Apa benarkah penyiasatan terhadap skandal 1MDB sudah lumpuh? Kalau dilihat daripada tindakan-tindakan para penyiasat itu mutakhir ini, tidak syak lagi Pasukan Penyiasat Khas itu sememangnya sudah lumpuh. Dengan tangkapan-tangkapan baru yang dilakukan di antara pasukan penyiasat, menggambarkan bahawa antara mereka tidak ada kepercayaan antara satu dengan yang lain. Yang terakhir sekali disoal siasat yang dilakukan oleh pihak polis ialah terhadap salah seorang pendakwa raya daripada SPRM.
Saya pernah menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan Pasukan Penyiasat ini, terutama sekali setelah rombakan kabinet dan pemecatan Peguam Negara. Saya telah beranggapan bahawa penyiasatan ini tidak sampai ke manapun, cuma satu sindawara saja. Nampaknya sekarang ianya sudah jelas terserlah. Ibarat sudah terang lagi bersuluh.
Najib amat pintar mengatur strategi politiknya demi survival politiknya. Kelihatannya dia sudah agak 'selamat.' Ramai menteri-menterinya menyatakan bahawa wang yang ada dalam akaun Najib bukan duit 1MDB. Ini membuktikan bahawa memang benar ada duit yang dimasukkan ke dalam akaun bank Najib. Akan tetapi wang itu adalah wang sumbangan atau derma daripada seseorang yang masih menjadi mistri. Daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, nampaknya wang itu datangnya daripada Tok Arab dari Timur Tengah.
Sebagai penjawat awam, apakah tidak salah menerima sumbangan sebegitu banyak wang? Tentu ada udang di sebalik batu. Takkan ada sesiapa yang reda memberikan sebanyak itu wang tanpa mengharapkan balasan? Ini ada unsur rasuah. SPRM, Polis dan Bank Negara tidak sepatutnya mendiamkan diri terhadap isu ini. Jangan cuba sembunyikan segala salah laku Najib. Ini akan memberi tanggapan yang kurang baik terhadap kerajaan yang dipimpin Najib.
Sudah jelas, daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku mutakhir ini, maka ianya kelihatan seolah-olah Pasukan Khas Penyiasat ini cuba menyelamatkan Najib. Ingat, yang batil tetap batil. Jangan sembunyikan bangkai, bau busuknya pasti tidak dapat disembunyikan lagi. Berkhidmat dan berkerjalah dengan ikhlas, tulus dan mulus, kerana Allah. Kalau kita minta perlindungan Allah, pasti akan dimakbulkanNya. Wallahaualam!
No comments:
Post a Comment