Wah! aku bangga dengan kedua anak muda ini yang berjaya meneroka suasana politik baru di negara ini dengan berdebat secara intelektual dan berhemah. Sepanjang satu setengah jam aku tidak leka seminit pun daripada kaca tv saluran Astro Awani malam tadi. Aku bangga kedua-duanya dengan berani dan yakin telah membuka tirai politik tradisional selama ini yang dilingkari oleh politik fitnah, kotor, rasuah dan menjijikkan. Mereka telah membawa rakyat Malaysia ke arah alam politik yang budiman, intelektual dan bertamadun.
Memang kedua-duanya petah dan mempunyai fakta bagi menyokong hujah masing-masing. Sepanjang perdebatan, aku lihat Rafizi lebih ke hadapan dengan hujah yang meyakinkan iaitu daripada sudut ekonomi dan realiti. Beliau hanya menumpukan hujahnya terhadap permasalahan dan mengemukakan penyelesaian mengikut landasan ekonomi. Tidak hairan kerana belaiu ialah seorang akuantan dan khabarnya pernah berkhidmat dengan Petronas.
Manakala Khiri Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno seorang lulusan Oxford tidak kurang juga bermain dengan angka. Sama ada angka-angka yang mereka kemukakan ini sesuatu yang betul dan sahih, kenalah diteliti dengan rinci oleh pakar ekonomi yang berwibawa. Apapuan KJ tidak kurang petah dan lancar berhujah dalam debat ini.
Cuma yang aku dapat teliti jawapan dan hujah KJ lebih mirip kepada sentimen politik, manakala Rafizi Ramli menumpukan dari sudut ekonomi dan penyelesaian. Hujah KJ agak meyakinkan apabila beliau menyatakan beberapa kepincangan dan kekurangan kerajaan PR yang masih belum menyempurnakan janji manifesto mereka yang dikemukakan pada PRU 12 (2008). Mungkin dakwaannya betul, tetapi mungkin ianya belum sempat disempurnakan kerana kesuntukan masa. Belum pun sampai 5 tahun memerintah, kebarangkalian ini tentu ada. Apa pun kita serahkan kepada rakyat menimbangkannya.
Seperti yang didakwa oleh Rafizi dalam sesi penggulungannya, KJ masih gagal dan tidak menjawab pertanyaan beliau sehingga akhir debat, ke manakah digunakan sejumlah besar wang Petronas ketika bapa mentuanya, Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menjadi PM dulu? Adakah wang itu digunakan untuk membantu mahasiswa atau digunkan untuk perkara yang berfaedah? Ini tidak dijawab oleh KJ. Barangkali KJ tidak ada jawapan bagi soalan itu atau sengaja tidak mahu menjawab kerana mahu menyembunyikan sesuatu? Itu andaian saya, mungkin anda menggandaikannya lain pula.
Apapun, sekali lagi saya ucapkan syabas kepada dua orang anak muda ini yang telah membuka jalan kepada perdebatan yang lebih sihat, intelektual dan bertamadun sebagai wadah kelangsungan dunia politik yang lebih terbuka dan matang di tanah air kita. Kini bukan lagi zaman politik fitnah memfitnah, memperbodohkan rakyat dan politik pembohongan, kerana rakyat sudah celik dan terbuka kepada pelbagai maklumat yang boleh dicapai di maya, tidak payah lagi melalui media cetak dan tv. Kita mahukan suasana politik yang lebih matang, berhemah dan boleh menjana kepada pemikiran massa yang lebih matang dan bijaksana.
Seperti yang disarankan oleh moderator Dr. Malik dari Universiti Islam Antarabangsa, supaya debat antara ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan PM Datuk Najib Tun Razak akan menjadi kenyataan dan dapat diadakan sebelum PRU 13 ini, tentu sekali saranan ini harus disokong. Anwar telah beberapa kali mencabar Najib, tetapi Najib masih belum lagi menerima cabaran ini. Kita tunggu perdebatan kedua-dua pemimpin ini dengan pemikiran terbuka, kerana rakyat tidak lagi boleh dibelenggu oleh politik fitnah, pembohongan dan propaganda yang melampau. Biar rakyat nilai kewibawaan kedua-dua pemimpin ini dalam hujahan mereka.
Syabas dan tahniah juga harus diberikan kepada Karangkraf yang menerbitkan akhbar Sinar Harian, setesen tv Astro Awani, dan radio Bernama 24 yang menjadi penganjur bersama debat ini. Pengelibatan ketiga-tiga media ini membuka lebaran baru dan pembuka jalan ke arah dunia politik yang lebih budiman, matang dan bertamadun. Kita harapkan mereka akan terus menaja majlis debat seperti ini pada masa akan datang. Wallahualm!
No comments:
Post a Comment