Ini cerpen saya yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia Ahad 24 Jan 2010 lalu. Saya siarkan di dalam blog ini bagi dimanfaatkan para sahabat an pembaca yang terlepas membeli akhbar mingguan tersebut. Terima kasih kerana membaca.
Cerpen
Imam Wahab
Oleh RAZALI ENDUN
Hj Joned amat tidak setuju sekali cara imam baru masjid di kampungnya mengimamkan sembahyang. Sembahyangnya tidak mengikut tradisi orang-orang kampung bersolat. Banyak yang tidak kena dengan cara sembahyangnya. Orang kampung menjadi keliru. Cara sembahyang imam baru ini tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kampungnya. Sudah ada yang melabelkan imam itu membawa ajaran sesat.
Jadah apakah imam ini berkelakuan pelik seperti itu. Dia semacam mahu mengharu- birukan masyarakat kampung yang sekian lama aman tenteram dengan cara sembahyang yang diamalkan sejak nenek moyang mereka lagi. Cara imam itu sembahyang berlainan benar dengan cara turun temurun masyarakat kampungnya bersolat selama ini. Yang menghairankan Hj. Joned, kenapa Pejabat Agama melantik imam muda ini menjadi imam di kampungnya?
Setakat mengimamkan sembahyang, Hj Joned pun boleh dan mampu melakukannya. Selepas imam masjid itu meninggal dunia, Hj Jonedlah yang mengimamkan solat di masjid itu secara sukarela sebelum imam baru ini sampai. Sebelum itu jemaah masjid kampung itu diimamkan oleh imam Shafie selama 20 tahun lamanya. Selepas kematian imam Shafie, Pejabat Agama berpendapat tidak ada calon di kalangan orang kampung yang layak.
Hj. Joned pernah dicalonkan untuk mengisi kekosongan itu. Dia pernah menghadiri temu duga di pejabat agama bagi mendapatkan tauliah. Akan tetapi dia tidak lulus temu duga itu kerana sudah terlalu tua. Usianya sudah 85 tahun. Kesemua giginya sudah luruh. Mulutnya terkulum ke dalam. Lidahnya sudah keras, kaku. Tajwidnya sudah tidak tepat. Ikhfaknya sudah tidak jelas. Dengungnya tidak kedengaran. Nafasnya pendek, tidak boleh sampai enam harakat. Sebutannya melalut-lalut.
Lagi pun Hj Joned tidak pernah belajar di mana-mana sekolah agama. Dia hanya belajar dengan guru agama yang mengajar seminggu sekali di kampungnya. Dia banyak belajar melalui pengalaman. Sekolah pondok pun dia tidak pernah masuk. Tidak seperti imam baru itu yang mendapat pendidikan agama di Makkah Al-Mukaramah. Imam baru itu khabarnya belajar mengaji dengan imam Masjidil Haram. Tajwidnya tepat, lagunya sedap, suaranya mantap. Dia kelulusan universiti Jordan dalam bidang Hadis dan Falsafah Islam.
Pada mulanya masyarakat kampung mengalu-alukan kedatangan imam muda itu. Namanya Mohd Wahab bin Abdul Wahhub. Baru 35 tahun usianya. Orang kampung panggil dia, imam Wahab. Sebut sahaja nama imam Wahab orang kampung pasti kenal. Hari pertama hampir penuh satu masjid jemaah mengikuti di belakang imam Wahab. Masing-masing terpesona dengan bacaan ayat-ayat Quran yang sedap dan enak didengar. Yang tidak faham hukum tajwid pun amat tertarik dengan bacaan imam muda itu. Yang mengetahui hukum hakam itu tentu lebih menghayati bacaan imam muda itu. Imam Wahab mendapat sanjungan dan penghormatan luar biasa masyarakat kampung itu.
Hari demi hari masyarakat kampung mulai jadi keliru apabila imam Wahab tidak mengikut tata cara solat orang kampung turun temurun. Hj. Joned pun jadi pelik dengan cara imam itu solat. Doa iftitah pun tidak dibacanya. Terus sahaja baca Fatihah tanpa dimulai dengan kalimah Bismillah. Suatu pagi ketika solat Subuh, imam itu tidak baca doa qunut. Hj Joned fikir tentu dia terlupa. Hj. Joned yang berdiri di belakang imam itu menegurnya dengan ungkapan, “Subanallah!”. Imam Wahab tidak hiraukan teguran Hj. Joned sebaliknya dia terus sujud. Hj. Joned pun ikut sujud sama kerana dia sudah berniat mengikut imam. Mungkin imam itu akan melakukan Sujud Sahwi, fikir Hj. Joned.
Akan tetapi imam muda itu tidak pula melakukan Sujud Sahwi untuk membetulkan kealpaan membaca doa qunut. Yang lebih pelik lagi, selepas memberi salam, imam itu sapu punggung, bagun dan terus pergi. Tidak pernah dia membaca doa selepas sembahayang pun. Berzikir jauh sekali. Imam muda ini melakukan cara-cara yang di luar kebiasaan masyarakat kampungnya bersolat selama ini.
Tatkala imam Shafie mengimamkan jemaah masjid kampungnya dulu, hampir setengah jam berwirid dan berzikir selepas sembahyang fardhu. Kepala imam Shafie terangguk-angguk macam kepala itik ghariah mengawan. Kepala-kepala makmum turut tersentuk-sentuk macam belatuk membuat sarang. Biji tasbih di tangan imam Shafie ligat berputar di hujung jemarinya. Makmum berasa puas, biarpun berlamaan berwirid dan berzikir. Amat berlaianan sekali dengan cara imam Wahab. Cara amal ibadatnya terpesong jauh daripada tradisi amalan masyarakat di kampung itu.
Tambah kalut lagi apabila suatu hari berlaku kematian di kampung itu. Yang meninggal itu kebetulan pula bapa kepada Semail Wakang, Pengerusi JKKK kampung itu. Imam Wahabbi hanya mengimamkan solat jenazah sahaja. Selepas itu dia pulang. Dia tidak pergi ke kubur untuk membacakan talqin pada mayat yang dikuburkan. Tidak menjirus air mawar di atas kubur. Tidak juga dia mahu bertahlil. Tanam pokok kemboja di atas kubur pun dia tidak mahu. Malah menanam batu nisan juga dia anggap sebagai bidaah.
Puas dipujuk, dia masih enggan melakukannya. Kata imam Wahab, dia tidak mahu melakukan perkara bidaah itu. Tidak ada bacaan talqin di atas kubur. Yang mati tetap mati. Tiada siapa boleh beri pertolongan kepada si mati kecuali amalan baik dan ketaqwaan si mati sebelum kematiannya.
Selepas dipujuk, diheret dan dipaksa, imam Wahabbi tetap enggan membacakan talqin. Semail Wakang semakin berang apabila imam Wahab tetap dengan pendiriannya. “Ini tak betul, pak imam. Pak imam sudah melakukan kesalahan berat. Tauliah pak imam boleh ditarik balik,” Semail Wakang mengancam imam Wahab.
“Membaca talqin di atas kubur itu lebih tidak betul daripada tidak membacanya,” tangkis imam Wahab menegakkan pendapatnya. Dia masih enggan bertolak ansur dalam khilaf pandangan para ulama. Baginya tidak ada faedahnya membaca talqin di atas kubur. Perkara itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah. Ianya sekadar menyedapkan hati keluarga dan waris si mati sahaja.
“Tetapi perkara ini sudah berlaku sejak turun temurun lagi. Nenek moyang kami sudah melakukannya. Siapa pak imam mahu menunjuk pandai di sini?” lengking Semail Wakang dengan suara lantang. Tersentak imam Wahab dengan lengkingan Semail itu. Sepanjang usianya, dia tidak pernah ditengking begitu kasar sekali. Apa lagi untuk bersuara lantang seperti itu, belum pernah dilakukannya.
“Tak apa, pak haji Joned boleh sempurnakan bacaan talqin itu,” Imam Wahab menyarankan kepada Semail sebagai jalan keluar. Hj. Joned agak tersentak diminta berbuat demikian. Dia teragak-agak dengan saranan imam Wahab itu. Demi melaksanakan amalan tradisi masyarakat kampung itu, Hj. Joned pun sanggup. Semail Wakang berasa lega kerana jenazah ayahnya disempurnakan dengan bacaan talqin oleh Hj. Joned. Semail Wakang yakin dengan bacaan talqin itu Roh bapanya akan berada di dalam keadaan aman dan tenteram di Alam Barzakh.
