Thursday, 27 August 2015

Umno Kalah - Melayu Bangsat!

Ini Najib semakin sasau. Mulutnya makin celupar. Apa tujuannya menyatakan sekiranya Umno kalah, tidak berkuasa lagi, Melayu akan jadi Bangsat. Apakah Melayu bukan bangsa Bangsat setelah sekian lama Umno/BN memerintah?

Melayu menjadi Bangsat kerana Bahasa Melayu dipinggirkan. Melayu menjadi Bangsat kerana ekonominya tidak sampai 30% dicapai sejak merdeka. Melayu menjadi Bangsat kerana Islam tidak didaulatkan.

Tujuan Najib, tidak lain tidak bukan mahu menakut-nakutkan orang Melayu kalau Umno hilang kuasa. Ini satu ugutan seolah-olah Umno sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Najib jangan fikir rakyat terutama Melayu Bodoh. Orang Melayu tidak bodoh lagi. Mereka sudah tahu berfikir dan menilai antara yang benar dan batil.

Tujuan kedua Najib ialah cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap skandal 1MDB. Kes 1MDB nampaknya akan tertimbun di bawah sampah sarap kecurangan Najib sendiri. Pasukan Khas Penyiasat sudah tidak berfungsi lagi kerana campur tangan pihak berkaitan. Saya tidak yakin Najib akan berani didakwa oleh penguatkuasa penyiasatan, walaupun ada bukti beliau  ada kes untuk didakwa. Najib akan terus kekal sehingga PRU 14. Ada baiknya juga dia kekal, maka momentum kebencian rakyat terhadap Najib akan dapat dikekalkan sehingga PRU 14. Maka peluang untuk menjatuhkan kerajaan UMNO/BN yang telah berkuasa sejak merdeka akan lebih cerah.

Akan tetapi, sekiranya beliau kekal sebagai PM, maka Malaysia akan terus kucar kacir. Keadaan ekonomi akan terus merundum, nilai ringgit akan terus jatuh macam buah bacang busuk jatuh. Nilai ringgit tidak akan ada harganya lagi berbanding dengan mata wang asing. Malah dibanding dengan mata wang Singapura pun sudah jatuh hingga  RM 3.03 berbanding satu dollar Singapura. Harga minyak terus jatuh, kerajaan sudah tidak ada sumber kewangan lagi apabila Petronas juga kerugian kerana kejatuhan harga minyak. Selama ini kerajaan bergantung kepada keuntungan Petronas. Ini baru harga jatuh, belum lagi telaga minyak kering. Najib kata kerajaan sekarang bergantung kepada cukai GST. Tetapi GST mendera rakyat. Rakyat kampung juga tidak akan dapat lari daripada keseksaan GST. Semakin susah hidup rakyat. Maka rakyat akan terus marah kepada kerajaan Umno/BN.

Kadir Jasin berpendapat Najib tidak akan dapat diturunkan dengan perhimpunan Bersih atau undi tidak percaya di parlimen. Ini kerana ramai ahli parlimen BN sudah dibela oleh Najib. Mereka tidak akan mengundi untuk memecat Najib.

Malah Mahathir sendiri tidak akan berjaya mengnepikan Najib sebagai PM. Najib bukan seperti Pak Lah yang tidak suka didera dan dicemuh. Najib berkulit tebal. Dia dengan bongkaknya berkata beliau bukan sebarang orang malah berketurunan pahlawan Bugis. Dia akan tetap akan kekal sebagai PM. Dengan demikian dia sudah dapat melambatkan sebarang dakwaan yang mungkin dihadapkan terhadapnya.

Teori Dr. M mahu menyelamatkan Umno dan dengan demikian harus mengorbankan Najib sebagai PM. Kalau Najib makin degil, maka tidak dapat tidak andaian Dr.M bahawa Umno akan kalah pada PRU 14 akan menjadi kenyataan. Kalau ini berlaku, dan kerajaan baru mengamalkan good governance dan memerangi rasuah, kemungkinan kerajaan yang baru akan dapat kekal beberapa penggal. Kalau ini berlaku, amat payah bagi Umno bangkit semula. Apakah akan berakhirnya riwayat Umno selepas Najib jadi PM? Teori RAHMAN yang bermula dengan R iaitu Tunku Rahman,  A Abdul Razak, H Hussein Onn, M Mahathir, A Abullah Badawi dan N Najib akan memberi kenyataan. Kalau demikian teorinya, maka akan berakhirlah riwayat Umno pada zaman Najib. Semoga rakyat Malaysia semakin sejahtera selepas kejatuhan empire Umno/BN selama beberapa dekad. Sayonara, Umno/BN!

No comments: