Dr. Mahathir telah mengemukakan beberapa cadangan bagaimana nak jatuhkan Najib sebagai PM. Antaranya supaya ahli parlimen BN dan Pembangkang bersatu mengemukakan undi tidak percaya kepada PM. Namun demikian Dr.M tidak yakin ini akan terlaksana kerana beliau sendiri kurang yakin dengan ahli parlimen BN yang menurutnya telah diugut oleh Najib, malah mungkin dirasuah oleh Najib. Kemungkinan ahli parlimen BN menyokong usul tidak percaya itu sangat diraguinya, walaupun mereka sememangnya tidak setuju dengan isu duit dalam akaun persendirian Najib. Mereka bukan saja serba salah, tetapi mahu menjaga kepentingan masing-masing yang telah diberi habuan oleh Najib. Ini sememangnya budaya orang Umno, lebih mementingkan kedudukan daripada mempertahankan prinsip.
Namun demikian, Dr. M tidak pula menyatakan kaedah mendapatkan akuan berkanun bersumpah itu salah dari segi undang-undang dan Perlembagaan. Kaedah yang sama digunakan Najib dalam krisis politik di negeri Perak dulu. Maka sekarang sampailah masanya Najib menghadapi situasi yang sama. Allah itu maha berkuasa, balasannya tidak sahaja di Akhirat, tetapi di dunia sudah dipulangkanNya.
Dr. M juga kurang yakin usul 'undi tak percaya' akan dapat diluluskan kalau Pembangkang membawa ususl tersebut, kerana mereka tidak cukup suara majoriti tanpa sokongan ahli parlimen BN. Justeru itu beliau mencadangkan supaya Pembangkang fikirkan kaedah yang sesuai menjatuhkan Najib, tetapi tidak menjatuhkan kerajaan BN. Dari perspektif politik, cadangan Dr.M agak pelik dan menggambarkan kurang cerdiknya dalam politik.
Pastinya tujuan Pembangkang bukan saja nak jatuhkan Najib tetapi juga mahu jatuhkan kerajaan BN. Presiden Pas juga pernah berkata, menukar PM saja bukan penyelesaian kepada kemelut politik yang ada kalau sistemnya tidak turut diubah. Siapapun yang jadi PM di kalangan orang BN, maka masalah yang sama tetap akan berulang. Jadi bagi Pembangkang, keseluruhan kerajaan BN harus ditukar dengan Pembangkang.
Kalau kaedah Dr.M itu supaya Najib sahaja diganti, bukan kerajaan BN, maka yang berkuasa berbuat demikian ialah ahli MT dan ahli-ahli Umno. MT boleh mengajukan undi tidak percaya kepada PM dan cadangkan penggantinya di kalangan pemimpin Umno juga. Kaedah ini tidak akan mengganggu gugat kerajaan BN, cuma PM sahaja digugurkan. Maka BN akan selamat. Tetapi Dr. M juga tidak yakin ini akan berlaku memandangkan menurut beliau pemimpin Umno yang pernah mengadu kepada beliau hal kepincangan Najib sudah berpaling arah setelah menerima 'habuan' daripada Najib. Inilah dia budaya Umno yang tidak disukai oleh ramai rakyat. Mereka hanya bermuka-muka, kalau dapat habuan maka mereka akan sokong. Sekarang Dr.M tidak berupaya memberikan habuan itu, jadi apa perlu mereka menyokong Dr.M.? Pada zaman Dr.M mengetuai kerajaan dulu, lihat betapa ramainya pemimpin Umno menangis teresak-esak apabila Dr.M mengumumkan mahu letak jawatan sebagai PM. Adakah tangisan itu ikhlas? Bukan, itu hanya pura-pura. Mereka sanggup menangis di hadapan khalayak ramai malah dikaca tv yang ditonton oleh berjuta rakyat. Kenapa mereka menangis? Jawabnya kerana mahu kekal pada jawatan masing-masing. Sekarang Dr. sendiri mengalami keadaan yang sama ketika pemerintahan Dr. M dulu. Tindak tanduk Najib sekarang ini adalah cerminan Dr.M ketika jadi PM dulu.
Saya cadangkan bukan saja usul undi tidak percaya terhadap PM, tetapi mendesak supaya PM bubarkan parlimen dan diadakan pilihan raya baru bagi mendapat mandat baru rakyat, yang sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kerajaan sekarang. Cadangan ini paling sesuai kerana Najib sudah tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat termasuk ahli-ahli Umno sendiri. Cuma ahli-ahli Umno yang masih takut dan tidak berani menyatakan secara terbuka dan terang-terangan. Selagi Najib memegang kuasa, selagi itulah pelbagai masalah akan timbul hasil ganggu gugat beliau yang mempunyai kuasa eksekutif. Wallahualam!
TheMalaysian Insider
No comments:
Post a Comment