Semenjak peristiwa itu orang kampung memandang serong kepada imam itu. Ramai sudah tidak mahu lagi mengimamkan imam yang sudah sesat barat itu. Ada di antara mereka cuba membantah, tetapi belum ada yang berani memprotes terang-terangan. Mungkin mereka berasa ragu tentang hukum hakam itu. Sesetengahnya mahu mengelakkan perpechan berlaku dalam masyarakat kampung itu. Sebab itu dibiarkan sahaja perkara itu berlaku meskipun para makmum sudah berpecah dua.
Semail Wakang semakin tidak sebulu dengan imam Wahab. Imam muda itu sudah melampau. Dia sudah memecah belahkan masyarakat kampung itu. Sudah beratus tahun amalan tradisi keagamaan diamalkan di kampung itu, tiba-tiba dengan kehadirian imam itu segalanya menjadi celaru. Imam itu bukan sahaja cuba mempengaruhi masyarakat kampung itu supaya menerima ajarannya, namun sudah ada pula yang menjadi pengikut setianya. Jelas sekali imam ini membawa perpecahan di dalam masyarakat kampung itu. Semail Wakang tidak boleh terima manusia durjana seperti ini. Imam itu perlu disingkirkan. Dia perlu digantikan dengan imam yang mengikut ajaran tradisi agama masyarakat kampung itu.
Semail Wakang berpakat dengan Hj. Joned mahu singkirkan imam Wahab. Kata Semail, Hj Joned lebih layak menjadi imam di kampung itu daripada imam muda itu. Imam itu umur pun belum setahun jagung, ubun-ubun masih lembut, hingus masih meleleh. Hj. Joned sudah matang. Sudah lebih daripada dewasa. Sudah pikun. Meskipun pelajarannya tidak tinggi, tetapi pengalamannya luas. Nak cari calon lain dalam kampung itu tidak ada langsung yang layak. Yang muda-muda sudah meninggalkan kampung pergi merantau. Yang tinggal kakek-kakek tua sebaya dengan Hj. Joned yang pengetahuan agama mereka pun masih diragukan.
“Tapi pencalonan saya sudah ditolak oleh pejabat agama,” semacam mengadu nada suara Hj Joned terhadap saranan Semail itu.
“Itu tidak penting. Kali ini pejabat agama mesti dengar pandangan darpada Pengerusi JKKK kampung. Kalau pandangan JKKK tidak mahu dipakai, pandangan siapa lagi yang mereka mahu?” Semail menekankan suaranya pada kalimat akhir itu bagaikan suatu ugutuan layaknya.
“Lagipun imam Wahab itu orang luar kampung ini. Kita mahu anak jati kampung ini menjadi imam masjid kampung kita, bukan orang luar” sambung Semail semakin keras nada suaranya. Hj. Joned semakin yakin, dengan pengaruh Semail sebagai Pengerusi JKKK, dia akhirnya akan dinobatkan sebagai imam kampung itu nanti.
Sebagai langkah pertama Semail Wakang menulis surat kepada Pejabat Agama minta digantikan imam Wahab dengan Hj. Joned. Pejabat Agama membalas mengatakan tiada alasan yang kukuh yang membolehkan pejabat agama menggantikan imam itu.
“Dah jelas sesat pun tidak cukup alasan?” rungut Semail kepada Hj. Joned setelah membaca jawapan suratnya daripada pejabat agama itu.
“Ini tak boleh jadi pak Haji, kita kena protes habis-habisan,” Semail semacam menghasut Hj. Joned. Mata Hj Joned tercerlung mendengar perkataan protes itu.
“Bagaimana caranya?” Tanya Hj. Joned minta kepastian.
“Kita adakan tunjuk perasaan besar-besaran membantah tindakan pejabat agama ini,” jelas Semail meyakinkan Hj. Joned.
Hj. Joned termenung sejenak. Dia tidak berapa setuju dengan cadangan Semail itu. Banyak risikonya. Silap-silap berpuluh trak FRU akan datang menyekat demonstrasi itu. Hj. Joned sudah serik terkena siraman air kimia dan gas pemedih mata semasa turut berdemonstrasi membantah PPSMI suatu ketika dulu. Pada usianya sepikun itu dia berasakan berdemonstrasi sudah tidak sesuai lagi.
“Tak payah tunjuk perasaan, saya ada cara lain,” bisik Hj Joned ke telinga Semail. Semail mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar bisikan itu tanpa mengetahui apakah cara lain yang dimaksudkan oleh Hj. Joned. Semail tersenyum lebar. Dia yakin Hj Joned ada caranya sendiri.
