Wednesday 22 July 2015

Pas dan GHB

Pas semakin bercelaru sekarang. Ramai intelektual dalam Pas mahu menubuhkan parti Islam baru, selepas kalah dalam muktamar Pas baru-baru ini. Kalau ini berlaku Pas akan rugi kehilangan para profesional yang telah menunjukkan pontensi sebagai ahli politik. Pencanggahan pendapat dalam parti seharusnya diurus dengan cermat dan cerdik oleh pihak tertinggi kepimpinan Pas.

Dalam perkara ini saya lihat kedua-dua pihak mempertahankan ego masing-masing. Salah satu pihak tidak mahu bertolak ansur demi perpaduan parti. Presiden Pas seolah-olah berdiam diri dan tidak mahu berganjak demi mempertahankan kononnya prinsip parti. Pas bukan untuk ulama dan para ustaz sahaja. Pas perlukan dokongan para profesional dan intelektual bagi mendokong perjuangan dan matlamat parti. Kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Dalam hal ini Presiden parti kelihatan tidak mengambil endah apa yang berlaku. Seolah-olah dia 'merestui' gejala keluar parti oleh para profesional ini. Baginya, penubuhan parti baru tidak memberi bekas kepada Pas. Dan Presiden Pas pun sudah mengandaikan usia parti serpihan hanya bertahan dua tahun sahaja. Ini terbukti dengan serpihan Pas seperti Hamim dan Berjaya yang akhirnya berkubur dalam usia remaja.

Berdasarkan hakikat ini, tidak mungkin Presiden akan memanggil 18 anggotanya yang beria-ia mahu menubuhkan parti Islam baru duduk semeja dan berunding. Persepsi umum terhadap Presiden yang 'bias' tidak memungkinkan ini berlaku. Akan jatuh air muka Presiden sekiranya memujuk anggota GHB. Begitu juga pihak GHB masih tidak mahu memanggil suatu mesyuarat bagi membincangkan krisis yang ada. Masing-masing enggan membina jambatan, bagaimana mahu menyeberang sungai tanpa jambatan?

Presiden sepatutnya mengenepikan rasa ego serta menjaga air muka demi perpaduan parti. Seharusnya Presiden memanggil mereka ini dan duduk semeja mencari jalan bagaimana mahu merapatkan lagi ukuwah antara ahli. Kalah dalam pemilihan bukan bererti berputus arang berkerat rotan. Bak kata Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin datang dan pergi. Kali ini kalah, mungkin pemilihan akan datang akan menang pula. Mungkin apa yang dikesalkan oleh puak-puak GHB ialah Presiden tidak berbuat apa-apa apabila berlakunya senarai 'chai' dalam pemilihan yang lalu. Ini juga kesilapan Presiden yang tidak menunjukkan 'neturaliti' dalam pemilihan.

Menubuhkan parti baru bukan penyelesaian yang bijak. Ianya akan membawa perpecahan yang lebih serius dalam kalangan penyokong Pas. Pas sudah sekian lama ditubuhkan dan setiap kali pilihan raya Pas pasti menyertainya, walaupun kehilangan deposit. Kegigihan Pas berjuang menarik ramai rakyat yang dulunya tidak menyokong parti itu. Pas perjuangkan Islam yang menjadi daya penarik pengundi Melayu/Islam. Meskipun demikian Pas tidak harus bersikap terlalu ekstrim dengan hanya mengatakan bahawa Pas sahaja yang betul dan ahli Pas akan masuk syurga. Pas harus menerima hakikat politik kontemprori, bahawa tidak mungkin akan mengambil alih Putrajaya secara bersendirian. Pengundi kita terdiri daripada pelbagai kaum, relatinya kita perlukan undi mereka untuk menang. Waimah DAP pun tidak mungkin ke Putrajaya tanpa sokongan pengundi Melayu. Pas perlu berada dalam Pakatan demi perjuangan bersama menentang kezaliman dan kerajaan yang rasuah dan penuh dengan skandal yang memalukan. Pas tidak boleh bersendirin, Pas perlu kepada Pakatan yang kuat dan mampan. Itulah harapan rakyat yang menyokong perjuangan Pas selama ini.

No comments: