri berkurangan. Kedua, risikonya amat tinggi kerana saya juga mengidapi kencing manis dan darah tinggi. Ketiga; saya semacam merasakan bahawa pembedahan kali ini pada usia begini mungkin membawa saya kepada penghujung perjalanan hidup saya.

Ianya seperti tanggapan negatif. Tapi itu yang naluri saya katakan. Sebab itu saya agak kurang berkeinginan untuk dibedah dada saya pada usia sepikun ini. Isteri dan anak-anak berpendapat supaya saya segera berbuat demikian, kerana serangan jantung akan berlaku bila-bila masa tanpa amaran. Inilah delima saya!

Apapun saya ucapkan terima kasih kepada kawan-kawan yang datang melawat saya semasa dihospital. Yang tak dapat datang, mereka telefon dan kirim SMS doakan moga saya selamat dan dipulihkan kesihatan seperti sediakala. Saya sangat-sangat menghargai doa kalian, yang mampu saya balas hanya dengan rakaman jutaan terima kasih dan doa yang sama dipanjatkan kepada kalian.

Saya terbayangkan kawan-kawan yang telah pergi terdahulu, Azizi, Datuk Hassan Ahmad, Brirasa, Zahari Hasib dll. Apakah saya akan ikut mereka? Memang pun tidak siapa boleh lari daripada kematian kerana itu sudah dijanjikan oleh Allah dalam Al-Quran, 'Kulunafsin za-ikatulmaut.'

Apapun saya mesti cekalkan hati, bertekad bahawa ada cahaya di hujung terowong. Saya harap Allah SWT akan menolong saya memberikan petunjuk, Hidayah dan kuatkan iman agar ikhtiar yang akan dilakukan akan berjaya hendaknya. Sama-samalah kita berdoa dan memohon kepada Allah agar keselamatan kita bersama dalam keadaan sempurna dan sentiasa di bawah keRedaan dan PerlindunganNya! Wallahualam!

Wednesday, 4 April 2012

Kerajaan Kedah bayar elaun pada Tan Sri Ismail Hussein?

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Gapena yang ke-41 berlangsung di Melaka pada 30 Mac lalu, Prof Dr. Latif Bakar selaku pemangku Ketua 1 Gapena (beliau dilantik dan disahkan sebagai Ketua 1 Gapena pada mesyuarat agung tersebut), telah memberitahu kerabat Gapena yang hadir bahawa Gapena telah memohon kepada kerajaan negeri Kedah (yang diperintah PAS), supaya membayar elaun bulanan kepada mantan Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussein sebagai anak Kedah dan atas jasa-jasa beliau kepada Gapena. Kalau tak silap pendengaran saya jumlah elaun itu sebanyak RM5,000 dan menurut beliau lagi sudahpun dipersetujui oleh kerajaan Kedah.

Wah! ini berita baik untuk golongan penulis/sasterawan/budayawaan. Kalau benar apa yang diucapkan oleh Prof Latiff ini, ini menunjukkan kerajaan Pas/Pakatan Rakyat lebih peka dan prihatian terhadap golongan ini, daripada kerajaan Umno/BN di negeri-negeri lain.

Aku tak bantah kalau kerajaan Kedah bersetuju dan mampu untuk berbuat demikian. Akan tetapi apa yang aku ingin persoalkan ialah kenapa kerjaan Kedah yang dipimpin oleh PAS tidak pula peka terhadap perjuangan Allahyaraham Azizi Hj. Abdullah, yang bukan saja prolifik dalam menghasilkan karya baik kreatif mahupun non kreatif sehingga akhir hayatnya? Azizi merupakan salah seorang penyokong kuat PAS dan pernah bertanding sebagai calon Pas di kawasan Kulim?

Paksi yang dipimpin oleh Dinsman bersama-sama Anuar Asmadi Ketua 1 2PNP telah berusaha untuk mendapatkan pengiktrafan kerajaan Kedah terhadap Azizi, sekurang-kurangnya mengistiharkan Allahyaraham Azizi sebagai Sasterwan Rakyat, (satu gelaran yang belum wujud secara rasmi di Malaysia) dengan sedikit bayaran sebagai token. Di samping itu abadikan nama beliau di mana-mana seperti perpustakaan atau nama-nama jalan dan sebagainya.

Malangnya cadangan ini bukan saja tidak mendapat kerjasama, malah tidak diambil pusing oleh pimpinan kerajaan PAS Kedah. Alangkah malangnya nasib seorang pejuang PAS yang telah banyak berjasa kepada dunia kesusasteraan tanah air, rakyat Kedah dan Pulau Pinang dan parti PAS sendiri. Kita tidak menafikan jasa-jasa Ismail Hussein, akan tetapi Azizi, pada fikiran aku, lebih dekat dengan rakyat Kedah dan perjuangan PAS. Belaiu lebih layak diiktraf dan dianugerahkan dengan gelaran 'Sasterawan Rakyat.' Malah elaun seperti yang dicadangkan oleh Gapena itu, harus diberikan kepada Azizi!

Entahlah! Apakah ini yang dinamakan, "kuman di sebarang lautan, nampak- gajah di hadapan mata tidak nampak?"

Saya kira kerajaan PAS Kedah semasa masih memegang kuasa ini harus pertimbangkan jasa-jasa Azizi. Beliau tidak mendapat perhatian kerajaan Umno/BN kerana prinsipnya, juga tidak terpilih sebagai Sasterawan Negara oleh Jawatankuasa pemilihan, yang alasannya tidak diketahui. Buatlah sesuatu kepada beliau atau keluarga beliau semasa Pas ada kuasa sekarang. Sekurang-kurangnya itu jasa kepimpinan PAS Kedah sekarang semasa memegang kuasa.

Ini tidak bererti aku terlalu bersikap emosi dan kepartian, atau menolak sikap profesional, akan tetapi Azizi telah terbukti dengan tulisan-tulisannya, karya-karya kreatifnya dan seorang aktivis konsumerisme dalam CAP.

Aku tidak mahu merintih-rintih di sini. Penyokong PAS dan PR boleh berfikir dan buat pertimbangan sendiri. Wallahualam!