Isu 1MDB semakin celaru. Pasukan Khas telah menyerbu pejabat 1MDB dan merampas beberapa dokumen. Jawatankuasa Pasukan Khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Polis Negara, SPRM dan Bank Negara telah mengumumkan pembekuan 6 akuan bank baru-baru ini tidak termasuk akaun Najib, kerana akaun beliau telah ditutup. Berita mutakhir akaun Rosmah pula dikatakan menerima deposit ribuan juta ringgit dalam Affin Bank. Tidak pula dinyatakan sama ada perpindahan wang ini ke dalam akaun Rosmah ada kaitan dengan 1MDB.
Najib menafikan bahawa dia menggunakan wang rakyat untuk kepentingannya. Najib tidak pula menafikan wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun beliau. Nombor akaun beliau sudah disiarkan oleh WSJ dan Sarawak Report. Rakyat masih tertanya-tanya hal ini.
Peguam Negara juga menyatakan akaun Najib sudah ditutup, sebab itu pembekuan tidak relevan lagi. Peguam Negara juga tidak menyatakan bahawa akaun Najib pernah wujud dan transakasi pernah berlaku. Tidak juga disahkan nombor akuan bank Najib itu betul atau tidak. Perkara ini menambahkan lagi kekeliruan orang ramai.
Mutakhir Rosmah pula menerima deposit sejumlah besar wang dalam akuannya di Affin Bank. Setakat ini belum ada penafian daripada Rosmah terhadap dakwaan ini. Dari mana wang ini datang, tidak pula dinyatakan. Sama ada wang ini ada kaitan dengan 1MDB, juga masih samar-samar. Semuanya ini membuatkan kecelaruan yang amat sangat bagi rakyat memikirkannya.
Seandainya pihak berkuasa yang menyiasat kes ini masih memberikan kenyataan yang kabur, maka selagi itulah pelbagai andaian daripada rakyat akan berlaku. Pelbagai persepsi dan tanggapan akan timbul yang akan menjadikan penyiasatan kes ini semakin bercelaru. Najib juga patut menjelaskan dengan sejelas-jelasnya tentang akaun banknya. Bersembunyi di sebalik kenyataan yang berteka-teki akan menimbulkan banyak andaian dan terkaan yang menyulitkan. Kekeliruan kepada rakyat patut dielakkan. Rakyat mahu tahu yang jelas dan nyata. Berselindung di sebalik kata-kata kabur menjadikan kes ini semakin rumit.
Timbul banyak kesangsian di kalangan rakyat, apakah penyiasatan ini telus dan jujur. Ketika penyiasatan berlaku Najib masih lagi berkuasa. Sebagai PM agensi-agensi penguatkuasa adalah di bawahnya. Mereka akan melaporkan terlebih dahulu hasil penyisatan itu kepada PM. Sekiranya ada bukti salah laku di sini, tidak mungkinkah Najib akan suruh kes itu ditutup? Atau mencari kambing hitam untuk melepaskan diri? Kemungkinan ini ada kerana Najib masih berkuasa.
Najib masih enggan bercuti atau meletak jawatan untuk memberi ruang kepada penyiasat untuk menyiasat dengan bebas. Najib tidak akan meletakkan jawatan kerana risikonya amat tinggi. Apabila sudah tidak berkuasa lagi, maka mudahlah dikenakan pertuduhan terhadapnya. Ini amat memalukannya. Maka andaian Dr. Mahathir menjadi kenyataan.
Sama ada Najib rela atau tidak meletak jawatan, siasatan harus diteruskan. Sekiranya Najib dikaitkan dengan salah laku jenayah, maka dia mesti didakwa di mahkamah. Najib tidak mengatasi undang-undang negara. Seperti pemimpin politik yang lain seperti Dato' Harun Idris dan Anwar Ibrahim, Najib tidak boleh terlepas daripada pendakwaan.
Rakyat menunggu hasil siasatan yang telus dan mulus. Rakyat mahukan kebenaran dan menolak kebatilan. Rakyat juga tidak mahu pemimpin yang akhlaknya dipertikaikan menjadi pemimpin negara.
Kita sama-sama tunggu kesudahannya. Wallahualam!
No comments:
Post a Comment