Friday, 31 July 2015

Tubuhkan Suruhanjaya diRaja untuk menyiasat 1MDB

Nampaknya kekalutan semakin jelas dengan beberapa tindakan drastik Najib mutakhir ini. Khalayak ramai semakin ragu kewibawaan Pasukan Penyiasat Khas 1MDB dengan pemecatan sertamerta Peguam Negara, Mahyuddin Yasin sebagai TPM, juga anggota PAC diseret ke dalam kabinet Najib.
 Semuanya ini menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan rakyat daripada menjernihkan kekerohan yang menyelubungi skandal ini.

Umumnya rakyat sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Pasukan Khas ini. Najib telah menganggu-gugat kelicinan penyasiatan ini yang dikatakan sudah sampai ke peringkat akhir. Ini diyakinkan lagi dengan terbocornya draf kertas pendakwaan terhadap Najib sudah tersebar dengan meluasnya. Peguam Negara yang baru menafikan perkara ini dan menyatakan itu adalah kertas pendakwaan palsu. Akan tetapi pejabat Pebuam Negara tidak pula memberi keyakinan dan membuktikan bahawa kertas itu benar-benar palsu. Peguam Latifah Koya betul apabila meminta Gani Patail sendiri menjelaskan tentang draf kertas pendakwaan ini. Gani mesti berani menyatakan kebenaran. Menyorokkan kebenaran seumpama menyorok bangkai gajah, yang lambat laun akan terbau juga. Apa lagi Gani sendiri agak hairan apabila alasan pemecatannya kerana masalah kesihatannya. Ini bererti kesihatan Gani masih di dalam keadaan baik. Gani mesti bersuara.

Oleh kerana kemerosatan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Pasukan Penyiasat Khas ini, maka sudah sampai masanya sebuah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi meneruskan penyiasatan ini. Tidak ada gunanya diteruskan oleh Pasukan Penyiasat Khas yang kewibawaannya diragui. Hasilnya juga akan terus diragui. Sebagai penyelesaian dan boleh bertindak bebas dengan kuasa-kuasa yang diberikan, Suruhanjaya DiRaja adalah satu-satunya jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut ini.

Akan tetapi satu masalah yang timbul, iaitu untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja mesti mendapat restu dan persetujuan Najib sebagai PM. Pastinya Najib tidak akan bersetuju kerana itu bererti menggali kuburnya sendiri. Tiada satupun Jawatankuasa Bebas atau Majlis Syura yang diberikan kuasa untuk melantik Suruhanjaya DiRaja. PM mempunyai kuasa mutlak. Maka dengan itu, pastinya Najib tidak akan bersetuju dengan penubuhan ini. Maka Najib akan terlepaslah daripada sebarang pendakwaan. Saya percaya Allah Maha Berkuasa. Pastinya kebenaran akan timbul, kalau Najib benar-benar melakukan kesalahan, maka Najib akan terpaksa menghadapi risikonya.

Kita tunggu perkembangan selanjutnya. Siapa akan berani mendakwa Najib? Kalau jelas bukti sudah ada, jangan sembunyikan. Najib tidak mengatasi undang-undang. Sesuatu harus dilakukan. Rakyat tidak mahu pemimpin yang korup dan kurang moralnya memimpin negara. Wahallahualam!

Thursday, 30 July 2015

Najib Cuba Halang Siasatan 1MDB?

Rombakan kabinet dan pemecatan Peguam Negara dan Ketua Special Branch secara mengejut benar-benar mengejutkan rakyat. Ditambah pula dengan menyenaraikan Pengerusi PAC Datuk Jazlan Mohamad dan empat orang lagi anggota PAC dalam kabinet barunya, meyakinkan ramai bahawa Najib cuba menghalang penyiasatan terhadap 1MDB yang sedang giat dilaksanakan. Ada khabar angin mengatakan bahawa sudah ada beberapa bukti yang boleh mengheret Najib ke mahkamah. Maka sebelum ini berlaku Najib perlu mengambil tindakan segera dengan memecat Peguam Negara yang mempunyai kuasa mendakwa.

Juga dikhabarkan bahawa pasukan penyiasat khas juga telah terbahagi dua, satu yang mahu menyelamatkan Najib, satu lagi mahu mendakwa Najib. Tindakan Polis dan KDN muktahir ini menggambarkan bahawa mereka cuba memesongkan penyiasatan kepada pihak lain, bukan objek sebenar yang perlu dirungkai. Polis sibuk mahu menyiasat kononnya ada puak yang ingin menjatuhkan kerajaan, yang dakwaan itu masih samar. Sementara KDN pula mengantung akhbar The Edge, kononnya menyiarkan berita yang tidak sahih. Nampaknya fokus penyiasatan sudah terkeluar daripada matlamat asal, iaitu mencari dalang 1MDB.

