Wednesday 12 August 2015

Susahnya nak lantik Pengerusi PAC

Kabinet hari ini memutuskan bahawa tidak perlu dipanggil mesyuarat parlimen bagi melantik Pengerusi PAC. Menurut menteri di jabatan perdana menteri Azlina Othman, kabinet memutuskan perlantikan tersebut akan dilakukan pada sesi persidangan akan datang pada Oktober. Pada sesi tersebut petantikan Jawatankusa PSC juga akan dilakukan termasuk perlantikan baru anggota PAC. Ini bermakna anggota PAC sekarang secara tidak langsung adalah terlucut dengan sendirinya.

Keputusan ini akan menimbulkan persepsi baru di kalangan rakyat bahawa kabinet sengaja mahu melengah-lengahkan penyiasatan terhadap 1MDB. PAC dalam siasatan kemuncak terhadap skandal 1MDB. Siasatan PAC terbantut apabila sebilangan anggotanya dibawa ke dalam kabinet Najib. Kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat kalau syak wasangka ini semakin mewabak di kalangan rakyat. Kerajaan semakin semarakkan persepsi negatif rakyat daripada memulihkan keyakinan rakyat. Rakyat semakin kurang percaya dengan apapun yang dinyatakan oleh kerajaan. Umno/BN menghadapi krisis kepercayaan yang semakin teruk.

Dengan keputusan ini bererti saranan beberapa ahli politik termasuk daripada Umno/BN telah tidak diendahkan oleh Najib. Antara mereka ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang lantang mahukan sidang khas parlimen diadakan untuk melantik Pengerusi Baru PAC. Khairy yang juga salah seorang anggota kabinet sepatutnya mempertahankan saranannya untuk memanggil sidang khas parlimen. Apakah beliau tidak hadir pada mesyuarat kabinet hari ini? Kalau hadir, adakah dia mengemukakan saranannya dalam kabinet? Kita mahu dengar daripada Khairy tentang perkara ini untuk kita pertimbangkan adakah Khairy hanya lantang bersuara di luar sedangkan dalam kabinet beliau menikus.

Dengan keputusan ini penyiasatan PAC terhadap 1MDB tertangguh lagi. Lagi lama tertangguh lagi banyak andaian yang akan tersebar di kalangan rakyat. Penangguhan ini jelas menunjukkan bahawa penyiasatan PAC sudah berkubur. Inilah taktik Najib, bukan saja menagguhkan penyiasatan tetapi mahu melumpuhkan sepenuhnya penyiasatan tersebut. Selamatkah Najib?

Walaupun demikian, kerajaan tiada alasan lagi meneruskan penyiasatan ini kerana pasukan Petugas Khas yang dianggotai oleh SPRM, Polis, Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara sudah dilumpuhkan oleh Najib. Pasukan ini tidak berfungsi lagi. Ianya sudah mati. Kalaupun diteruskan penyaisatan secara berasingan, daripada perkembangan terbaru, hasilnya nanti akan menimbulkan keraguan orang ramai. Rakyat tidak akan percaya hasil siasatan itu.

Justeru, untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, maka adalah wajar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja yang bebas bagi meneruskan siasatan ini. Siasatan-siasatan oleh Suruhanjaya DiRaja sebelum ini diterima dengan baik oleh rakyat. Jangan dilengah-lengahkan lagi penyiasatan ini. Lagi lama tertangguh ada kemungkinan bukti-bukti yang ada akan dimanipulasi. Untuk mengelakkan ini berlaku, rakyat perlu mendesak supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan secepat yang mungkin. Kalau Najib enggan, ahli-ahli parlimen boleh membuat rombongan menghadap Yang DiPertuan Agung untuk mendapat restu daripada baginda. 1MDB jangan dilepaskan begitu sahaja tanpa mengheret individu yang melakukan salahlaku terlepas begitu sahaja. Wallahualam!

No comments: