Tuesday, 16 February 2010

'Hari Pejuang Bahasa 152' bagaikan mimpi kosong


Ahli Panel dalam 'Wacana Peradaban Bahasa Melayu' terdiri daripada (kiri) Dato' Dr. Zainal Keling, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Hj. Hamzah Hamdani (moderator), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dan Dr. S. Nathesan Sellapan.



Lihat banyaknya kerusi kosong di Dewan Syed Nasir yang boleh memuatkan 1,000 orang.


Hari Pejuang Bahasa ‘152’ yang berlangsung di Dewan Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Feb lalu, bagaikan mimpi kosong menghantui pihak penganjurnya. Dewan yang boleh memuatkan 1,000 orang itu hanya diisi sekitar 100 orang sahaja. Tambah memilukan Menteri yang berjanji untuk merasmikan majlis bersejarah itu tidak hadir kerana ada urusan yang lebih penting di luar negara. Agak terkilan pula Ketua Setiausaha Kementerian yang mewakili Menteri berkenaan kelihatan melangkah keluar dewan apabila Datuk Dr. Hassan Ahmad menyampaikan ucaptamanya.

Senario ini menggambarkan betapa sambutan Hari Pejuang Bahasa 152 disambut dingin oleh orang Melayu sendiri dan tidak mendapat dukungan daripada pemimpin Melayu dalam kerajaan. Tentunya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim ketika bersetuju untuk menghadiri majlis tersebut sudah memastikan beliau tidak ada komitmen lain pada tarikh yang sama.

Khalayak juga tertanya-tanya kenapa apabila ucaptama yang sedang disampaikan oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, pada ketika itu Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siara yang mewakili Dr. Rais, keluar dewan? Sepatutnya beliau berada di dalam dewan untuk mendengar intipati ucaptama itu untuk disampaikan kepada menteri berkenaan, dijadikan panduan kementerian dan kerajaan.

Sambutan dingin di kalangan orang Melayu terhadap perjuangan bahasa mereka sendiri amat mengecewakan juga Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah. Pada sesi ‘Wacana Peradaban Bahasa Melayu’ selepas ucaptama, beliau dengan nada kesal berkata, “Kehadiran pada hari ini menggambarkan bahawa orang Melayu sudah hilang semangat terhadap bahasanya sendiri.”

“Soal bahasa adalah soal maruah, maruah sesebuah negara. Bahasa bukan sekadar jiwa bangsa tetapi maruah sesuatu bangsa. Saya terpanggil untuk bersama-sama tuan-tuan walaupun sedang bercuti dengan keluarga merayakan Tahun Baru Cina. Bagi saya soal negara lebih penting daripada hal keluarga” sambungnya disambut dengan tepukan daripada hadirin.

Menurut beliau, kesilapan besar yang dilakukan kerajaan yang memerintah ialah kegagalan mengasimilasikan bahasa dan budaya kebangsaan semenjak kemerdekaan. Sepatutnya sekolah satu aliran sudah diwujudkan selepas kemerdekaan, maka dengan demikian sok-sek, sok-sek seperti yang berlaku sekarang tidak mungkin akan berlaku.

“Sekarang ini kalau mahu diwujudkan sekolah satu aliran, ianya akan menempuh pelbagai rintangan, halangan dan kepayahan yang amat sangat. Ianya bukan sahaja memakan masa, tetapi mesti mempunyai iltizam dan keberanian yang luar biasa untuk melaksanakannya,” terus Dr. Ridhuan lagi.

Menurutnya, tiada kaedah lain yang ada selain mewujudkan sistem sekolah satu aliran sekiranya kita benar-benar mahu melihat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan ilmu. Hanya dengan melaksanakan kaedah ini dapat menyatupadukan kaum-kaum di negara ini dalam satu negara bangsa yang dicita-citakan. Untuk merealisasikan kaedah ini ianya perlu kepada penglibatan dari atas ke bawah. Walaupun penglibatan dari bawah ke atas sangat signifikan sekali, namun impaknya agak lambat dibandingkan penglibatan dari atas ke bawah. “Yang payahnya yang di atas amat lembab dan tidak ada iltizam untuk melaksanakannya,” terusnya.

“Saya sendiri berasa pilu, sedih, risau dan bimbang terhadap keadaan ini. Kalau orang Melayu sendiri tidak bersemangat untuk mendaulautkan bahasanya sendiri, siapa lagi yang harus diharapkan? Ini bukan soal mudah. Banyak pancaroba yang akan dihadapi dengan suasana politik masa kini. Saya sendiri menghadapi segala macam tohmahan daripada keluarga dan bangsa saya sendiri. Saya dituduh lebih Melayu daripada orang Melayu,” keluhnya dengan nada yang sebak sehinggakan beliau tidak dapat meneruskan kata-katanya.

Dr. S. Nathesan Sellapan pula berpendapat, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara bukan milik orang Melayu semata-mata. Ianya menjadi milik rakyat negara ini tidak kira bangsa. Oleh itu perjuangan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan seharusnya melibatkan semua kaum di negara ini. “Kita mahu lihat lebih ramai penyertaan kaum-kaum lain dalam majlis-majlis seperti ini,” tekannya lantang.

Dr. Zainal Keling pula mahu Ngo-Ngo berusaha lebih kuat dan berani lagi supaya suara mereka didengar. Beliau tidak yakin lagi terhadap orang-orang politik kerana mereka asyik memikirkan survival politik mereka dalam tempoh 4-5 tahun sahaja. Kita mesti teruskan perjuangan tanpa jemu dan bosan. Kita jangan dibosankan dengan karenah orang politik, sarannya.

Prof. Dr. Abdullah Hassan pula kecewa dengan ura-ura baru kerajaan mahu wajib lulus bahasa Inggeris dalam peperiksaan. Katanya, khabarnya kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar wang, RM 5 bilion untuk membeli komputer, bayaran elaun khas kepada guru-guru Bahasa Inggeris dan mendapatkan tenaga pengajar dari luar negara. Ini juga satu tindakan yang sia-sia dan mundur ke belakang. Kita patut membantah ura-ura ini, sarannya.

“Tak dengar pula kerajaan memperuntukkan sejumlah besar wang untuk memperkasakan bahasa kebangsaan! Kita juga mahu jumlah yang sama, malah lebih daripada itu untuk memastikan kesinambungan pembelajaran bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar kita sejak dari sekolah rendah hingga ke Institut Pengajian Tinggi,” tekan Prof. Abdullah.

Dalam ucaptamanya pula Datuk Dr. Hassan Ahmad menekankan pelaksaan Dasar Bahasa Kebangsaan seperti termaktub di dalam perlembagaan tidak dilaksanakan dengan tegas, benar dan jujur, sering kali pula diselewengkan. Pihak berkuasa yang melaksanakan dasar ini tidak cukup ilmu tentang kelebihan-kelebihan yang ada pada bahasa Melayu. Jiwa dan akal mereka masih terperangkap dalam kotak bahasa asing.

Menurutnya sesebuah negara sukar dibentuk dan ditadbir kalau dasar bahasanya tidak menentu. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara, bukan bahasa kebangsaan Melayu. Ianya mesti digunakan dalam urusan kerajaan. Ianya juga menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran kebangsaan dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Di akhir ucaptamanya, Datuk Hassan telah mengemukakan beberapa cadangan yang antara lain ialah:-

i) Ditubuhan sebuah Jawatankuasa Khas antara kementerian/jabatan kerajaan untuk memantau pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dalam semua bidang dan sektor rasmi kerajaan dan sektor swasta.
ii) Mengadakan seminar tentang pelbagai aspek dasar bahasa yang ada, tentang kelebihan bahasa Melayu dan hendaklah diadakan sekerap yang mungkin untuk pegawai-pegawai kerajaan.
iii) Pelantikan Naib Canselor IPTA, hendaklan dikenakan syarat, mereka yang mematuhi kehendak Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di IPTA sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Pelajaran menjadi syarat utama pelantikan. Naib Canselor yang melakukan tindakan terang-terang bertentangan dengan semangat dasar bahasa ini hendaklah dilucutkan jawatannya.

Acara ‘Hari Pejuang Bahasa 152’ ini dianjur bersama oleh Gapena, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Pena. Tentunya jerih perih mengatur acara ini terasa mengecewakan dengan jumlah kehadiran yang kecil. Apa lagi penglibatan daripada pihak kerajaan bagaikan melepas batuk di tangga. Kalau pemimpin Melayu sendiri tidak peka dan yakin terhadap bahasanya, siapa lagi yang harus diharapkan. Pesanan sinis Dr. Mohd Riduan Tee Abdullah seharusnya memalukan kita yang bergelar Melayu.

2 comments:

shameel Iskandar said...

Bahasa kita tanggungjawab kita. Memperjuangkannya satu amanah.

Rusdi Abd Rahman said...

Tn. Hj. Razali,
Saya dari Johor Bahru sanggup hadir untuk acara Malam Puisi Sumpah 152 di Rumah PENA pada 14 Februari dan Wacana Peradaban Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP pada 15 Februari sempena Hari Pejuang Bahasa 152 ini.