Berita yang mengejut dan mendukacitakan pada musim hari raya ini apabila Kementerian Komunikasi dan Multi Media menghalang akses untuk mencapai blog Sarawak Report. Umum sudah maklum Sarawak Report paling lantang dan berani mendedahkan skandal 1MDB yang menjadi kecoh sekarang ini. Sementara itu pihak kerajaan terus-terusan mendakwa bahawa Sarawak Report menyiarkan kenyataan palsu dengan mengubah suai dokumen-dokumen berkaitan. Manakala Sarawak Report bertegas menyatakan dia tidak pernah memalsukan sebarang dokumen yang berkaitan dan menyatakan pemberitaannya berasaskan fakta-fakta yang diperolehinya.
Ramai sudah respons dengan tindakan menghalang ini, namun ianya semacam tidak dihiraukan oleh pihak kerajaan. Alasan yang diberikan oleh kerajaan bahawa laporan Sarawak Report boleh menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan lebih teruk lagi mengugat ketenteraman dan keamanan negara. Inilah alasan-alasan klise yang kerap digunakan oleh kerajaan bagi mewajarkan tindakan mereka yang tidak popular.
Apakah dengan mendedahkan salahlaku dalam kerajaan mengugat kententeraman dan keamanan negara? Apakah kesatabilan politik dan ekonomi negara turut terjejas dengan pendedahan tersebut? Umum sudah maklum bahawa suasana politik di negara ini semakin kacau bilau, mentelah lagi ekonomi negara yang memang tidak stabil dengan hutang negara berbilion ringgit, nilai ringgit jatuh menjunam, harga minyak semakin turun; bukan menjadi alasan untuk menghalang pendedahan yang dilakukan Sarawak Report.
Isu ini semakin menjadi kalut apabila Pasukan Penyiasat Khas masih kabur dalam penyiasatannya dan seolah-olah tidak mahu atau tidak berani berterus terang. Laporan interim Audit Negara masih menjadi rahsia dan kerajaan setakat ini masih enggan mengumumkan laporan itu kepada umum. Manakala Najib pula masih menimbulkan teka teki sama ada wujud akuan banknya yang mana nombor akaun itu telah menjadi pengetahuan umum. Pihak bank berkaitan juga masih membisu tentang akaun bank Najib. Ini semuanya menjadi persoalan yang mengelirukan rakyat yang masih menunggu-nunggu kenyataan-kenyataan yang berterus-terang. Kenapakah masih mahu merahsiakan perkara-perkara ini yang akan menyebabkan rakyat membuat andaian yang tidak tepat. Rakyat mungkin beranggapan bahawa sudah pasti berlaku skandal seperti yang didakwa dan Najib adalah salah seorang pelakunya. Kalau tenggapan ini menjalar di kalangan rakyat, mereka tidak patut dipersalahkan.
Lagipun tindakan menyekat ini melanggar kebebasan akhbar dan hak asasi. Salah satu hak asasi rakyat ialah mendapat maklumat, sama ada benar atau tidak ianya soal lain. Kalaupun Sarawak Report melanggar undang-undang negara, maka kerajaan berhak menyeretnya kemuka pengadilan. Biarkan Sarawak Report menjawabnya di dalam mahkamah. Menjatuhkan hukuman dengan menyekat hak rakyat mengakses laporan Sarawak Report, bukan penyelesaian yang wajar.
Jangan takut-takutkan rakyat dengan undang-undang. Jangan gertak rakyat dengan kuasa politik yang ada. Kita lihat inilah senjata kerajaan BN apabila tidak mampu menangkis dakwaan-dakwaan pihak lain. Rakyat semakin meluat dengan tindakan-tidakan yang kurang wajar ini. Berilah kebebasan kepada rakyat untuk mendapat maklumat. Menyembunyikan maklumat samalah juga dengan menyembunyikan kebenaran. Wallahaualam!
No comments:
Post a Comment