Saya pindahkan tulisan Dr. Shafie Abu Bakar dari blognya melalui harakahdaily sepenuhnya tanpa disunting. Dr. Shafie ialah seorang ahli akademik dari pusat pengajian tinggi, seorang penyair dan sasterawan. Beliau juga telah mencipta teori sastera Islam dan pernah dibicarakan di dalam seminar-seminar sastera. Beliau kini terlibat secara langsung dalam dunia politik dan menjadi Adun Bangi, Selangor. Saya perturunkan tulisan ini dari perspektif berbeza untuk tatapan para pembaca dan pejuang bahasa dan sastera.
Pembetulan 1 : Sila baca 'Hari Pejuang Bahasa 152', ada kesilapan oleh Dr. Shafie dalam tulisan beliau.
Pembetulan 2: Tabung Dana ialah 'Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera.'
Hari Perjuangan Bangsa bagaimana maksud GAPENA?
Print
E-mail
http://drshafie.blogspot.com/
Mengikuti berita dari beberapa media hari ini memaparkan bahawa GAPENA akan menubuhkan satu `Tabung Dana` bagi membantu persatuan dan NGO menjalankan aktiviti bahasa dan sastera sebagai salah satu resolusi `Hari Perjuangan Bangsa` yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.
Membaca kenyataan Hamzah Hamdani Bendahari GAPENA ini, tertanya hati kecil kita, apakah GAPENA baru terbangun dari mimpi ?Kita katakana GAPENA baru terjaga dari mimpi, kerana ada beberapa pertanyaan yang terbuku di kalbu selama ini.Antara pertanyaan ialah berhubung dengan `Hari Perjuangan Bangsa` yang tajuknya begitu bombastic dan perhimpunan pula di dalam bilik dingin dan serba selesa. Ini mengingatkan kita tentang perjuangan menegakkan bangsa dan bahasa yang begitu kontras situasinya dalam mana perhimpunan berlaku di medan-medan terbuka. Contoh Masjid Negara dan jalanraya dalam menuju ke Istana Negara yang dikenali dengan``Perhimpunan Seratus Ribu Bagi Menghapuskan Dasar PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Metamatik Dalam Bahasa Inggeris) bagi menghantar Memorandum Bantahan Terhadap PPSMI kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agung yang berlaku pada 7 Mac 2009.
Mengetuai bantahan dan menyampaikan memorandum ialah Pengerusinya Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A.Samad Said Sasterawan Negara. Memorandum walaupun dapat disampai, tetapi tidak semudah berada di dalam bilik hawa dingin, tetapi dalam perhimpunan dan perarakan mereka dikepung dan ditembak dengan gas dan pancutan air berchemical, 124 orang daripada mereka ditahan untuk diambil keterangan. Berminggu selepas dari itu 22 nama dipaparkan di media – mereka dikehendaki polis untuk memberi keterangan berhubung dengan perhimpunan.
Kepimpinan GAPENA, bukan saja tidak ada pada hari itu, tetapi tidak terlibat dalam rentetan perjuangan menghapuskan PPSMI, bahkan beberapa pimpinan budaya yang berpihak kepada GAPENA ada yang memperli dan memperkecilkan tindakan yang diambil oleh kepimpinan himpunan.Sebenarnya perjuangan bahasa sejak kemerdekaan, bahkan sebelum kemerdekaan tidak dapat lari dari melakukannya secara desakan juga perarakan, tanpanya tidak diambil tindakan oleh pemerintah. Contoh tuntutan perlaksanaan bahasa melalui perarakan yang dikenali sebagai `Keranda 152``pada tahun 1959, tuntutan agar didirikan universiti Kebangsaan berlaku bersiri sejak 1967 hinggalah universiti itu terdiri pada tahun 1970.
Kita tidak menafikan peranan GAPENA yang kewujudannya pada 1970an selepas kewujudan persatuan-persatuan penulis di negeri-negeri. Kegiatan lebih bersifat pesta-pestaan seperti Pertemuan Penulis, Hari Sastera, Melawat Rumpun Melayu seperti ke Sri Lanka, Afrika Selatan, kerjasama bahasa dan sastera antara Negara-negara berbahasa Melayu, kerjasama dengan badan koporat menganjurkan sayumbara sastera seperti Esso-Gapena. Kerancakan ini selari dengan kerancakan DBP mengiktiraf penulis-penulis dengan Hadiah Sastera, Sastera Perdana, Pejuang Sastera dan Sasterawan Negara.
Namun kita lihat mulai dari 2000 berlakunya kemalapan dalam kegiatan bahasa dan sastera,GAPENA seperti lumpuh, DBP juga kurang bermaya, persatuan-persatuan penulis di negeri-negeri juga sepi dan setengahnya mati, berbagai hadiah dan insentif penulisan juga terhenti. Boleh dikatakan bahasa dan sastera terpinggir dan tidak dihormati. Dalam keadaan GAPENA lumpuh dan DBP tidak bermaya, bila PPSMI dilaksanakan sejak 2003, GAPENA tidak mengambil sikap sepatutnya memperjuangkan kedaulatan bahasa dan DBP juga tidak berani bersuara.
Tugas dan peranan ini diambil oleh badan-badan luar dari kerabat GAPENA, dipimpin oleh tokoh-tokoh .berpengaruh seperti Prof. Ainuddin Wahid, Profesor Zainal Abidin Wahid, Prof. Dr Shaharir Mohd. Zain, Prof. Dr. Abdullah Hassan Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin dan dipuncaki dengan Gerakan Mansuh PPSMI. Dalam masa 6 tahun berpuluh seminar dan ratusan artikal dihasil menyuarakan bantahan terhadap PPSMI. Walau bagaimana dalam masa Datuk Hishamuddin Tun Hussein Onn menjadi Menteri Pelajaran, nampaknya tidak ada kecenderungan beliau untuk melayan tuntutan menghapuskan PPSMI, bahkan beliau membuat kenyataan bila himpunan 100,000 GMP, beliau mengatakan, ``Mengapa selepas 6 tahun baru tuntutan dibuat ?``. Ini menandakan beliau tidak memberi perhatian terhadap berbagai seminar dan tuntutan yang dibuat selama enam tahun itu.
Haruslah diakui hasil dari Himpunan 100,000 pada 7 Mac 2009 dan berlakunya pertukaran Menteri Pelajaran, maka pada 8 Julai 2009 Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penarikan balik PPSMI, tetapi perlaksanaan sepenuhnya hanya berlaku pada tahun 2012. Kita mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Sasterawan Negara A. Samad Said, badan-badan dan pejuang-pejuang yang membawa kepada penarikan PPSMI. Tetapi perjuangan mendesak meningkat dan memperkembangkan bahasa dan juga sastera bukan terhenti di sini. Kita mengharap pejuang-pejuang yang mendukung GMP akan terus berfungsi, memastikan janji terlaksana, memastikan penggunaan Bahasa Melayu menjadi bahasa Ilmu di pengajian-pengajian tinggi terlaksana, penggunaannya di dalam berbagai bidang seperti perundangan, ekonomi, pentadbiran dan berbagai-bagai lagi terlaksana.
Kita juga berharap GAPENA juga turut bersama, kalau tidak semacam tidak kena dengan ``Hari Perjuangan Bangsa ` yang diadakan itu. Perjuangan apa dimaksudkan
Dr Shafie Abu Bakar, Adun Bangi.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
No comments:
Post a Comment