Asalamualikum! Aku terima sms daripada Dinsman semalam mengajak aku bersama-sama pada majlis menyambut hari lahir Pak Samad (Datuk A.Samad Said) di madarasah Tarbiyah, Kg. Banda Dalam malam ini (Isnin). Pak samad sudah 77 tahun usianya pada 7 April lalu, hari aku dimasukkan ke dalam ICU. Pada 7 April juga genap 70 tahun 1 bulan usiaku. Dan pada 8 April Mingguan Malaysia siarkan sajakku bertajuk, '70 tahun telah berlalu,' aku cipta khas menyambut hari lahirku pada 7 Mac 2012 lalu. Sajak itu aku bacakan di hadapan jemaah surau sebelum majlis tahlil dan doa selamat berlangsung. Aku mahu abadikan kesyukuranku kepada Allah SWT dan kepada ibu dan bapaku yang telah membesarkan aku dengan susah payah mereka.
Aku beritahu Dinsman, belum tahu lagi sama ada aku dapat hadir pada majlis itu malam ini kerana hari ini Isnin 16 April 2012 aku ada janjitemu dengan IJN untuk membuat pemeriksaan jantung hatiku. Kalau tidak ditahan untuk pemeriksaan lanjut atau pembedahan, Insyallah aku kepingin benar untuk sama-sama meraikan hari lahir Pak Samad, yang pernah menunjuk ajarku kaedah penulisan kreatif ketika muda-muda dulu.
Tahniah, Pak Samad, semoga Allah sentiasa memelihara kesihatan bapak untuk terus berjuang. Sebagai tanda sokongan, maka aku syorkan supaya para penulis/sasterawan,budayawaan/cendiakawan sama-sama menyokongnya untuk mengadakan tunjuk rasa 'Duduk Bantah!' pada 28 April ini di Dataran Merdeka. Aku harap kawan-kawan akan turut sama pada hari tersebut, walaupun kemungkinan aku tidak dapat turut sama. Itu tidak bererti aku tidak menyokong.
Pada kawan-kawan aku mohon ampun dan maaf kiranya ada kesilapan dan kesalahan sepanjang kita berkawan selama ini. Maklum saja aku ini agak celupar mulut, tetapi keceluparan itu demi berkata yang benar, meskipun ramai tidak bersetuju dan tidak selesa.
Apapun, aku mohon kepada Allah SWT agar memudahkan segala urusanku, selamatkan segala perancanganku dan memberikan hidayah dan petunjuk padaku. Yang paling utama Allah SWT mengampuni dosa-dosaku. Wallahualam!
No comments:
Post a Comment