Najib menggunakan kuasa eksekutifnya untuk memecat Peguam Negara dan merombak kabinetnya. Demi menjaga kedudukannya, dia terpaksa mencantas Tan Sri Mahyuddin daripada Timbalan Perdana Menteri. Umum tahu Mahyuddin lantang membidas Najib tentang isu 1MDB. Kata Mahyuddin, dia tidak diberikan maklumat secukupnya tentang isu itu, jadi dia tidak ada daya upaya untuk berhadapan dengan rakyat yang bertanyakan hal itu. Apakah salah bagi Mahyuddin membangkitkan perkara itu secara terbuka demi rakyat?

Apakah Najib akan mengugurkan Mahyuddin sebagai Timbalan Presiden UMNO? Ramai penganalisis politik berpendapat bahawa Najib akan menggunakan kuasnya untuk menyingkirkan Mahyuddin dalam heariki UMNO. Walaupun Mahyuddin mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat agung luar biasa sekiranya 2/3 anggota Majlis Tertinggi memintanya. Dapatkah Mahyuddin 2/3 anggota Majlis Tertinggi menyokongnya untuk menjatuhkan Najib sebagai Presiden UMNO?

Salah seorang mesti bertindak cepat dan pantas demi survival politik masing-masing. Siapa yang cepat bertindak akan selamat. Dalam budaya Umno ahlinya biasanya akan menyokong kepada pemimpin yang berkuasa yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka. Dalam keadaan sekarang nampaknya Najib lebih berkuasa dalam politik manakala Mahyuddin dilihat tidak mempunyai kuasa itu. Ini terbukti ketika krisis Mahatahir-Anwar dulu, walaupun Anwar berjaya menggugat kestabilan UMNO dan negara, namun kebanyakan ahli UMNO tetap memberikan sokongan kepada Mahathir. Mahathir masih kekal sebagai Presiden Umno dan PM. Bagi UMNO kuasa yang ada akan menentukan kedudukan survival dalam politik.

Ini terbukti apabila Najib menyenaraikan Datuk Jaslan dan empat anggota PAC dalam senarai kabinet barunya. Datuk Jaslan tidak berfikir panjang terus menyahut pelawaan Najib. Dia dengan rela meninggalkan jawatannya sebagai Pengerusi PAC yang sedang giat menyiasat skandal 1MDB. Sekiranya Jaslan berintegeriti tinggi dan empat orang anggotanya, mereka seharusnya menolak pelawaan itu sebelum selesai siasatan 1MDB yang sedang disiasatnya. Begitulah budaya UMNO, intergeriti tidak mustahak, tetapi survival politik mereka lebih penting.

Apa tujuan Najib berbuat semuanya ini? Prespesi rakyat ialah Najib cuba berlindung daripada siasatan yang sedang giat dilakukan oleh Pasukan Penyiasat Khas. Semuanya ini bukan secara kebetulan, tetapi sudah dicongak dan dikira demi survival Najib sendiri. Najib nampaknya sangat licik dan pintar dalam mengatur strategi politiknya. Najib tentunya belajar daripada Mahathir.

Mahathir semakin terkelu dengan tindakan Najib ini. Setakat rencana ini ditulis belum terdengar komen daripada bekas PM itu. Mahathir hanya boleh mengaru kepalanya. Mungkin Mahathir semakin bingung dengan telatah Najib. Najib bukan Pak Lah yang boleh dibuli Mahathir. Najib benar-benar menunjukkan darah kepahlawan Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Apapun, Siasatan terhadap 1MDB mesti diteruskan. Tidak ada U turn dalam hal ini. Najib perlu pulihkan kesangsian dan keyakinan rakyat terhadapnya. Tidak ada sesiapa yang harus mengganggu-gugat penyiasatan itu, waimah Najib sendiri. Wallahualam!

Thursday, 23 July 2015

Pasukan Khas Penyiasat main 'opera'.

Tukar Tiub daripada mula Pasukan Khas Penyiasat 1MDB tidak menaruh harapan terhadap penyiasatan ini. Kata Tukar Tiub ianya cuma helah dan sandiwara belaka. Tugas pasukan ini katanya hanya semata-mata mahu menyelamatkan Najib, bukan untuk mencari kebenaran.

Nampaknya keraguan Tukar Tiub sudah ada bayang-banyangnya. Malah bekas editor New Straits Times Datuk Kadir Jasin juga meminta agar pasukan penyiasat ini jangan menyeleweng daripada matlamat asal, iaitu mencari salahlaku dalam 1MDB dan sama ada akuan bank Najib benar-benar menerima transkasi berbilion ringgit.

Tanggapan ini dikuatkan lagi oleh kenyataan Ketua Polis Negera yang menyatakan polis akan menyiasat siapa dalang yang cuba menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. Katanya individu-individu yang berjumpa dengan Justo akan ditangkap dan disoal siasat. Ini berdasarkan kenyataan Justo kepada polis Thailand dan kenyataan Melani, yang mendakwa Sarawak Report menyiarkan dokumen palsu. Melani mendakwa dirinya bekas editor Sarawak Report. Sarawak Report telah menafikan yang beliau pernah berkerja dengan Sarawak Report. Beberapa kenyataan Melani meragukan dan kesahihannya sebagai saksi dipersoalkan.

Tambah meyakinkan lagi apabila pihak imegeresen menghalang beberapa orang pemimpin pembangkang dan aktivis sosial keluar negara. Tony Pua, Rafizi Ramly antara yang dihalang. Begitu juga dengan editor The Edge juga dihalang termasuk Pengarah Urusan sebuah syarikat yang ada hubungkait dengan 1MDB. Dikhabarkan juga Tian Chua, Ambiga, Hishamudin Rais, Adam Adili turut dalam senarai dihalang keluar negara. Apa ertinya semuanya ini? Tidak lain tidak bukan memberi tekanan dan menakut-nakutkan kepada mereka yang menyebarkan isu 1MDB. Pasukan Penyiasat mahu mengalihkan perhatian umum daripada kes 1MDB kepada konsiprasi menjatuhkan kerajaan pula. Apa ini semua bukan main wayang?

Kalau berdasarkan logik konsipirasi menjatuhkan kerajaan, maka Dr. Mahatahir patut juga disiasat, ditangkap dan dihalang keluar negara. Dr.M terang-terang menyatakan bahawa beliau berhasrat menjatuhkan Najib. Menjatuhkan Najib bererti menjatuhkan kerajaan yang ada. Apakah Dr. M kebal dengan undang-undang negara. Kenapa dia dikecualikan daripada sebarang tindakan?

Kalau begini keadaannya maka ternyatalah Pasukan Khas ini bermain wayang. Daripada matlamat asal mencari salahlaku 1MDB, ia beralih kepada pemberi maklumat pula. Nampak gayanya mereka yang melakukan jenayah terlepas, mereka yang memberikan maklumat pula dipenjarakan.
Jangan sampai rakyat meluat dan meragukan terhadap wibawa pasukan khas itu.
 

Wednesday, 22 July 2015

Pas dan GHB

Pas semakin bercelaru sekarang. Ramai intelektual dalam Pas mahu menubuhkan parti Islam baru, selepas kalah dalam muktamar Pas baru-baru ini. Kalau ini berlaku Pas akan rugi kehilangan para profesional yang telah menunjukkan pontensi sebagai ahli politik. Pencanggahan pendapat dalam parti seharusnya diurus dengan cermat dan cerdik oleh pihak tertinggi kepimpinan Pas.

Dalam perkara ini saya lihat kedua-dua pihak mempertahankan ego masing-masing. Salah satu pihak tidak mahu bertolak ansur demi perpaduan parti. Presiden Pas seolah-olah berdiam diri dan tidak mahu berganjak demi mempertahankan kononnya prinsip parti. Pas bukan untuk ulama dan para ustaz sahaja. Pas perlukan dokongan para profesional dan intelektual bagi mendokong perjuangan dan matlamat parti. Kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Dalam hal ini Presiden parti kelihatan tidak mengambil endah apa yang berlaku. Seolah-olah dia 'merestui' gejala keluar parti oleh para profesional ini. Baginya, penubuhan parti baru tidak memberi bekas kepada Pas. Dan Presiden Pas pun sudah mengandaikan usia parti serpihan hanya bertahan dua tahun sahaja. Ini terbukti dengan serpihan Pas seperti Hamim dan Berjaya yang akhirnya berkubur dalam usia remaja.

Berdasarkan hakikat ini, tidak mungkin Presiden akan memanggil 18 anggotanya yang beria-ia mahu menubuhkan parti Islam baru duduk semeja dan berunding. Persepsi umum terhadap Presiden yang 'bias' tidak memungkinkan ini berlaku. Akan jatuh air muka Presiden sekiranya memujuk anggota GHB. Begitu juga pihak GHB masih tidak mahu memanggil suatu mesyuarat bagi membincangkan krisis yang ada. Masing-masing enggan membina jambatan, bagaimana mahu menyeberang sungai tanpa jambatan?

Presiden sepatutnya mengenepikan rasa ego serta menjaga air muka demi perpaduan parti. Seharusnya Presiden memanggil mereka ini dan duduk semeja mencari jalan bagaimana mahu merapatkan lagi ukuwah antara ahli. Kalah dalam pemilihan bukan bererti berputus arang berkerat rotan. Bak kata Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin datang dan pergi. Kali ini kalah, mungkin pemilihan akan datang akan menang pula. Mungkin apa yang dikesalkan oleh puak-puak GHB ialah Presiden tidak berbuat apa-apa apabila berlakunya senarai 'chai' dalam pemilihan yang lalu. Ini juga kesilapan Presiden yang tidak menunjukkan 'neturaliti' dalam pemilihan.

Menubuhkan parti baru bukan penyelesaian yang bijak. Ianya akan membawa perpecahan yang lebih serius dalam kalangan penyokong Pas. Pas sudah sekian lama ditubuhkan dan setiap kali pilihan raya Pas pasti menyertainya, walaupun kehilangan deposit. Kegigihan Pas berjuang menarik ramai rakyat yang dulunya tidak menyokong parti itu. Pas perjuangkan Islam yang menjadi daya penarik pengundi Melayu/Islam. Meskipun demikian Pas tidak harus bersikap terlalu ekstrim dengan hanya mengatakan bahawa Pas sahaja yang betul dan ahli Pas akan masuk syurga. Pas harus menerima hakikat politik kontemprori, bahawa tidak mungkin akan mengambil alih Putrajaya secara bersendirian. Pengundi kita terdiri daripada pelbagai kaum, relatinya kita perlukan undi mereka untuk menang. Waimah DAP pun tidak mungkin ke Putrajaya tanpa sokongan pengundi Melayu. Pas perlu berada dalam Pakatan demi perjuangan bersama menentang kezaliman dan kerajaan yang rasuah dan penuh dengan skandal yang memalukan. Pas tidak boleh bersendirin, Pas perlu kepada Pakatan yang kuat dan mampan. Itulah harapan rakyat yang menyokong perjuangan Pas selama ini.

Monday, 20 July 2015

Halang Sarawak Report: BN Guna Kuasa Lindungi Salahlaku

Berita yang mengejut dan mendukacitakan pada musim hari raya ini apabila Kementerian Komunikasi dan Multi Media menghalang akses untuk mencapai blog Sarawak Report. Umum sudah maklum Sarawak Report paling lantang dan berani mendedahkan skandal 1MDB yang menjadi kecoh sekarang ini. Sementara itu pihak kerajaan terus-terusan mendakwa bahawa Sarawak Report menyiarkan kenyataan palsu dengan mengubah suai dokumen-dokumen berkaitan. Manakala Sarawak Report bertegas menyatakan dia tidak pernah memalsukan sebarang dokumen yang berkaitan dan menyatakan pemberitaannya berasaskan fakta-fakta yang diperolehinya.

Ramai sudah respons dengan tindakan menghalang ini, namun ianya semacam tidak dihiraukan oleh pihak kerajaan. Alasan yang diberikan oleh kerajaan bahawa laporan Sarawak Report boleh menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan lebih teruk lagi mengugat ketenteraman dan keamanan negara. Inilah alasan-alasan klise yang kerap digunakan oleh kerajaan bagi mewajarkan tindakan mereka yang tidak popular.

Apakah dengan mendedahkan salahlaku dalam kerajaan mengugat kententeraman dan keamanan negara? Apakah kesatabilan politik dan ekonomi negara turut terjejas dengan pendedahan tersebut? Umum sudah maklum bahawa suasana politik di negara ini semakin kacau bilau, mentelah lagi ekonomi negara yang memang tidak stabil dengan hutang negara berbilion ringgit, nilai ringgit jatuh menjunam, harga minyak semakin turun; bukan menjadi alasan untuk menghalang pendedahan yang dilakukan Sarawak Report.

Isu ini semakin menjadi kalut apabila Pasukan Penyiasat Khas masih kabur dalam penyiasatannya dan seolah-olah tidak mahu atau tidak berani berterus terang. Laporan interim Audit Negara masih menjadi rahsia dan kerajaan setakat ini masih enggan mengumumkan laporan itu kepada umum. Manakala Najib pula masih menimbulkan teka teki sama ada wujud akuan banknya yang mana nombor akaun itu telah menjadi pengetahuan umum. Pihak bank berkaitan juga masih membisu tentang akaun bank Najib. Ini semuanya menjadi persoalan yang mengelirukan rakyat yang masih menunggu-nunggu kenyataan-kenyataan yang berterus-terang. Kenapakah masih mahu merahsiakan perkara-perkara ini yang akan menyebabkan rakyat membuat andaian yang tidak tepat. Rakyat mungkin beranggapan bahawa sudah pasti berlaku skandal seperti yang didakwa dan Najib adalah salah seorang pelakunya. Kalau tenggapan ini menjalar di kalangan rakyat, mereka tidak patut dipersalahkan. 

Lagipun tindakan menyekat ini melanggar kebebasan akhbar dan hak asasi. Salah satu hak asasi rakyat ialah mendapat maklumat, sama ada benar atau tidak ianya soal lain. Kalaupun Sarawak Report melanggar undang-undang negara, maka kerajaan berhak menyeretnya kemuka pengadilan. Biarkan Sarawak Report menjawabnya di dalam mahkamah. Menjatuhkan hukuman dengan menyekat hak rakyat mengakses laporan Sarawak Report, bukan penyelesaian yang wajar.

Jangan takut-takutkan rakyat dengan undang-undang. Jangan gertak rakyat dengan kuasa politik yang ada. Kita lihat inilah senjata kerajaan BN apabila tidak mampu menangkis dakwaan-dakwaan pihak lain. Rakyat semakin meluat dengan tindakan-tidakan yang kurang wajar ini. Berilah kebebasan kepada rakyat untuk mendapat maklumat. Menyembunyikan maklumat samalah juga dengan menyembunyikan kebenaran. Wallahaualam!

Friday, 17 July 2015

Selamat Hari Raya A'dilfitri

Aku ucapkan selamat hari raya a'dilfiteri kepada semua rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam. Semoga Syawal ini menjadikan kita lebih bertaqwa. Moga-moga negara kita selamat sejahteranya. Rakyat bersatu padu. Moga-moga kes-kes skandal yang tersebar luas ini akan dapat di selesaikan dengan adil dan saksama. Jangan cuba nak selamatkan sesiapa. Kebenaran akhirnya akan terselah. Tetapi kadang-kadang yang batilpun boleh jadi kebenaran apabila diputar (spin) supaya sampai meyakinkan rakyat. Mudah-mudahan Allah menlindungi kita semua dan negara tercinta ini.

Wednesday, 15 July 2015

Perpaduan yang rapuh

Saya bersetuju bangat dengan pendapat Lee Lam Tye bahawa perpaduan kaum di negara ini rapuh. Ianya bukan sahaja rapuh, malah akan bila-bila masa saja sekah.

Lee menyuarakan pendapatnya berhubung dengan kejadian perkelahian yang berlaku di Plaza Low Yat, di Bukit Bintang, KL, pada Sabtu dan Ahad lalu. Ramai yang menganggap bahawa insiden itu tidak harus berlaku, dengan kejadian didakwa 'pencurian' menjadi pertembungan perbalahan antara kaum.

Sesungguhnya, sememangnya perpaduan kaum di negara ini rapuh kerana sistem kerajaannya yang ada menjadikan sedemikian demi kuasa politik. Lihat sahaja parti-parti politik di negara ini yang diwujudkan atas dasar perkauman. Namakan sahaja parti-parti politik itu, jelas unsur perkauman pasti menjadi salah satu dasar perjuangannya. Realiti politik di negara ini masih lagi dipengaruhi sintimen perkauman. 

Ini berlaku kerana kesilapan Umno/Perikatan ketika menerima kemerdekaan daripada British. PM, Tunku Abd Rahman menerima bulat-bulat cara dan kaedah British, tanpa memikirkan betapa mustahaknya kerajaan Perikatan pada masa itu menyusun satu sistem yang boleh menyatukan pelbagai kaum di negara ini. Kerajaan Perikatan masih mengamalkan bahasa Inggeris sesudah merdeka. Tiada tanda-tanda jelas yang menggambarkan kita benar-benar merdeka. Sebab itu berlaku tunjuk perasaan dan perarakan keranda 52 ke parlimen dilakukan oleh pejuang-pejuang bahasa Melayu. Keadaan ekonomi masih ditakuk lama. Bumiputera merempat di negara sendiri.

Salah satu cara bagi menyatukan rakyat ialah dengan mendidirikan sekolah satu aliran sahaja. Bahasa dapat menyatukan rakyat yang berbilang kaum. Kita lihat bagaimana British menyerapkan pengunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaya dulu. Hanya sekolah aliran Inggeris sahaja diberi keutamaan. Sekolah Melayu, Cina dan Tamil, walaupun wujud hanya setakat peringkat rendah sahaja. Sekolah-sekolah ini tidak mendapat perhatian kerajaan Inggeris, jauh sekali membantunya dari segi kewangan.

Ketika Jepun, kerajaan Jepun memaksakan bahasa Jepun digunakan sebaik sahaja mereka menakluki negara ini. Di sekolah-sekolah bahasa Jepun diwajibkan mempelajarinya. Ini bererti dasar pendidikan adalah medium yang berkesan bagi penyatuan kaum.

Lihat sahaja di negara-negara lain seperti Thailand, Vietnam, China, Korea, Jepun dan Indonesia. Mereka menggunakan bahasa rasmi mereka di daerah-daerah yang mempunyai bahasa sendiri. China memaksakan bahasa Madarin di wilayah Tibet, Xingjiang dan sebagainya. Di Indonesia juga yang mempunyai pelbagai dialek dan bahasa daerah dapat menyatukan dengan Bahasa Melayu/Indonesia. Di Iran Jaya dan Papua New Guinea, rakyat di sana fasih berbahasa Indonesia. Maka sudah terbukti bahawa bahasa menjadi medium terpenting demi perpaduan kaum.

Sebab itu setelah lebih setengah abad kita merdeka rakyat negara ini masih di pisah-pisahkan mengikut kelompok bangsa masing-masing. Cina dengan kecinaannya, India dengan keindiaannya dan Melayu dengan Melayunya. Sentimen kaum masih menebal dalam kalangan bangsa-bangsa di negara ini. Kelihatannya seolah-olah kerajaan mahukan keadaan ini berlaku, demi kuasa politik.

Sekarang ini sudah terlambat untuk melakukan sistem sedemikian. Ketika mula-mula merdeka dulu kalau diunjurkan sistem satu bahasa ini, mungkin tidak banyak bantahan. Ini tidak bererti bahasa-bahasa lain dimansuhkan. Sekarang ini syor seperti ini dianggap sensetif dan mencabar keselamatan negara. Cina bertegas tidak mahu satu aliran bahasa di sekolah-sekolah. Begiti juga India. Justeru itu rakyat semakin jauh daripada menikmati perpaduan. Maka semakin rapuhlah perpaduan yang kita impikan. Tidak ada jalan lain, kecuali kita menempuh keadaan yang semakin runcing ini. Tunggu sahajalah malapetaka yang mungkin timbul. Barang dijauhkan Allah. Wallahulam!

Tuesday, 14 July 2015

Pasukan Penyiasat Khas 'meragukan.'

Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) bahawa anggota Pasukan Khas Penyiasat 1MDB pun disiasat kerana didakwa membocorkan rahsia bank. Agak aneh juga kenyataan KPN ini kerana yang akan menyiasat skandal 1MDB ialah Pasukan Khas itu dan Pasukan itu pula yang akan menyiasat anggotanya sendiri. Ini macam main-main sahaja. Logiknya kalaupun nak disiasat anggota Pasukan Khas itu, iaitu pihak lain yang tidak berkentingan, bukan Pasukan Khas itu sendiri.

 Ini bererti KPN tidak yakin dengan Pasukan Penyiasatnya sendiri termasuk dirinya. KPN pun boleh disiasat berdasarkan kenyataannya itu. Nampaknya Pasukan Khas ini cuba mengalihkan siasatan utamanya iaitu mempastikan sama ada akaun bank Najib benar-benar menerima perpindahaan berbilion ringgit. Sama ada wang itu digunakan untuk memenangi PRU 13 atau tidak. Pusat penyiasatan seharusnya menjurus ke arah itu, bukan siapa yang membocorkan rahsia?

Rakyat memberi kepercayaan kepada Penyiasat ini dan jangan timbulkan keraguan di kalangan rakyat. Jangan nanti ada yang mendakwa Pasukan Penyiasat itu sebenarnya mahu menyelamatkan Najib, bukan mencari kesalahan jenayah yang mungkin Najib telah lakukan. Jangan nanti ramai yang beranggapan ini hanya sandiwara bagi mengabui mata rakyat.

Tidak siapa mengatasi undang-undang. Najib juga patut disiasat oleh Polis atau Pasukan Khas ini. Saya setuju dengan peguam Ram Karpal, polis patut menyoal siasat Najib, akan tetapi sudah sekian lama, Najib masih tidak disoal siasat. Kita tidak mahu tunggu lebih lama lagi dengan kenyataan-kenyataan yang kabur dan mengelirukan. Pergi sahaja kepada soal pokok. Kalau kenyataan demi kenyataan yang mengandungi banyak teka-teki, akan membuatkan rakyat bosan dan meluat. Kemungkinan mereka hilang kepercayaan terhadap kewibawaan Pasukan Khas ini tidak dapat dielakkan.

Buatlah kerja dengan ikhlas dan jujur. Jangan takut kalau kita bertindak benar. Kebenaran akan terserlah juga akhirnya. Jangan cuba melindungi sesiapa sekiranya terbukti ada unsur jenayah dilakukan. Bertindaklah dengan saksama. Kembalikan kepercayaan rakyat kepada pihak penyiasat dan kerajaan. Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sudah luntur. Wallahaualam!

