Wednesday, 15 July 2015

Perpaduan yang rapuh

Saya bersetuju bangat dengan pendapat Lee Lam Tye bahawa perpaduan kaum di negara ini rapuh. Ianya bukan sahaja rapuh, malah akan bila-bila masa saja sekah.

Lee menyuarakan pendapatnya berhubung dengan kejadian perkelahian yang berlaku di Plaza Low Yat, di Bukit Bintang, KL, pada Sabtu dan Ahad lalu. Ramai yang menganggap bahawa insiden itu tidak harus berlaku, dengan kejadian didakwa 'pencurian' menjadi pertembungan perbalahan antara kaum.

Sesungguhnya, sememangnya perpaduan kaum di negara ini rapuh kerana sistem kerajaannya yang ada menjadikan sedemikian demi kuasa politik. Lihat sahaja parti-parti politik di negara ini yang diwujudkan atas dasar perkauman. Namakan sahaja parti-parti politik itu, jelas unsur perkauman pasti menjadi salah satu dasar perjuangannya. Realiti politik di negara ini masih lagi dipengaruhi sintimen perkauman. 

Ini berlaku kerana kesilapan Umno/Perikatan ketika menerima kemerdekaan daripada British. PM, Tunku Abd Rahman menerima bulat-bulat cara dan kaedah British, tanpa memikirkan betapa mustahaknya kerajaan Perikatan pada masa itu menyusun satu sistem yang boleh menyatukan pelbagai kaum di negara ini. Kerajaan Perikatan masih mengamalkan bahasa Inggeris sesudah merdeka. Tiada tanda-tanda jelas yang menggambarkan kita benar-benar merdeka. Sebab itu berlaku tunjuk perasaan dan perarakan keranda 52 ke parlimen dilakukan oleh pejuang-pejuang bahasa Melayu. Keadaan ekonomi masih ditakuk lama. Bumiputera merempat di negara sendiri.

Salah satu cara bagi menyatukan rakyat ialah dengan mendidirikan sekolah satu aliran sahaja. Bahasa dapat menyatukan rakyat yang berbilang kaum. Kita lihat bagaimana British menyerapkan pengunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaya dulu. Hanya sekolah aliran Inggeris sahaja diberi keutamaan. Sekolah Melayu, Cina dan Tamil, walaupun wujud hanya setakat peringkat rendah sahaja. Sekolah-sekolah ini tidak mendapat perhatian kerajaan Inggeris, jauh sekali membantunya dari segi kewangan.

Ketika Jepun, kerajaan Jepun memaksakan bahasa Jepun digunakan sebaik sahaja mereka menakluki negara ini. Di sekolah-sekolah bahasa Jepun diwajibkan mempelajarinya. Ini bererti dasar pendidikan adalah medium yang berkesan bagi penyatuan kaum.

Lihat sahaja di negara-negara lain seperti Thailand, Vietnam, China, Korea, Jepun dan Indonesia. Mereka menggunakan bahasa rasmi mereka di daerah-daerah yang mempunyai bahasa sendiri. China memaksakan bahasa Madarin di wilayah Tibet, Xingjiang dan sebagainya. Di Indonesia juga yang mempunyai pelbagai dialek dan bahasa daerah dapat menyatukan dengan Bahasa Melayu/Indonesia. Di Iran Jaya dan Papua New Guinea, rakyat di sana fasih berbahasa Indonesia. Maka sudah terbukti bahawa bahasa menjadi medium terpenting demi perpaduan kaum.

Sebab itu setelah lebih setengah abad kita merdeka rakyat negara ini masih di pisah-pisahkan mengikut kelompok bangsa masing-masing. Cina dengan kecinaannya, India dengan keindiaannya dan Melayu dengan Melayunya. Sentimen kaum masih menebal dalam kalangan bangsa-bangsa di negara ini. Kelihatannya seolah-olah kerajaan mahukan keadaan ini berlaku, demi kuasa politik.

Sekarang ini sudah terlambat untuk melakukan sistem sedemikian. Ketika mula-mula merdeka dulu kalau diunjurkan sistem satu bahasa ini, mungkin tidak banyak bantahan. Ini tidak bererti bahasa-bahasa lain dimansuhkan. Sekarang ini syor seperti ini dianggap sensetif dan mencabar keselamatan negara. Cina bertegas tidak mahu satu aliran bahasa di sekolah-sekolah. Begiti juga India. Justeru itu rakyat semakin jauh daripada menikmati perpaduan. Maka semakin rapuhlah perpaduan yang kita impikan. Tidak ada jalan lain, kecuali kita menempuh keadaan yang semakin runcing ini. Tunggu sahajalah malapetaka yang mungkin timbul. Barang dijauhkan Allah. Wallahulam!

No comments: