Wednesday 4 April 2012

Kerajaan Kedah bayar elaun pada Tan Sri Ismail Hussein?

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Gapena yang ke-41 berlangsung di Melaka pada 30 Mac lalu, Prof Dr. Latif Bakar selaku pemangku Ketua 1 Gapena (beliau dilantik dan disahkan sebagai Ketua 1 Gapena pada mesyuarat agung tersebut), telah memberitahu kerabat Gapena yang hadir bahawa Gapena telah memohon kepada kerajaan negeri Kedah (yang diperintah PAS), supaya membayar elaun bulanan kepada mantan Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussein sebagai anak Kedah dan atas jasa-jasa beliau kepada Gapena. Kalau tak silap pendengaran saya jumlah elaun itu sebanyak RM5,000 dan menurut beliau lagi sudahpun dipersetujui oleh kerajaan Kedah.

Wah! ini berita baik untuk golongan penulis/sasterawan/budayawaan. Kalau benar apa yang diucapkan oleh Prof Latiff ini, ini menunjukkan kerajaan Pas/Pakatan Rakyat lebih peka dan prihatian terhadap golongan ini, daripada kerajaan Umno/BN di negeri-negeri lain.

Aku tak bantah kalau kerajaan Kedah bersetuju dan mampu untuk berbuat demikian. Akan tetapi apa yang aku ingin persoalkan ialah kenapa kerjaan Kedah yang dipimpin oleh PAS tidak pula peka terhadap perjuangan Allahyaraham Azizi Hj. Abdullah, yang bukan saja prolifik dalam menghasilkan karya baik kreatif mahupun non kreatif sehingga akhir hayatnya? Azizi merupakan salah seorang penyokong kuat PAS dan pernah bertanding sebagai calon Pas di kawasan Kulim?

Paksi yang dipimpin oleh Dinsman bersama-sama Anuar Asmadi Ketua 1 2PNP telah berusaha untuk mendapatkan pengiktrafan kerajaan Kedah terhadap Azizi, sekurang-kurangnya mengistiharkan Allahyaraham Azizi sebagai Sasterwan Rakyat, (satu gelaran yang belum wujud secara rasmi di Malaysia) dengan sedikit bayaran sebagai token. Di samping itu abadikan nama beliau di mana-mana seperti perpustakaan atau nama-nama jalan dan sebagainya.

Malangnya cadangan ini bukan saja tidak mendapat kerjasama, malah tidak diambil pusing oleh pimpinan kerajaan PAS Kedah. Alangkah malangnya nasib seorang pejuang PAS yang telah banyak berjasa kepada dunia kesusasteraan tanah air, rakyat Kedah dan Pulau Pinang dan parti PAS sendiri. Kita tidak menafikan jasa-jasa Ismail Hussein, akan tetapi Azizi, pada fikiran aku, lebih dekat dengan rakyat Kedah dan perjuangan PAS. Belaiu lebih layak diiktraf dan dianugerahkan dengan gelaran 'Sasterawan Rakyat.' Malah elaun seperti yang dicadangkan oleh Gapena itu, harus diberikan kepada Azizi!

Entahlah! Apakah ini yang dinamakan, "kuman di sebarang lautan, nampak- gajah di hadapan mata tidak nampak?"

Saya kira kerajaan PAS Kedah semasa masih memegang kuasa ini harus pertimbangkan jasa-jasa Azizi. Beliau tidak mendapat perhatian kerajaan Umno/BN kerana prinsipnya, juga tidak terpilih sebagai Sasterawan Negara oleh Jawatankuasa pemilihan, yang alasannya tidak diketahui. Buatlah sesuatu kepada beliau atau keluarga beliau semasa Pas ada kuasa sekarang. Sekurang-kurangnya itu jasa kepimpinan PAS Kedah sekarang semasa memegang kuasa.

Ini tidak bererti aku terlalu bersikap emosi dan kepartian, atau menolak sikap profesional, akan tetapi Azizi telah terbukti dengan tulisan-tulisannya, karya-karya kreatifnya dan seorang aktivis konsumerisme dalam CAP.

Aku tidak mahu merintih-rintih di sini. Penyokong PAS dan PR boleh berfikir dan buat pertimbangan sendiri. Wallahualam!

1 comment:

Tetamu Istimewa said...

Tahniah Tuan puisi 70 Tahun Telah Berlalu di Mingguan Malaysia.