Friday, 31 July 2015

Tubuhkan Suruhanjaya diRaja untuk menyiasat 1MDB

Nampaknya kekalutan semakin jelas dengan beberapa tindakan drastik Najib mutakhir ini. Khalayak ramai semakin ragu kewibawaan Pasukan Penyiasat Khas 1MDB dengan pemecatan sertamerta Peguam Negara, Mahyuddin Yasin sebagai TPM, juga anggota PAC diseret ke dalam kabinet Najib.
 Semuanya ini menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan rakyat daripada menjernihkan kekerohan yang menyelubungi skandal ini.

Umumnya rakyat sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Pasukan Khas ini. Najib telah menganggu-gugat kelicinan penyasiatan ini yang dikatakan sudah sampai ke peringkat akhir. Ini diyakinkan lagi dengan terbocornya draf kertas pendakwaan terhadap Najib sudah tersebar dengan meluasnya. Peguam Negara yang baru menafikan perkara ini dan menyatakan itu adalah kertas pendakwaan palsu. Akan tetapi pejabat Pebuam Negara tidak pula memberi keyakinan dan membuktikan bahawa kertas itu benar-benar palsu. Peguam Latifah Koya betul apabila meminta Gani Patail sendiri menjelaskan tentang draf kertas pendakwaan ini. Gani mesti berani menyatakan kebenaran. Menyorokkan kebenaran seumpama menyorok bangkai gajah, yang lambat laun akan terbau juga. Apa lagi Gani sendiri agak hairan apabila alasan pemecatannya kerana masalah kesihatannya. Ini bererti kesihatan Gani masih di dalam keadaan baik. Gani mesti bersuara.

Oleh kerana kemerosatan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Pasukan Penyiasat Khas ini, maka sudah sampai masanya sebuah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi meneruskan penyiasatan ini. Tidak ada gunanya diteruskan oleh Pasukan Penyiasat Khas yang kewibawaannya diragui. Hasilnya juga akan terus diragui. Sebagai penyelesaian dan boleh bertindak bebas dengan kuasa-kuasa yang diberikan, Suruhanjaya DiRaja adalah satu-satunya jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut ini.

Akan tetapi satu masalah yang timbul, iaitu untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja mesti mendapat restu dan persetujuan Najib sebagai PM. Pastinya Najib tidak akan bersetuju kerana itu bererti menggali kuburnya sendiri. Tiada satupun Jawatankuasa Bebas atau Majlis Syura yang diberikan kuasa untuk melantik Suruhanjaya DiRaja. PM mempunyai kuasa mutlak. Maka dengan itu, pastinya Najib tidak akan bersetuju dengan penubuhan ini. Maka Najib akan terlepaslah daripada sebarang pendakwaan. Saya percaya Allah Maha Berkuasa. Pastinya kebenaran akan timbul, kalau Najib benar-benar melakukan kesalahan, maka Najib akan terpaksa menghadapi risikonya.

Kita tunggu perkembangan selanjutnya. Siapa akan berani mendakwa Najib? Kalau jelas bukti sudah ada, jangan sembunyikan. Najib tidak mengatasi undang-undang. Sesuatu harus dilakukan. Rakyat tidak mahu pemimpin yang korup dan kurang moralnya memimpin negara. Wahallahualam!

No comments: