Saturday, 28 May 2011

Hadiah Sayembara dan Pelancaran Buku







Ki
Gambar Kiri (Atas): Sebahagian para hadirian yang hadir.
Gambar kanan (atas) Pemenang pertama kategori sajak sdra Ehsan Jamily (bersongkok) dan Abd. Jalil Alimon, pertama kategori cerpen.



Gambar atas kiri: Alina Idris menerima hadiah daripada Ketua Menteri Melaka.

Gambar atas kanan: Nur Shafinas bte Hamzah menerima hadiah daripada Mohd Ali Rustam.



Antologi 'Ombak dan Pantai' dilancarkan oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam. Ketua 1 IPM, Hj Mokhtar Yasin menyampaikan buku antologi kepada Ketua Menteri.



Majlis penyampian hadiah Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak anjuran Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah sempurna disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Majlis berlangsung pada 26 Mei lalu di Perpustakaan Awam Melaka. Pada majlis yang sama dilaksanakan juga pelancaran buku Antologi Cerpen dan Sajak berjudul, 'Ombak dan Pantai.' Antologi ini mengandungi 23 buah cerpen dan 65 puisi hasil nukilan 14 orang penulis IPM. Antologi ini diterbitkan oleh IPM mengambil sempena sambutan Jubli Intan, ulang tahun ke-60 penubuhan IPM.


Sayembara dan penerbitan antologi ini adalah puncak kepada sambutan itu yang bermula pada Disember tahun lalu dengan pelancaran buku Kumpulan Cerpen 'Ranum' tulisan Razali Endun.


Sesungguhnya sayembara ini telah dapat mencungkil beberapa orang bakat baru dalam dunia penulisan terutama yang terdiri daripada kalangan pelajar sekolah. Nur Natasha bte Sain, umpamanya, pelajar Tingkat 5 Sekolah Berasrama Penuh , Selandar telah berjaya mendapat tempat ke-3 dalam kategori cerpen. Cerpennya bertajuk, 'Ayun' menerima hadiah wang tunai RM 600.00, sijil serta hadiah sampingan.


Begitu juga dengan Nur Shafinas bte Hamzah, pelajar Tingkatan 5 Sekolah Kluster, SMK Ghaffar Baba, Masjid Tanah berjaya mendapat hadiah sagu hati dalam kategori Sajak yang berjudul, 'Kibaran Darah.' Seorang lagi pelajar lelaki Arif bin Abdullah dari Kandang berjaya mendapat hadiah sagu hati dalam kategori sajak. Manakala Alina Idris, walaupun tidak menonjol namanya dalam arena penulisan, akan tetapi karya-karyanya sudah mengisi ruangan sastera dalam majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta terbitan DBP. Alina menang dua hadiah kategori cerpen. Cerpennya bertajuk, 'Takdir di hening takbir,' mendapat tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM 700, sijil dan hadiah iringan. Cerpennya bertajuk, 'Coklat untuk mama,' mendapat hadiah sagu hati RM 400.00


Walaupun para pemenang utamanya terdiri daripada penulis yang sudah ada nama, namun penyertaan yang begitu ramai dalam sayembara ini mengembirakan kepimpinan IPM yang khuatir bahawa tiada penulis muda yang akan meneruskan kesinambungan dunia penulisan kreatif di negeri Melaka. Seramai 174 orang telah menyertai sayembara ini yang menghantar sejumlah 83 buah judul cerpen dan 282 judul sajak, menggambarkan betapa semaraknya sambutan ini di kalangan anak Melaka. Sekurang-kurangnya ini petanda baik bahawa Melaka tidak ketandusan penulis seperti yang dibimbangi oleh IPM.


Esa bin Salleh atau lebih terkenal dengan nama penanya, Ehsan Jamily berjaya mendapat hadiah pertama kategori sajak melalui sajaknya, "Tikar Mengkuang Nenek." Beliau juga menerima hadiah sagu hati dengan sajaknya 'Kepada Pejuang Yang Berkorban.' Manakala Arbak Othman memenangi hadiah kedua dan sagu hati dengan sajaknya masing-masing, 'Hutan Tua di Ufuk dan Masihkah ada harapan.'


Kategori cerpen dimenangi oleh Ab. Jalil Alimon dengan cerpennya, 'Jangan Ambil Tahu.' Kedua, Alina Idris dan ketiga Nur Natasaha bte Mohamad Sain.


Apapun, bagi ahli IPM, pelancaran antologi 'Ombak dan Pantai,' sangat signifikan pada majlis itu. Buku ini diterbitkan selepas 10 tahun penerbitan sebuah buku bertajuk, 'Tokoh-Tokoh IPM' yang juga diterbitkan oleh IPM. Semoga penerbitan ini akan merintis jalan kepada penerbitan karya oleh penulis-penulis IPM yang lebih bermutu dan baik.

No comments: