Monday, 8 February 2010

Sasterawan harus berjarakdari kuasa







Sesi soal jawab selepas ceramah ‘Kenapa saya baca berulang kali setiap tahun novel Dr. Zhivago,’ oleh SN Datuk A. Samad Said sangat menarik untuk dipolemikkan. Ianya bermula apabila HMS Abu Bakar menyatakan sokongannya terhadap sikap berani Pak Samad yang mutakhir ini sangat lantang bersuara menentang dasar-dasar kerajaan yang menyeleweng terutama dasar bahasa kebangsaan.

Abd. Shukor Harun pula bangun melahirkan pendapatnya menyorot novel Dr. Zhivago karangan pengarang Rusia Boris Pasternak. Menurut sdra Shukor, dia sangat terkesan dengan dialog di dalam novel tersebut yang antara lain berbunyi, ‘kita telah menamatkan pemerintahan Czar, sekarang ini Czar baru pula yang kita harus hadapi.’

Apa yang menarik, menurut Shukor ialah pengarang novel itu berada di luar kemelut
politik Rusia yang sedang bergolak pada ketika itu. Belaiu lalu berkata, “Pengarang tidak seharusnya aktif di dalam mana-mana parti politik untuk melahirkan karya politik. Pengarang tidak pula harus renggang dengan politik kerana sebagai sasterawan mereka harus peka apa yang berlaku di dalam dunia politik.”

Saya amat bersetuju sekali dengan pandangan sdra. Shukor lalu menyatakan sasterawan tidak perlu fanatik terhadap mana-mana parti politik. Akan tetapi sasterawan mesti mengambil tahu perkembangan politik serta menjadi pemerhati dan penegur kepada orang politik yang terkeluar dari landasan kemanusiaan dan keadilan. Dengan yang demikian pengarang tidak akan terpengaruh dan terbelenggu dalam sentimen ideologi politik yang disokongnya. Namun, setiap karya yang dihasilkan oleh setiap pengarang pasti akan terkesan sikap, kefahaman dan ideologi politik yang dianuti mereka.

Tambah menarik lagi apabila pernyataan di atas semacam mendapat sokongan daripada kolumis Malaysiakini, sdra. Lee Ban Cheng. Beliau berpendapat bahawa sasterawan tidak boleh jarak dengan politik tetapi biar jarak dengan kuasa. Adalah amat bahaya sekali apabila sasterawan bersekongkol dengan kuasa. Kuasa, lama kelamaan akan menjadi korup. Sasterawan bukan sahaja harus bebas berkarya tetapi mesti jujur, katanya.

Pandangan di atas amat relevan sekali dengan tulisan Anuar Asmadi dalam Harakah Bil. 1511, bertajuk, “Orang sastera tidak sokong Pakatan demi periuk nasi?” Tulisan beliau merupakan respons kepada tulisan Dinsman dalam kolumnya Wacana Budaya, Harakah Bil 1507 berjudul, “Kenapa orang sastera masih ragu-ragu sokong Pakatan Rakyat.”


Saya tidak menafikan apa yang diutarakan oleh Anuar ada kebenarannya. Sikap sasterawan yang hipokrit ada di mana-mana. Mereka bukan sahaja menjaga periuk nasi, tetapi menjadi pencacai kepada kepalsuan, kezaliman dan ketidakadilan. Mereka bukan menyokong kepada kebenaran, tetapi menyokong untuk mendapat keuntungan. Sikap dan jalur pemikiran yang songsang inilah amat merugikan perkembangan kesusasteraan dan dunia politik kita. Fahaman seperti ini perlu diperbetulkan.

Saya kira Anuar tidak dapat mengtakwil dengan tepat apa yang tersirat di sebalik tulisan Dinsman itu. Apa yang dapat saya fahami ialah kekesalan Dinsman terhadap PR berkaitan seni budaya dan kesusasteraan, bagaikan tidak ada perbezaan dengan BN. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak memberikan perhatian secukupnya dalam bidang seni budaya seperti perhatian mereka terhadap lanskap, penebangan pokok dan penjagaan bunga-bungaan di dalam taman, misalnya. Lanskap minda yang membina jati diri dan tamadun bangsa tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Ini terbukti, setelah banyak perbincangan diadakan untuk mengerakkan kegiatan seni budaya di negeri-negeri yang dikuasi oleh PR, akan tetapi ianya tinggal rancangan sahaja. Ini ialah kerana tidak ada iltizam daripada pihak berkenaan untuk meneruskannya. Kita faham PR sekarang diasak dengan hebatnya oleh Umno/BN dari pelbagai sudut, dan oleh hal demikian soal survival politik mereka menjadi prioriti daripada yang lain-lain. Perbalahan berpanjangan di antara BN dan PR merugikan rakyat dari segala aspek.

Masalah ini timbul kerana kita tidak mempunyi media yang benar-benar neutral, tidak berpihak kepada mana-mana fahaman politik. Media bukan memainkan peranan mendamaikan tetapi semacam mengapi-apikan keadaan.

“Yang penting bukan neutral, tetapi kejujuran melaporkan sesuatu peristiwa itu,” tekan A. Samad Said dalam perbincangan seterusnya.

Kata Pak Samad, kita ada dua aliran media iaitu satu pihak menyokong BN dan satu pihak lagi menyokong PR. Yang menyokong BN akan melaporkan yang baik-baik tentang parti itu dan membelasah lawannya. Begitu juga sebaliknya. Akan tetapi media yang menyokong PR diterbitkan berkala, tidak setiap hari seperti media penyokong BN. Lagi pun jumlah media yang menyokong BN melebihi media PR. Sudah tentu mereka mudah memanipulasi keadaan, dan rakyat sebanyak sedikit akan terpengaruh dengan laporan propaganda mereka. Rakyat tidak ada pilihan untuk mendapatkan laporan yang seimbang, maka dengan itu rakyat terus dikelirukan.

Ada beberapa perkara yang membuat Pak Samad tertarik untuk membaca berulang kali novel Dr. Zhivago. Novel ini diteribitkan pertama kali dalam bahasa Itali sekitar tahun 1957/58, setelah ianya diseludup keluar dari Rusia. Ianya kemudiannya diterbitkan dalam bahasa Rusia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa selepas itu. Antara sebab kenapa Pak Samad berulang kali membaca novel ini ialah:-

a) novel ini berjaya merakamkan gelagat baru masyarakat Rusia yang sedang bergolak.
b) Melaporkan fragmen-fragmen seharian untuk rakyat Rusia
c) Tekniknya sangat jitu dan indah
d) Meskipun ideologi politiknya runtuh, namun insan tetap insan.

Majlis bicara, ‘Apresasi novel dunia’ ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan kerjasama Seniman Paksi Rakyat (Paksi), berlangsung di Dewan Cempaka, Bangunan MPSJ pada 6 Feb lalu. Turut sama menyemarakkan lagi acara ini ialah Tuan Syed Shahir bin Syed Mohamad, mewakili Menteri Besar Selangor, dan Tuan Hj Selamat Hamzah mewakili YDP MPSJ.

No comments: