Aku baru pulang dari Titihayun, di Yan Kedah menghadiri bengkel penulisan kritis anjuran CAP-Paksi-DBPWU yang diadakan pada 13-18 Mei lalu. Selama 6 hari berada di chalet di kaki Gunung Jerai, di kelilingi kehijauan rimbunan hutan belantara, dilagukan desahan gemersik air sungai yang menerjah deras di celah-celah bongkah batu pejal dan kerikil, kicauan merdu beburung di pohon-pohon tinggi menjulang, dikunjungi pula sang rama-rama pelbagai warna sayapnya serta sesekali terdengar suara kongkang sayup di kejauhan menjadikan suasana selama 6 hari di pinggir hutan di kaki Gunung Jerai amat mengasyikkan. Apa lagi sepanjang seminar itu dihiburkan dengan jenaka dan kelucuan Pak Salleh (HMS Abu Bakar) yang membuatkan para peserta berasa lucu dan terhibur, sehingga terhambur percikan air ludah kerana berdekah-dekah ketawa.
Cuma yang amat tidak menyeronokkan apabila nyamuk menyerang saban malam dan menganggu waktu tidur para peserta. Satu lagi masalah, ialah air yang keluar daripada pili di chalet itu berwarna kekuningan, kelihatan kotor, tetapi amat dingin sekali. Air itu tidak boleh digunakan untuk diminum, terpaksa pula kena keluar ke pekan kecil berhambiran untuk membeli air minuman di dalam botol yang telah disaring. Air dalam pili itu disedut daripada air sungai yang berdekatan, tetapi tidak dirawat. Yang peliknya sejuk air itu tidak meresap sampai ke dalam tulang.
Bengkel ini dihidup dan diimarahkan dalam suasana mesra, muhibbah serta kritis. Bengkel ini sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku pada bengkel-bengkel sebelum ini, di mana para peserta diberikan kebebasan untuk mengutarakan pendapat mereka dan bertukar-tukar-tukar fikiran secara bebas. Tidak ada sekatan antara peserta dengan pembimbing untuk berinteraksi. Bengkel ini berkonsepkan dua hala, bukan satu hala.
Seramai 21 orang peserta menghadiri bengkel ini di bawah bimbingan beberapa orang penulis veteran termasuk seorang dari Indonesia. Para peserta terdiri daripada pelbagai golongan, muda dan tua serta pelbagai pula profesion. Seramai 6 orang peserta wanita juga turut sama dalam bengkel ini. Manakala 3 orang suku kaum Sulu (Morro) warga negara Malaysia dari Sabah juga mengikuti bengkel ini.
Tentu sekali pelbagai pendapat dan pandangan bercambah dalam bengkel ini yang berhasrat membina penulis yang kritis bagi mengtransformasi massa supaya berfikiran kritis. Rata-rata para peserta amat berpuas hati dengan cara bengkel ini dijalankan, walaupun daripada segi logistik serta kelengkapan berseminar tidak begitu memuaskan. Meskipun sekretariatnya tidak begitu tersusun, akan tetapi dari sudut persediaan sudah memadai dengan keadaan yang serba kekurangan dan bengkel yang santai. Apa pun ianya sebuah bengkel yang berjaya dan seharusnya diteruskan.
Aku ditugaskan menyampaikan kertas kerja pada bengkel itu. Kertas aku diberi tajuk, "Penulisan kritis dan menulis untuk berubah." Aku sedaya upaya menyampaikan kertas tersebut dengan bersungguh-sungguh dan semangat agar dapat menimbulkan suasana kritis dalam bengkel itu. Selepas bengkel aku tanyakan para peserta sama ada penyampaian aku membosankan atau tidak. Rata-rata mereka memberikan jawapan yang memerangsangkan dan memberitahu sesi aku antara yang paling panas dan aktif. Ya! Ini dibuktikan dengan penyertaan serta soal jawab dalam sesi pembentangan aku yang amat rancak dan menceriakan. Syukur, sekurang-kurangnya aku tidak ternampak ada peserta yang tertidur ketika pembentangan itu. Cuma aku terkilan Pak Salleh dan Amni Jagat tidak hadir pada sesi aku. Kata Pak Salleh dia tertidur dalam biliknya kerana dia tidak cukup tidur kerana terpaksa bersilat dengan nyamuk saban malam.
Begitulah sedikit kisah dan celoteh aku tentang bengkel di Titihayun, Yan Kedah. Cuma Azizi Hj Abdullah, orang kuat CAP yang menjadi tulang belakang penganjuran ini tidak dapat hadir kerana pada masa yang sama dia sedang menjalani pembendahan lintasan jantung di hospital Pulau Pinang. Kami semua mengadakan solat hajat di situ mendoakan semoga Allah selamatkan pembedahannya dan kesihatan beliau pulih seperti sediakala. Wallahualam!
No comments:
Post a Comment