Suatu pagi sebelum solat Subuh, Hj. Joned sudah berada di atas sejadah imam. Pagi itu dia mendahului imam Wahab sampai di masjid. Semail Wakang yang memang liat datang solat Subuh, pagi itu datang awal bersama-sama Hj. Joned. Sebelum solat fardhu Hj Joned sudah bersila rapat di atas sejadah imam. Dia berwirid di atas sejadah itu. Apabila imam Wahab sampai, dia agak terperanjat sejadahnya sudah diduduki oleh Hj. Joned. Sebaik-baik sahaja bilal selesai iqamat, Hj. Joned sudah berdiri tegak di atas sejadah imam. Imam Wahab datang meluru mendapatkan sejadahnya. Dia mahu mengimamkan solat itu seperti biasa. Hj. Joned enggan memberikan sejadah itu kepada imam Wahab. Hj. Joned terus mengangkat takbiratulihram. Imam Wahab cuba menepis. Hj. Joned menyulam rapat dan erat kedua lengannya di atas pusatnya seraya kiam.
Makmum jadi keliru. Siapa sebenarnya menjadi imam pada pagi itu. Melihat Hj. Joned tidak mahu bergerak daripada sejadah imam, imam Wahab mengambil sejadah lain lalu dibentangnya di sudut kanan masjid itu. Makmun tambah keliru. Imam yang mana mahu diikut. Ada yang pergi mengikuti imam Wahab. Ada yang masih tunggu di belakang Hj. Joned. Semail Wakang sibuk mengarahkan para makmum mengikuti Hj. Joned, bukan imam Wahab. Namun, pengikut setia imam Wahab tetap mengimamkan imam muda itu.
Pagi itu berlakulah sembahyang dua imam di dalam satu masjid dalam satu waktu. Berkumandanglah bacaan ayat-ayat suci di antara Hj. Joned dengan imam Wahab. Hj Joned hanya membaca ayat pendek sahaja pagi itu. Imam Wahab pula membaca surah Sejadah yang panjang. Imam Wahab tambah dengan sujud sejadah, Hj. Joned buat sujud biasa. Kebetulan pula pagi itu pagi Jumaat. Hj. Joned tidak hafal surah itu, sebab itu dia membaca ayat-ayat pendek. Seperti biasa imam Wahab tidak membaca doa qunut. Hj. Joned membaca doa itu. Selepas solat, wirid Hj. Joned amat panjang sekali. Jemaah imam Wahab sudah sapu punggung sebaik sahaja memberi salam.
Siang itu kejadaian sembahyang dua imam sudah tersebar luas. Pihak media sudah dapat menghidu berita itu. Kampung itu dikunjungi oleh pihak media untuk membuat liputan. TV pun datang menginterview Hj Joned untuk mendapatkan penjelasan. Maka petang dan malam itu muka Hj. Joned terpapang di kaca-kaca tv di seluruh negara. Kembang hati Hj. Joned apabila melihat wajahnya terpapang di kaca tv.
Esoknya heboh lagi di kampung itu. Kali ini bukan berita dua imam tetapi Hj. Joned ditangkap pegawai pejabat agama. Orang pejabat agama membawa bersama-sama
mereka orang media untuk merakamkan peristiwa penangkapan Hj. Joned. Sekali lagi muka Hj. Joned mendapat siaran meluas pihak media terutama tv.
Hj. Joned diheret ke balai polis dan pejabat agama untuk diambil keterangannya. Malunya bukan kepalang. Dia berasakan orang pejabat agama sengaja mahu memalukannya dengan membawa berbondong-bondong orang media. Perlu apakah dia ditangkap sebegitu rupa kalau sekadar mahu mendapatkan keterangan untuk melengkapkan siasatan? Bigung Hj. Joned memikirkan.
“Tuan Haji ditahan kerana kesalahan menjadi imam sembahyang tanpa Tauliah,” jelas salah seorang pegawai pejabat agama setelah Hj. Joned meminta penjelasan. Hj Joned mengaru kepalanya. Serbannya terungkai apabila tangannya dengan kasar merentap serban itu dari lilitan keliling kepalanya. Hj. Joned mendengus macam lembu korban mahu dikorbankan. Matanya merah. Dadanya berombak-ombak.