Monday, 13 July 2015

PRU 13 dicemari rasuah

Dakwaan akaun bank Najib menerima berbilion ringgit deposit sebelum PRU 13 menimbulkan pelbagai tanggapan. Ada dakwaan wang itu disalurkan oleh 1MDB. Pasukan Penyiasat sedang menyiasat kes ini. Kita tunggu hasil siasat. Ada yang mendakwa wang itu digunakan untuk kempen PRU 13. Bermakna wang tersebut digunakan untuk merasuah rakyat supaya mengundi BN, untuk mengekalkan kuasa politik BN. Mungkin sebab itu Najib menafikan dengan berkata dia tidak 'caluk' duit rakyat untuk kepentingan peribadinya. Sebuah NGO telah menyatakan wang tersebut digunakan oleh Najib untuk diagih-agihkan kepada parti komponan BN. Najib berbuat demikian sperti mana yang dibuat oleh Dr. Mahathir dalam masa pemerintahannya. Akan tetapi mungkin Mahathir tidak gunakan akaun banknya untuk menerima wang ini. Silap Najib ialah kerana menggunakan akaun peribadinya. Kes yang sama juga pernah berlaku pada Allahyaraham Datuk Haron Idris, yang menganjurkan perlawanan boxing antara Mohamad Ali dengan Mike Tyson. Hasil wang itu khabarnya bukan untuk didirinya, tetapi UMNO. Datuk Harun didapati bersalah dan dihukum penjara. Kisah lambakan duit pada setiap pilihan raya bukan lagi rahsia kepada rakyat. Memang ianya pernah berlaku pada setiap pilihan raya. Ini dinyatakan sendiri oleh Allayaraham Tan Sri Sulaiman Ninam Shah ketika pilihan raya di Sabah beberapa tahun lalu. Beliau sendiri tidak tahu dari mana datangnya duit itu. Saya turut terperanjat. Apakah ini budaya BN untuk memenangi pilihan raya? BN menang semata-mata dengan cara yang curang demi kuasa. Dengan demikian keputusan kemenangan BN dalam PRU 13 boleh dipertikaikan. SPR patut bertindak segera terhadap BN/Umno. Ini sesuatu yang melanggar peraturan pilihan raya. Jangan sampai rakyat pertikaikan kewibawaan SPR.

Friday, 10 July 2015

Isu 1MDB semakin celaru

Isu 1MDB semakin celaru. Pasukan Khas telah menyerbu pejabat 1MDB dan merampas beberapa dokumen. Jawatankuasa Pasukan Khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Polis Negara, SPRM dan Bank Negara telah mengumumkan pembekuan 6 akuan bank baru-baru ini tidak termasuk akaun Najib, kerana akaun beliau telah ditutup. Berita mutakhir akaun Rosmah pula dikatakan menerima deposit ribuan juta ringgit dalam Affin Bank. Tidak pula dinyatakan sama ada perpindahan wang ini ke dalam akaun Rosmah ada kaitan dengan 1MDB.

Najib menafikan bahawa dia menggunakan wang rakyat untuk kepentingannya. Najib tidak pula menafikan wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun beliau. Nombor akaun beliau sudah disiarkan oleh WSJ dan Sarawak Report. Rakyat masih tertanya-tanya hal ini.

Peguam Negara juga menyatakan akaun Najib sudah ditutup, sebab itu pembekuan tidak relevan lagi. Peguam Negara juga tidak menyatakan bahawa akaun Najib pernah wujud dan transakasi pernah berlaku. Tidak juga disahkan nombor akuan bank Najib itu betul atau tidak. Perkara ini menambahkan lagi kekeliruan orang ramai.

Mutakhir Rosmah pula menerima deposit sejumlah besar wang dalam akuannya di Affin Bank. Setakat ini belum ada penafian daripada Rosmah terhadap dakwaan ini. Dari mana wang ini datang, tidak pula dinyatakan. Sama ada wang ini ada kaitan dengan 1MDB, juga masih samar-samar. Semuanya ini membuatkan kecelaruan yang amat sangat bagi rakyat memikirkannya.

Seandainya pihak berkuasa yang menyiasat kes ini masih memberikan kenyataan yang kabur, maka selagi itulah pelbagai andaian daripada rakyat akan berlaku. Pelbagai persepsi dan tanggapan akan timbul yang akan menjadikan penyiasatan kes ini semakin bercelaru. Najib juga patut menjelaskan dengan sejelas-jelasnya tentang akaun banknya. Bersembunyi di sebalik kenyataan yang berteka-teki akan menimbulkan banyak andaian dan terkaan yang menyulitkan. Kekeliruan kepada rakyat patut dielakkan. Rakyat mahu tahu yang jelas dan nyata. Berselindung di sebalik kata-kata kabur menjadikan kes ini semakin rumit. 

Timbul banyak kesangsian di kalangan rakyat, apakah penyiasatan ini telus dan jujur. Ketika penyiasatan berlaku Najib masih lagi berkuasa. Sebagai PM agensi-agensi penguatkuasa adalah di bawahnya. Mereka akan melaporkan terlebih dahulu hasil penyisatan itu kepada PM. Sekiranya ada bukti salah laku di sini, tidak mungkinkah Najib akan suruh kes itu ditutup? Atau mencari kambing hitam untuk melepaskan diri? Kemungkinan ini ada kerana Najib masih berkuasa.

Najib masih enggan bercuti atau meletak jawatan untuk memberi ruang kepada penyiasat untuk menyiasat dengan bebas. Najib tidak akan meletakkan jawatan kerana risikonya amat tinggi. Apabila sudah tidak berkuasa lagi, maka mudahlah dikenakan pertuduhan terhadapnya. Ini amat memalukannya. Maka andaian Dr. Mahathir menjadi kenyataan.

Sama ada Najib rela atau tidak meletak jawatan, siasatan harus diteruskan. Sekiranya Najib dikaitkan dengan salah laku jenayah, maka dia mesti didakwa di mahkamah. Najib tidak mengatasi undang-undang negara. Seperti pemimpin politik yang lain seperti Dato' Harun Idris dan Anwar Ibrahim, Najib tidak boleh terlepas daripada pendakwaan.

Rakyat menunggu hasil siasatan yang telus dan mulus. Rakyat mahukan kebenaran dan menolak kebatilan. Rakyat juga tidak mahu pemimpin yang akhlaknya dipertikaikan menjadi pemimpin negara.

Kita sama-sama tunggu kesudahannya. Wallahualam!

Sunday, 5 July 2015

Kerusi Najib semakin panas

Berita mutakhir, penyebaran meluas Wall Street Journal (WSJ) mendakwa Najib telah 'songlap' duit 1MDB ke dalam akaun bank Najib, memeranjatkan rakyat Malaysia. Menurut Sarawak Report, ianya sudah berada dalam pengetahuan Peguam Negara. Khabarnya Peguam Negara sudah bertindak dengan menyerbu syarikat-syarikat yang berkaitan dan merampas beberapa dokumen.

Sarawak Report telah juga menyiarkan nombor-nombor akuan dan nama bank yang menyimpan akaun Najib. Setakat ini Najib mahupun bank berkenaan belum lagi mengesahkan bahawa nombor akaun itu adalah milik Najib dan transeksi telah berlaku seperti didakwa. Bank Negara juga belum membuat pengesahan.

Di dalam laporannya WSJ tidak pula menyebut sumber berita itu, hanya sekadar menyebut bahawa ia mengutip daripada agensi penguatkuasaan yang ditugaskan menyiasat 1MDB. Menurut WSJ ia memiliki laporan yang telah disediakan oleh agensi-agensi yang melakukan penyiasatan. Katanya lagi ia mempunyi bukti kuat, sebab itu ia berani menyiarkan kepada umum. Namun tidak menyebut agensi yang mana satu sumber beritanya. Mungkin WSJ mahu merahsiakan dulu sumbernya. 1MDB sedang disiasat oleh Ketua Audit Negara, Bank Negara, Polis dan PAC. Siapakah antara mereka ini telah membocorkan kepada WSJ?

Najib telah menafikan dakwaan itu hanya sekadar menyatakan bahawa dia tidak pernah menyalahgunakan wang rakyat. Najib juga membisu tentang nombor akaunnya dan banknya. Banyak persoalan timbul dengan penafian Najib kerana Najib sendiri enggan menunjukkan bukti untuk menangkis dakwaan tersebut. Najib tidak menunjukkan bukti bahawa di dalam akaun banknya tidak pernah berlaku transeksi seperti didakwa. Najib perlu meyakinkan rakyat dengan memberi bukti jelas dan nyata.

Sementara itu Najib patut berundur ketika penyiasatan oleh Task Force sedang berlaku. Sekurang-kurangnya bercuti sementara. Nampaknya tiada tanda-tanda yang Najib akan berundur, malah enggan mengambil cuti. Ini akan menimbulkan presepsi bahawa penyiasatan itu tidak akan telus. Demi menjaga nama baik Najib dan negara, Najib harus tidak berada di kerusinya yang panas buat sementara waktu.

Jika Najib masih enggan berbuat demikian, maka Mahyuddin selaku Timbalan PM harus memanggil mesyuarat khas Kabinet bagi membincangkan perkara itu. Kabinet boleh memaksa Najib supaya berudur atau sekurang-kurang mengambil cuti sementara penyiasatan sedang dijalankan. Najib mungkin enggan akur dengan desakan Kabinet kerana itu akan membawa padah kepadanya. Mungkin berlaku peralihan kuasa kepada Mahyuddin secara tidak sedar.

Najib tidak mungkin mengambil risiko yang besar ini. Najib akan terus menduduki kerusi panasnya. Tunggu ajalah kesudahannya. Wallahualam!