Wednesday, 11 April 2012

Di Penghujung Perjalanan Ini!

Alahamdulillah, setelah 3 hari di wad ICU di Hospital Pantai, Ayer Keroh, Melaka, saya dibenarkan keluar oleh doktor pakar jantung atas permintaan saya sendiri. Saya mohon dirujuk ke IJN kerana memikirkan kosnya mungkin kurang daripada hospital swasta itu. Sudahpun saya daftarkan diri semalan di IJN dan Isnin depan akan menjalani peperiksaan doktor. Kebetulan anak saya ada kenalan seorang doktor di IJN yang sama menuntut dengannya di UK, maka mudahlah saya dapat jumpa beliau pada waktu yang cepat.

Sebenarnya doktor pakar jantung di Hospital Pantai mahu terus scan, kalau ada saluran yang tersumbat akan dimasukkan 'stand'. 7 tahun lalu saya juga ada menjalani rawatan ini di hospital yang sama dengan doktor yang sama. Kata doktor itu lagi, pada pemeriksaan awalnya kedapatan ada tanda-tanda injap jantung saya mengalami kerosakan. Kalau injap rosak saya harus menjalani pembedahan 'by-pass." Ini yang mengerunkan saya.

Sebelum ini pun doktor di Hospital Melaka dan Selayang mahu bedah perut saya kerana kedapatan ada bengkak dalam abdomin. Saya telah menjalani sebanyak empat kali pembedahan perut kerana masalah yang sama. Saya hairan selepas dibuang 'ketumbuhan' yang dikatanya 'cyst' ianya masih datang berulang kali. Lalu saya enggan dibedah perut saya, pertama usia saya sudah meningkat, kemungkinan ketahanan diri berkurangan. Kedua, risikonya amat tinggi kerana saya juga mengidapi kencing manis dan darah tinggi. Ketiga; saya semacam merasakan bahawa pembedahan kali ini pada usia begini mungkin membawa saya kepada penghujung perjalanan hidup saya.

Ianya seperti tanggapan negatif. Tapi itu yang naluri saya katakan. Sebab itu saya agak kurang berkeinginan untuk dibedah dada saya pada usia sepikun ini. Isteri dan anak-anak berpendapat supaya saya segera berbuat demikian, kerana serangan jantung akan berlaku bila-bila masa tanpa amaran. Inilah delima saya!

Apapun saya ucapkan terima kasih kepada kawan-kawan yang datang melawat saya semasa dihospital. Yang tak dapat datang, mereka telefon dan kirim SMS doakan moga saya selamat dan dipulihkan kesihatan seperti sediakala. Saya sangat-sangat menghargai doa kalian, yang mampu saya balas hanya dengan rakaman jutaan terima kasih dan doa yang sama dipanjatkan kepada kalian.

Saya terbayangkan kawan-kawan yang telah pergi terdahulu, Azizi, Datuk Hassan Ahmad, Brirasa, Zahari Hasib dll. Apakah saya akan ikut mereka? Memang pun tidak siapa boleh lari daripada kematian kerana itu sudah dijanjikan oleh Allah dalam Al-Quran, 'Kulunafsin za-ikatulmaut.'

Apapun saya mesti cekalkan hati, bertekad bahawa ada cahaya di hujung terowong. Saya harap Allah SWT akan menolong saya memberikan petunjuk, Hidayah dan kuatkan iman agar ikhtiar yang akan dilakukan akan berjaya hendaknya. Sama-samalah kita berdoa dan memohon kepada Allah agar keselamatan kita bersama dalam keadaan sempurna dan sentiasa di bawah keRedaan dan PerlindunganNya! Wallahualam!

3 comments:

Tetamu Istimewa said...

Saya mendoakan Tuan akan sihat walafiat.

barajiwa said...

Saudara Razali,

Kita doakan semuanya selamat dan saudara sihat walafiat setelah menjalani rawatan.

Tak ada kata-kata yang dapat mengulas kandungan entri mutakhir saudara ini. Sehingga ke saat ini, ketiadaan arwah Azizi, Hassan Ahmad begitu terasa sekali. Tak ramai yang seperti mereka.

Tak ramai yang terfikirkan persoalan yang saudara bangkitkan. Semuga Tuhan berikan kita kekuatan. Amin.

Kassim Muhamad.

brokentoe said...

Saya mendoakan Tn Hj akan sihat dengan rahmat Allah. Saya dan jemaah surau tidak tahu akan,hal ni.