Thursday, 30 July 2015

Najib Cuba Halang Siasatan 1MDB?

Rombakan kabinet dan pemecatan Peguam Negara dan Ketua Special Branch secara mengejut benar-benar mengejutkan rakyat. Ditambah pula dengan menyenaraikan Pengerusi PAC Datuk Jazlan Mohamad dan empat orang lagi anggota PAC dalam kabinet barunya, meyakinkan ramai bahawa Najib cuba menghalang penyiasatan terhadap 1MDB yang sedang giat dilaksanakan. Ada khabar angin mengatakan bahawa sudah ada beberapa bukti yang boleh mengheret Najib ke mahkamah. Maka sebelum ini berlaku Najib perlu mengambil tindakan segera dengan memecat Peguam Negara yang mempunyai kuasa mendakwa.

Juga dikhabarkan bahawa pasukan penyiasat khas juga telah terbahagi dua, satu yang mahu menyelamatkan Najib, satu lagi mahu mendakwa Najib. Tindakan Polis dan KDN muktahir ini menggambarkan bahawa mereka cuba memesongkan penyiasatan kepada pihak lain, bukan objek sebenar yang perlu dirungkai. Polis sibuk mahu menyiasat kononnya ada puak yang ingin menjatuhkan kerajaan, yang dakwaan itu masih samar. Sementara KDN pula mengantung akhbar The Edge, kononnya menyiarkan berita yang tidak sahih. Nampaknya fokus penyiasatan sudah terkeluar daripada matlamat asal, iaitu mencari dalang 1MDB.

Najib menggunakan kuasa eksekutifnya untuk memecat Peguam Negara dan merombak kabinetnya. Demi menjaga kedudukannya, dia terpaksa mencantas Tan Sri Mahyuddin daripada Timbalan Perdana Menteri. Umum tahu Mahyuddin lantang membidas Najib tentang isu 1MDB. Kata Mahyuddin, dia tidak diberikan maklumat secukupnya tentang isu itu, jadi dia tidak ada daya upaya untuk berhadapan dengan rakyat yang bertanyakan hal itu. Apakah salah bagi Mahyuddin membangkitkan perkara itu secara terbuka demi rakyat?

Apakah Najib akan mengugurkan Mahyuddin sebagai Timbalan Presiden UMNO? Ramai penganalisis politik berpendapat bahawa Najib akan menggunakan kuasnya untuk menyingkirkan Mahyuddin dalam heariki UMNO. Walaupun Mahyuddin mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat agung luar biasa sekiranya 2/3 anggota Majlis Tertinggi memintanya. Dapatkah Mahyuddin 2/3 anggota Majlis Tertinggi menyokongnya untuk menjatuhkan Najib sebagai Presiden UMNO?

Salah seorang mesti bertindak cepat dan pantas demi survival politik masing-masing. Siapa yang cepat bertindak akan selamat. Dalam budaya Umno ahlinya biasanya akan menyokong kepada pemimpin yang berkuasa yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka. Dalam keadaan sekarang nampaknya Najib lebih berkuasa dalam politik manakala Mahyuddin dilihat tidak mempunyai kuasa itu. Ini terbukti ketika krisis Mahatahir-Anwar dulu, walaupun Anwar berjaya menggugat kestabilan UMNO dan negara, namun kebanyakan ahli UMNO tetap memberikan sokongan kepada Mahathir. Mahathir masih kekal sebagai Presiden Umno dan PM. Bagi UMNO kuasa yang ada akan menentukan kedudukan survival dalam politik.

Ini terbukti apabila Najib menyenaraikan Datuk Jaslan dan empat anggota PAC dalam senarai kabinet barunya. Datuk Jaslan tidak berfikir panjang terus menyahut pelawaan Najib. Dia dengan rela meninggalkan jawatannya sebagai Pengerusi PAC yang sedang giat menyiasat skandal 1MDB. Sekiranya Jaslan berintegeriti tinggi dan empat orang anggotanya, mereka seharusnya menolak pelawaan itu sebelum selesai siasatan 1MDB yang sedang disiasatnya. Begitulah budaya UMNO, intergeriti tidak mustahak, tetapi survival politik mereka lebih penting.

Apa tujuan Najib berbuat semuanya ini? Prespesi rakyat ialah Najib cuba berlindung daripada siasatan yang sedang giat dilakukan oleh Pasukan Penyiasat Khas. Semuanya ini bukan secara kebetulan, tetapi sudah dicongak dan dikira demi survival Najib sendiri. Najib nampaknya sangat licik dan pintar dalam mengatur strategi politiknya. Najib tentunya belajar daripada Mahathir.

Mahathir semakin terkelu dengan tindakan Najib ini. Setakat rencana ini ditulis belum terdengar komen daripada bekas PM itu. Mahathir hanya boleh mengaru kepalanya. Mungkin Mahathir semakin bingung dengan telatah Najib. Najib bukan Pak Lah yang boleh dibuli Mahathir. Najib benar-benar menunjukkan darah kepahlawan Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Apapun, Siasatan terhadap 1MDB mesti diteruskan. Tidak ada U turn dalam hal ini. Najib perlu pulihkan kesangsian dan keyakinan rakyat terhadapnya. Tidak ada sesiapa yang harus mengganggu-gugat penyiasatan itu, waimah Najib sendiri. Wallahualam!

No comments: